Pada musim panas tahun 1949, seorang ahli geologi bernama Vadim Kolpakov menemui sebuah formasi kawah batuan aneh di kawasan Bodaibo dalam wilayah Irkutsk, di tenggara Siberia.
Dikelilingi hutan tebal, formasi batu itu terdiri daripada bongkah-bongkah batu kapur pecah. Kawasan batu ini berbentuk bujur dengan kawah berbentuk kon yang mengandungi bonjolan kecil seperti bola di bahagian tengahnya.
Diameter dasarnya dianggarkan sekitar 160 meter dengan ketinggian kira-kira 80 meter. Hanya sedikit pokok yang tumbuh di atas formasi batu aneh yang dikenali sebagai Kawah Patomskiy ini. Misteri geologi ini telah membingungkan para saintis yang masih tidak pasti apa yang menyebabkan pembentukan ganjil tersebut.

Dinamakan sempena sungai yang mengalir berhampiran kawasan ini, keanehan Kawah Patomskiy telah mencetuskan pelbagai teori menarik. Ada teori yang mendakwa ia merupakan lombong uranium rahsia era Stalin yang menggunakan buruh tahanan Gulag.
Geng alien pula membuat teori ia adalah tapak pendaratan UFO dan makhluk asing. Teori lain yang popular termasuklah formasi itu disebabkan letupan bawah tanah akibat uranium atau gas asli. Ada juga yang menyebut ia kesan meteorit bersaiz debu yang menembusi kawasan itu dan menimbulkan kawah batu tersebut.
Tak kurang juga yang mengaitkannya dengan peristiwa Tunguska, kejadian letupan besar yang berlaku pada tahun 1908 berhampiran Sungai Tunguska di Siberia.
Teori uranium mungkin kedengaran tidak masuk akal namun ada asasnya jika dikaitkan dengan keanehan kawah batu ini. Kawasan tersebut memang kaya dengan unsur radioaktif semula jadi. Pun begitu, keadaan pokok di sekitarnya tidak menunjukkan kesan letupan besar seperti uranium atau peristiwa Tunguska — yang sepatutnya telah menumbangkan keseluruhan hutan tersebut.

