Pada pertengahan abad ke-19, masyarakat England dikejutkan dengan satu kes perundangan yang dianggap luar biasa apabila seorang lelaki muncul dan mendakwa dirinya adalah pewaris sebenar kepada gelaran bangsawan Tichborne.
Kes tersebut yang berlangsung sepanjang tahun 1860-an hingga 1870-an menjadi antara perbicaraan paling sensasi dalam sejarah perundangan British. Ia penuh dengan elemen kehilangan, penipuan dan persoalan identiti.
Roger Tichborne dilahirkan dalam keluarga Katolik ternama di Hampshire, England. Keluarga itu telah menetap di situ sejak zaman Norman Conquest tahun 1066.

Anak kepada pasangan Henriette dan James Tichborne ini dijangka mewarisi kekayaan dan gelaran keluarga mereka. Namun, kehidupannya berakhir secara tragis apabila beliau dipercayai maut dalam nahas kapal Bella pada tahun 1854 ketika berusia 25 tahun.
Kapal yang dinaiki Roger itu berlayar dari Chile menuju ke Jamaica, tetapi empat hari selepas berlepas, ia karam dan tiada mangsa ditemui hidup. Berita itu membuatkan keluarganya menerima hakikat bahawa Roger telah tiada, kecuali ibunya, Lady Tichborne, yang enggan mempercayai anaknya sudah mati.
Beberapa tahun selepas itu, khabar angin mula tersebar kononnya ada mangsa kapal karam Bella yang terselamat dan dibawa ke Australia oleh kapal lain.
Lady Tichborne mula mengiklankan pencarian anaknya di akhbar-akhbar Australia, malah menawarkan ganjaran besar kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat tentang Roger. Dalam iklan itu, beliau menyertakan butiran fizikal anaknya – tinggi, bermata biru dan berambut perang muda.

Kemunculan Seorang Lelaki
Setelah lebih satu dekad selepas kehilangan Roger, muncul seorang lelaki di Australia. Lelaki itu seorang penjual daging bernama Thomas Castro. Dalam satu prosiding kebankrapan pada tahun 1865, Castro membuat pengakuan aneh dengan mendakwa bahawa Thomas Castro bukan nama sebenarnya.
Lelaki itu juga mendakwa memiliki harta di England dan pernah terselamat dari kejadian karam kapal. Tambah menarik, beliau memiliki paip rokok bertanda huruf ‘R.C.T’ (tanda nama Roger Charles Tichborne).
Apabila disoal tentang iklan Lady Tichborne di akhbar, Castro mendakwa dirinya ialah Roger Tichborne yang telah lama hilang. Berita itu sampai ke pengetahuan Lady Tichborne, dan beliau segera berhubung dengan lelaki tersebut.
Walaupun jawapan diberikan Castro banyak percanggahan, Lady Tichborne yakin bahawa anaknya telah kembali. Keyakinannya semakin kuat selepas kematian anak bongsunya, Sir Alfred, pada tahun 1866.
Pulang ke England
Castro mendakwa selepas kapal Bella tenggelam, beliau diselamatkan kapal Osprey dan dibawa ke Melbourne. Di Australia, beliau menetap dan bekerja sebagai penjual daging.
Namun, banyak perkara yang menimbulkan tanda tanya. Dalam wasiat yang ditulisnya, Castro menyebut harta dan nama ahli keluarga yang tidak wujud, malah tersilap menulis nama ibunya sendiri sebagai Hannah Frances dan bukannya Henriette.

Tambahan pula, penampilannya jauh berbeza dengan Roger yang dikenali ramai. Roger kurus, tetapi Castro gemuk dan berisi. Namun dengan bantuan kewangan daripada penyokong yang percaya, termasuk Lady Tichborne, beliau berlayar pulang ke England pada tahun 1866 bersama isteri dan anak-anaknya.
Setibanya di England, Castro bertemu dengan Lady Tichborne di Paris. Wanita itu tanpa ragu memeluknya dan mengisytiharkan bahawa lelaki itu ialah anaknya yang hilang. Beliau malah memberi Castro elaun £1,000 sebulan, jumlah yang besar ketika itu.
Beberapa individu terkemuka turut menyokong tuntutan tersebut. Peguam keluarga, Edward Hopkins, dan doktor peribadi, J.P. Lipscomb, mengesahkan identiti lelaki itu sebagai Roger.
Lipscomb mendakwa beliau menemui kecacatan fizikal pada kemaluan lelaki tersebut, sama seperti yang pernah dimiliki Roger. Tambahan pula, lelaki itu dapat mengingati butiran kecil seperti peralatan memancing, pakaian dan nama anjing keluarga mereka.
Namun, ramai juga yang menolak dakwaan ini. Seluruh keluarga Tichborne kecuali Lady Tichborne menganggap lelaki itu seorang penipu. Mereka menegaskan bahawa Roger yang sebenar seorang berpendidikan tinggi, bertutur dengan loghat Perancis dan menulis dengan ejaan sempurna. Sedangkan ‘Roger versi Australia’ itu bercakap kasar, tidak tahu berbahasa Perancis dan sering salah ejaan. Bahkan tatu yang diketahui ada pada tubuh Roger juga tiada pada dirinya.

Dari Mahkamah Sivil ke Penjara
Setelah kematian Lady Tichborne pada tahun 1868, sokongan terhadap Roger dari Australia ini mula merosot. Pada tahun 1871, satu kes sivil dibuka di mahkamah untuk menentukan sama ada beliau benar-benar pewaris Tichborne.
Namun siasatan mendalam mendedahkan bahawa lelaki itu sebenarnya ialah Arthur Orton, anak kepada seorang penjual daging dari Wapping, London, orang yang sama pernah disebutnya sebagai ‘rakannya’ di Australia.
Perbicaraan ini menjadi antara kes terpanjang dalam sejarah England, berlangsung selama 188 hari. Bukti tulisan tangan, rekod perjalanan dan saksi-saksi dari England dan Australia semuanya menunjukkan bahawa Thomas Castro dan Arthur Orton ialah orang yang sama.
Akhirnya, juri mendapati lelaki itu bersalah atas tuduhan sumpah palsu dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun. Namun, dia hanya menjalani 10 tahun penjara sebelum dibebaskan. Lelaki itu meninggal dunia pada tahun 1898 dalam keadaan miskin dan tidak dikenali.
Kisah penipuan identiti ini bukan saja menggemparkan masyarakat Victoria tetapi turut memberi ilham kepada penulis terkenal, Anthony Trollope untuk menulis novel Is He Popenjoy? yang diterbitkan bersiri selari dengan perkembangan sebenar kes tersebut.
Akhirnya, mahkamah membuktikan bahawa lelaki itu bukan pewaris bangsawan yang hilang, tetapi Arthur Orton, seorang penjual daging dari Wapping, Australia, yang licik mengambil kesempatan atas kerinduan seorang ibu.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

