Tiada istilah suami isteri dalam etnik ini. Wanita adalah ketua dan bebas pilih pasangan, lelaki sebagai ‘penyumbang benih’

Dari Penulis

Kaum Mosuo (juga dikenali sebagai Moso, Mosso atau Musuo) ialah satu kumpulan etnik yang menetap di wilayah Yunnan dan Sichuan, China. Kaum yang berjumlah sekitar 50,000 orang ini menghuni tepian Tasik Lugu di kaki banjaran Himalaya sejak berabab-abad yang lalu.

Mereka tinggal di perkampungan yang indah dikelilingi gunung-ganang dan tasik berkabus pada ketinggian 2,700 meter dari paras laut. Jaraknya yang jauh dari dunia moden membuatkan budaya dan adat Mosuo masih kekal terpelihara.

Tempat kediaman kaum ini juga digelar sebagai ‘kerajaan wanita’. Mengapa? Kerana di sini hanya wanita yang berkuasa dalam institusi kekeluargaan. Manakala lelaki hanya dianggap sebagai ‘penyumbang benih’ sahaja untuk mendapatkan zuriat.

Etnk Mosuo menghuni sekitar tasik Lugu di kaki banjaran Himalaya.

Antara tradisi unik kaum Mosuo ialah ‘zouhun’ di mana mereka mengamalkan sistem hubungan yang berubah-ubah. Tiada istilah perkahwinan di sini. Tiada gelaran suami atau isteri.

Setelah melalui upacara akil baligh, wanita Mosuo bebas memilih pasangan mereka dan boleh mempunyai seramai mana lelaki yang mereka mahu sepanjang hayat mereka.

Selalunya mereka akan mencari pasangan melalui upacara tari menari yang diadakan. Apabila wanita sudah setuju dengan lelaki yang diingininya, begitu juga dengan lelaki tersebut, mereka akan melaporkan hubungan tersebut kepada ketua komuniti mereka. Selepas itu, mereka boleh berhubungan dan bergantung sejauh mana mereka mahu hubungan tersebut berterusan.

Lelaki Mosuo tidak berkuasa dalam istitusi kekeluargaan. Tugas mereka adalah untuk memberikan zuriat kepada wanita.

Dalam hubungan seperti ini, lelaki akan mengunjungi rumah wanita pada waktu malam sahaja dan tidur di ruang khas yang dipanggil ‘bilik bunga (flower room). Sebelum fajar menyingsing, lelaki tersebut akan pulang semula ke rumah keluarganya.

Pasangan tidak akan tinggal bersama. Sejak dari awal mereka sudah faham ia bukan hubungan yang eksklusif yang harus mengekalkan mereka untuk bersama buat selama-lamanya. Sebaliknya, kedua-duanya hidup secara berasingan dengan keluarga sendiri. Cuma di waktu malam sahaja si lelaki akan datang ke rumah si wanita untuk ‘bersama’.

Tiada Tangggungjawab Bapa

Bagaimana jika wanita itu hamil? Sebenarnya salah satu tujuan hubungan tersebut adalah untuk mendapatkan zuriat. Tetapi dalam tradisi kaum ini, lelaki tidak mempunyai tanggungjawab terhadap anaknya. Malah, lelaki itu juga tidak dianggap sebagai bapa kepada anak itu.

Jadi, siapa yang bertanggungjawab terhadap anak itu? Adik beradik lelaki dan pakcik wanita itu yang menggalas tanggungjawab tersebut. Lebih mudah untuk difahami, lelaki itu tidak ada peranan sebagai ayah terhadap anaknya, tetapi dia bertanggungjawab untuk membesarkan anak-anak saudaranya.

Tanggungjawab membesarkan anak berada di bahu adik beradik lelaki atau pakcik wanita itu.

Namun jika kita lihat dari sudut lain, segelintir wanita yang melahirkan anak itu pun mungkin tak tahu siapa ayah sebenar anak tersebut. Sebabnya wanita Mosuo ini bebas memilih pasangan, sehingga generasi terdahulu ada yang memiliki lebih 50 pasangan sepanjang hidup mereka.

