KEUNGGULAN seni persembahan Malaysia terus diiktiraf di pentas dunia apabila pasukan ALAM Malaysia berjaya meraih Gold Prize dalam Kategori Berkumpulan di Andong International Maskdance Festival 2025 yang berlangsung di Andong, Korea Selatan, baru-baru ini.
Festival berprestij yang berlangsung dari 26 September hingga 5 Oktober 2025 itu dianggap antara acara seni bertopeng paling berpengaruh di dunia dan menjadi platform utama yang menghimpunkan ratusan penggiat seni daripada lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Itali, India, Indonesia dan Turkiye.
Dalam kategori berkumpulan, ALAM Malaysia diumumkan penerima Gold Prize dengan hadiah wang tunai ₩2,000,000, manakala Mongolia dan Bolivia menerima pingat perak serta Turkiye, Rusia, Slovakia dan Lithuania membawa pulang gangsa.

Kejayaan pasukan ini semakin manis apabila turut menerima Bronze Prize (Kategori Individu) bernilai ₩300,000 menerusi persembahan bertajuk Hanuman: Searching the Human Within, sekali gus menandakan kejayaan berganda Malaysia di pentas antarabangsa.
Menerusi karya utama bertajuk Ātma Mukhaḥ: The Dancing Mask Searching for Its Many Faces, pasukan ALAM Malaysia memikat juri dan penonton dengan gabungan unik tarian, teater fizikal serta naratif falsafah mendalam.
Karya tersebut mengangkat enam watak utama daripada epik Asia iaitu Rama, Laksmana, Siti Dewi, Hanuman, Jentayu dan Rawana yang mewakili nilai kemanusiaan seperti tanggungjawab, kesetiaan, kasih, pengorbanan, keinginan dan amarah.
Melalui bahasa tubuh, simbolisme topeng serta permainan cahaya dramatik, karya ini menyampaikan mesej tentang perjalanan spiritual manusia yang mencari makna diri di sebalik setiap wajah yang dipakai.

Persembahan itu turut menampilkan muzik berasaskan alat tradisional Nusantara yang diolah bersama komposisi moden, sementara kostum diinspirasikan daripada mitologi Asia Tenggara, menjadikan persembahan ini bukan sahaja mempesona dari segi visual, tetapi juga kaya dengan nilai budaya.
Ketua pasukan merangkap koreografer, Amandus Paul Panan menyifatkan kemenangan ini sebagai satu penghormatan besar buat dunia seni tanah air dan bukti bahawa karya berteraskan budaya tempatan mampu mendapat tempat di peringkat antarabangsa.
“Ini kemenangan lahir daripada cinta kami terhadap seni dan budaya Malaysia.
“Kami datang bukan untuk menyaingi, tetapi untuk berkongsi kisah siapa kita melalui bahasa universal, gerak dan ekspresi.
“Karya Ātma Mukhaḥ kami dedikasikan kepada semua seniman, penari dan penggiat seni tanah air yang percaya bahawa warisan kita masih relevan dan dihargai dunia.
“Ini adalah kemenangan untuk seluruh Malaysia,” tambahnya dengan penuh emosi.

ALAM Malaysia merupakan gabungan tiga kumpulan seni terkenal tanah air iaitu Anak Seni, Legasi Terindah dan Seri Mandala (Antava Projects) yang digabungkan bagi membawa misi memperkasa identiti seni Malaysia di pentas dunia.
Pasukan ini dianggotai penari profesional, pengarah artistik dan penggiat budaya berpengalaman dalam tarian tradisional serta kontemporari, dengan fokus terhadap penghasilan karya yang berteraskan nilai kemanusiaan dan spiritual.

Kejayaan pasukan ini turut didorong oleh sokongan padu beberapa jenama tempatan yang percaya kepada potensi seni Malaysia, antaranya Choctop, One Drop Perfumes dan Behati, yang membantu dari segi penajaan dan kolaborasi kreatif.
Andong International Maskdance Festival telah berlangsung selama lebih dua dekad dan menjadi antara acara budaya paling ikonik di Korea Selatan.
Dihoskan di kota Andong, yang dikenali sebagai “pusat spiritual dan warisan topeng dunia”, festival ini meraikan kepelbagaian budaya global melalui seni persembahan bertopeng, tarian dan teater yang penuh warna-warni.
Setiap tahun, lebih 20 buah negara mengambil bahagian, menjadikan Andong sebagai jambatan yang menyatukan Timur dan Barat melalui ekspresi seni dan budaya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

