PELAKON, Uqasha Senrose akhirnya membuka mulut memohon maaf secara terbuka selepas mengakui kesilapan berkongsi isu rumah tangga di media sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan kekecohan dan menyinggung pelbagai pihak termasuk keluarganya sendiri.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram, pelakon drama Bisikan Dosa itu tampil bersama ibunya, Rosmizai Mohd Noor, serta seorang individu dikenali sebagai Cerai Coach, menjelaskan apa yang berlaku berpunca daripada tindakannya yang dikuasai emosi.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua yang menonton video, gambar atau membaca kapsyen saya sebelum ini.
“Saya sedar perkongsian itu menimbulkan kemarahan ramai dan mungkin membuka keaiban orang lain.
“Demi Allah, saya tidak berniat begitu,” ujar Uqasha dalam nada penuh penyesalan.
Mengakui tindakannya terburu-buru, isteri kepada pelakon Kamal Adli itu berkata dia seharusnya menyelesaikan perkara peribadi secara tertutup dan bukan di khalayak umum.
“Saya tak patut bercakap tentang perkahwinan saya secara umum. Waktu itu saya marah, sedih dan penat.
“Saya beri reaksi berlebihan sebab terlalu mengikut perasaan. Tapi saya tahu, itu bukan alasan. Saya tetap salah dan saya mohon maaf,” katanya lagi.
Menurut Uqasha, selepas menenangkan diri, dia sedar tindakan tersebut tidak wajar dan berazam untuk memperbaiki diri serta belajar mengawal emosi.
“Saya patut uruskan hal ini dengan lebih matang dan tenang.
“Sekarang saya mahu fokus menjadi insan dan ibu yang lebih baik,” luahnya.
Terdahulu, nama Uqasha menjadi perhatian selepas memuat naik hantaran mendakwa dirinya diperdaya suami dan keluarga berhubung tarikh sebenar pernikahan mereka.
Hantaran itu mendakwa dia dinikahkan pada 5 November 2021 pukul 9 pagi, sedangkan sijil pernikahannya tertera tarikh 4 November 2021 pukul 9.30 malam.
Tidak lama kemudian, hantaran tersebut dipadam daripada akaun Instagram miliknya.
Permohonan maaf Uqasha itu dihujani pelbagai reaksi yang rata-rata netizen menzahirkan empati selain menasihatinya untuk menjaga emosi dengan baik.