Secara tradisi, lelaki Mosuo akan keluar berdagang, membina rumah, menangkap ikan dan menjaga ternakan. Tanggungjawab kewangan mereka lebih tertumpu kepada anak saudara yang tinggal serumah, bukan kepada anak kandung sendiri.

Walaupun masyarakat luar sering menggelar Mosuo sebagai salah satu masyarakat matriarki terakhir dunia, hakikatnya sistem mereka lebih tepat disebut matrilineal, di mana keturunan dan harta diwariskan melalui garis keturunan ibu. Lebih kurang sama seperti adat Minangkabau di Indonesia dan Bribri di Costa Rica.

Dalam keluarga Mosuo, wanita tertua dikenali sebagai ‘Dabu’, menjadi ketua rumah tangga dan pemegang keputusan utama mengenai harta serta sumber ekonomi keluarga. Apabila meninggal dunia, harta dan rumah akan diwarisi oleh anak perempuan tertua.

Wanita Mosuo.

Seorang pemuzik muda Mosuo bernama Yang Zhaxi yang membesar dalam tradisi tersebut berkata, dia dibesarkan oleh ibunya bersama makcik dan pakciknya. Walaupun bapanya tidak tinggal bersama, hubungan mereka masih baik dan sering keluar mencari cendawan dan kayu api bersama.

“Kalau seorang lelaki yang hati baik, walaupun hubungan itu telah berakhir, dia masih akan berhubung dengan anak-anak, memberi hadiah dan membantu persekolahan mereka. Anak-anak tetap darah dagingnya, walaupun bukan tanggungjawabnya secara rasmi,” kata Zhaxi.

Berbeza dengan perkahwinan konvensional, hubungan dalam budaya Mosuo tidak diikat oleh kewajipan ekonomi. Ia bergantung sepenuhnya kepada kasih sayang dan persetujuan bersama. Bila cinta pudar, hubungan itu berakhir tanpa pertikaian.

Yang Congmu, makcik kepada Zhaxi, merupakan Dabu keluarganya. Tanda simbolik sebagai ketua keluarga ialah kunci gudang keluarga yang pegang oleh di Dabu. Makciknya mengenali pasangan pertamanya, seorang tukang kayu, ketika lelaki itu membina rumahnya.

“Dulu, saya menenun tali pinggang untuk kekasih saya sebagai tanda cinta. Itu tradisi kami. Sekarang, anak muda lebih suka memberi bunga atau iPhone,” kata makciknya sambil tertawa.

Namun, bila kasih mula pudar, kekasihnya berhenti datang menemuinya. “Dalam budaya Mosuo, hubungan berpaksikan kasih sayang. Bila kasih hilang, kita teruskan hidup,” tambahnya.

Kini, dunia moden semakin menghampiri Tasik Lugu. Pembinaan jalan raya dan lapangan terbang pada tahun 2015 membuka laluan kepada pelancong dan budaya luar. Rumah-rumah di tepi tasik kini bertukar menjadi hotel pelancongan, menjana pendapatan buat penduduk di sini. Mosuo kini berada di persimpangan antara tradisi dan modeniti.

Pandangan tentang cinta dan perkahwinan turut berubah. Anak muda Mosuo semakin terpengaruh dengan filem romantik dan mula memilih untuk berkahwin secara rasmi, tinggal serumah, dan berikrar sehidup semati – sesuatu yang tidak pernah wujud dalam tradisi lama kaum mereka.

Zhaxi sendiri akhirnya berkahwin dengan wanita Han China dan hidup bersama anak mereka. Katanya, hidup cara moden lebih mudah, namun dia masih memikul tanggungjawab terhadap anak-anak kakaknya, meneruskan semangat Mosuo yang masih berakar dalam warisan keluarga mereka.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Di dasar laut, saya menemui kebesaran Allah’ – Afizah 

"Saya sangka dasar laut hanya dipenuhi ikan dan batu karang. Rupa-rupanya, di situlah saya belajar erti kehidupan." Luah Pengasas Mikraj...

More Articles Like This