Pelakon dan usahawan popular, Nur Nilam Ortiz, menerusi perkongsian di sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini menyatakan bahawa anaknya yang dikenali sebagai KJ, lima minggu telah dimasukkan ke hospital dua kali akibat jangkitan kuman dalam darah.
Nilam Ortiz juga turut menjawab persoalan peminat berkenaan kelahiran bayi tersebut dan mengapa Nilam serta suami, pelakon Azlan Komeng memilih untuk menyembunyikan berita kehamilan tersebut daripada umum.

“Ramai yang terkejut sebab sedar-sedar saya sudah ada bayi. Saya sengaja tidak berkongsi tentang kehamilan kerana pernah melalui keguguran. Saya tak mahu tekanan luar mengganggu kandungan. Ditambah pula dengan kemelut rumah tangga ketika itu.
“Saya tidak jadi bercerai kerana anak. Waktu masalah rumah tangga, saya sedang mengandung dan simpan semuanya tanpa berkongsi dengan sesiapa,” katanya.
Nilam turut mengakui tempoh kehamilan kali ini bukanlah sesuatu yang mudah, malah tekanan emosi yang ditanggung memberi kesan kepada kesihatan diri serta bayi dalam kandungan.
“Saya bukan sahaja perlu menjaga kandungan, tetapi juga diri sendiri. Bila emosi tidak stabil, ia sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan bayi. Mungkin itu antara punca kesihaan KJ tidak begitu baik sekarang,” luahnya.

Cukup terkesan dengan keadaan anaknya, Nilam memohon orang ramai menitipkan doa buat anak kecilnya itu.
“Ini ialah kali kedua KJ dimasukkan ke hospital. Sebelum ini kerana jangkitan paru-paru dan kali ini kerana jangkitan kuman dalam darah.
“Saya mohon doa semua agar KJ cepat sembuh. Sebagai ibu, saya mahu beri tumpuan sepenuhnya kepada anak saya ini tanpa terlibat dengan perkara-perkara yang tidak membawa manfaat.
“Kalau anda sedang mengandung, tolonglah jaga kesihatan dan kandungan. Jangan stress dan fikir yang bukan-bukan. Biar apa pun yang berlaku, kawal emosi kerana ia menjejaskan bayi dalam kandungan. Abaikan masalah dan jangan terlalu fikir,” katanya lagi.
Untuk rekod, KJ merupakan cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup Nilam dan suami selepas lima tahun mendirikan rumah tangga. Nilam turut mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun daripada perkahwinan terdahulu.

