MENTION2025 Angkat Komunikasi Strategik Sebagai Pemacu Perubahan Sosial

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PERSIDANGAN Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (MENTION2025) anjuran Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berlangsung dengan penuh sukses di Menara AFFIN, Tun Razak Exchange (TRX) dari 28 hingga 30 Oktober 2025.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil, yang menekankan kepentingan komunikasi strategik dalam membentuk masyarakat berinformasi, inklusif dan berdaya tahan menghadapi cabaran era digital.

“Komunikasi yang berkesan bukan hanya menyampaikan maklumat, tetapi membina kefahaman dan tindakan bersama dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau ketika merasmikan MENTION2025.

Kini memasuki edisi ke-19, MENTION2025 berjaya menghimpunkan lebih 80 peserta dan pembentang merangkumi ahli akademik, pengamal media, pembuat dasar serta wakil komuniti dari dalam dan luar negara.

Dengan tema Media dan Komunikasi untuk Perubahan: Memacu Transformasi dan Kesejahteraan Masyarakat, persidangan tahun ini memberi tumpuan kepada komunikasi perubahan tingkah laku sosial (Social and Behaviour Change Communication – SBCC) sebagai pemacu utama dalam memperkukuh kesejahteraan dan ketahanan sosial masyarakat moden.

Antara tokoh antarabangsa yang turut berkongsi kepakaran termasuk Prof. Dr. Michael Chan, Profesor bidang Kewartawanan dari Chinese University of Hong Kong, dan Dr. Veysel Binbay, Pengarah Jabatan Teknologi dan Inovasi di Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU).

Kehadiran mereka menyerlahkan lagi dimensi global dalam membincangkan inovasi komunikasi sosial, teknologi media dan strategi perubahan perilaku masyarakat.

MENTION2025 menampilkan satu sesi plenari dan enam sesi selari yang meliputi pelbagai subtema seperti komunikasi kesihatan, media digital, dasar komunikasi, komunikasi antarabudaya, serta peranan belia dan komuniti dalam advokasi sosial.

Menurut Pengarah MENTION2025, Dr. Arina Anis Azlan, penganjuran kali ini bukan sekadar medan akademik, tetapi juga platform memperkukuh kolaborasi strategik antara penyelidik, pembuat dasar dan pengamal industri media.

“MENTION2025 menjadi jambatan yang menyatukan idea dan kepakaran bagi merangka strategi komunikasi yang berkesan, lestari dan mampu memberi impak sebenar kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap agar hasil perbincangan dan pembentangan di persidangan ini dapat menyumbang kepada penggubalan dasar serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ilmu komunikasi dan media di rantau Asia Tenggara.

Dengan penganjuran yang berimpak tinggi dan penyertaan pelbagai pihak, MENTION2025 sekali lagi membuktikan peranan UKM sebagai universiti watan bertaraf global yang komited memperkasa wacana komunikasi strategik demi masa depan negara dan masyarakat.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Reda rumah tangga runtuh lagi, Kaka Azraff pilih fokus besarkan 3 anak selepas sah bercerai talak dua

SELEPAS pelbagai usaha dilakukan demi mempertahankan mahligai cinta yang dibina, penyanyi, Kaka Azraff akhirnya akur apabila jodohnya bersama suami,...

More Articles Like This