Ada juga teori menyebut ada jasad asing atau makhluk luar angkasa telah lama tertanam di bawah kawah Patomskiy dan itu yang menyebabkan bentuk uniknya. Namun, tahap radiasi yang normal telah menolak teori ini kerana objek dari angkasa sepatutnya meninggalkan kesan radioaktif jauh lebih tinggi.
Sudah tentu, ada yang menentang dengan mengatakan bahawa kapal angkasa itu mungkin mendarat terlalu lama dahulu, dan tahap radiasinya telah pun menurun ke paras normal. Teori ini disokong oleh pertumbuhan luar biasa tumbuhan di sekitarnya.
Dua teori awal yang dianggap paling munasabah menyatakan bahawa asal-usul kawah batu ini mungkin disebabkan vulkanik atau meteorit. Namun, saintis tidak menemui sebarang bukti untuk kedua-dua senario tersebut berlaku di lereng kawah Siberia itu.
Tiada batuan gunung berapi, tiada serpihan meteorit. Namun begitu, kawasan itu mengingatkan para penyelidik kepada kesan hentaman meteorit di bulan, dan mereka percaya bukti mungkin terletak jauh ke dalam tanah, di mana meteorit itu meletup.
Legenda Tempatan
Walaupun terpencil, wilayah Irkutsk didiami oleh penduduk asal Yakut. Mereka menganggap kawasan kawah batu itu tempat berpuaka dan mendakwa haiwan besar enggan masuk ke situ.
Salah satu teori mengenai kepercayaan ini ialah kemungkinan nenek moyang mereka pernah hidup ketika kawasan itu mempunyai tahap radiasi yang tinggi. Mungkin mereka jatuh sakit dan meninggal disebabkan itu. Lama-kelamaan, kisah ini berubah menjadi cerita lisan suku kaum Yakut yang sebati dalam budaya mereka. Malah, mereka menamakan kawah itu sebagai ‘Sarang Helang Api’ kerana bentuknya.
Sebelum kejatuhan Kesatuan Soviet, perbelanjaan penyelidikan lebih tertumpu kepada pembangunan ketenteraan, jadi kajian terhadap kawah ini ditangguhkan.
Ekspedisi pertama pada tahun 2005 bertemu musibah besar apabila ketua penyelidiknya, Evgeny Vorobyov, meninggal dunia di pertengahan perjalanan kerana serangan jantung. Pasukannya tetap meneruskan misi. Kawasan itu dikaji dengan teliti, tetapi hasilnya hanyalah lebih banyak kemungkinan tanpa kesimpulan muktamad. Menariknya, mereka menemui beberapa anomali lain di kawasan sekitarnya.
Oleh kerana penemuan itu berlaku pada awal era Perang Dingin, kerajaan Rusia pada awalnya bimbang ia mungkin tapak ujian nuklear oleh negara lain. Lagipun, Amerika baru tiga tahun sebelum itu menjatuhkan bom atom di Jepun, dan umum tahu bahawa Rusia sedang berusaha membangunkan teknologi yang sama.
Antara perkara pertama yang diperiksa oleh pegawai Soviet ialah tahap radiasi di kawasan tersebut. Namun hasilnya tidak menunjukkan apa-apa yang luar biasa. Walaupun sedikit lebih tinggi daripada paras biasa, ia tidak menunjukkan kesan letupan nuklear.
Apa yang membingungkan ialah tumbuhan di sekitar kawasan itu menunjukkan pertumbuhan luar biasa selama lebih satu abad sebelum penemuan kawah tersebut.
Walaupun kedengaran tidak berbahaya, anomali ini biasa berlaku dalam kes pendedahan nuklear kerana radiasi boleh menyebabkan mutasi genetik pada tumbuhan, menjadikannya lebih besar dari biasa seperti fenomena yang berlaku di Chernobyl.

Selain itu, anomali magnetik juga dikesan di dalam dan sekitar kawasan Patomskiy yang aneh ini. Walau bagaimanapun, faktor lain juga boleh menyebabkan lonjakan pertumbuhan pokok seperti itu.
Ahli geomorfologi moden percaya bahawa ‘Sarang Helang Api’ mungkin merupakan gunung berapi yang sangat jarang ditemui, bertindak sebagai saluran udara untuk takungan gas bawah tanah yang besar. Formasi batuan ganjil di situ juga mungkin berpunca daripada reaksi kimia antara unsur di permukaan dengan yang bocor dari dalam bumi.
Dmitry Demezhko dari Institut Geofizik, Yekaterinburg, membuat teori bahawa kawah itu terbentuk dalam dua fasa. Pertama, aktiviti tektonik di kawasan tersebut mencipta saluran seperti gunung berapi lumpur. Kemudian, proses pembekuan dan pencairan berulang menyebabkan batuan di situ pecah dan membentuk struktur yang ada sekarang.
Salah satu kajian terbaru yang diterbitkan pada tahun 2015 oleh V.S. Antipin, B.G. Pokrovsky dan A.M. Fedorov menyimpulkan bahawa formasi itu terjadi akibat satu atau lebih letupan wap, sama ada apabila magma naik melalui air dan batu, atau apabila retakan bawah tanah melepaskan air bertekanan tinggi yang terperangkap dalam batuan.
Sehingga kini, para penyelidik masih belum menemui jawapan pasti tentang asal-usul kawah Patomskiy. Ada yang percaya ia hasil letupan semula jadi dari perut bumi, ada pula yang berpendapat ia kesan hentaman dari langit. Apa pun kebenarannya, formasi aneh yang ditemui Vadim Kolpakov itu terus mengingatkan kita bahawa masih banyak rahsia alam yang belum mampu diterangkan oleh sains.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

