
Lebih kurang tiga bulan sahaja lagi, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan. Di media sosial kini pun para peniaga sudah rancak menjual baju-baju disulami muzik hari raya. Ramadan belum nampak, tetapi vibe raya sudah dimulakan.
Namun tanpa disedari, bulan Disember kian menghampiri. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah, ini bulan yang akan mendatangkan ‘sakit kepala’ terutama mereka yang mempunyai ramai anak, namun berpendapatan kecil.
Persiapan persekolahan bukan sekadar membeli pakaian seragam dan kasut. Buku teks, alat tulis, beg sekolah serta peralatan tambahan lain perlu diambil kira.
Kos untuk seorang anak mungkin sederhana apatah lagi jika kita pandai mencari barangan yang murah, tetapi tetap perit untuk keluarga dengan tiga atau empat anak yang bersekolah sekaligus, jumlahnya boleh mencecah ribuan ringgit.
Sudahlah begitu, sebulan selepas sesi persekolahan bermula (Januari 2026), bulan Ramadan pula menjelma. Ibarat kata, belum sempat poket nak bernafas dengan tenang, dah kena fikir untuk persiapan Aidilfitri pula. Tak hairanlah ramai yang akan pening kepala bila Disember menjelmakan diri tidak lama lagi.

Bagi mereka yang bijak, penyelesaian utama adalah perancangan awal. Ada ibu bapa yang mula menyimpan sedikit demi sedikit sejak awal tahun atau memanfaatkan promosi hujung tahun. Strategi ini membantu mengurangkan beban kewangan pada Disember dan Januari.
Dengan sedikit perancangan awal, tekanan membeli keperluan sekolah dan persiapan raya dapat dikurangkan, sambil tetap memastikan anak-anak mendapat apa yang diperlukan.
Membuat senarai belanja dan menetapkan bajet untuk setiap anak akan membantu ibu bapa menilai kemampuan sebenar sebelum berbelanja. Berbincang dengan ahli keluarga juga penting. Sekiranya sumber kewangan terhad, fokuskan kepada keperluan asas dahulu. Barangan tambahan yang kurang penting boleh ditangguhkan. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan tekanan mental dan kewangan, tetapi juga mengajar anak-anak tentang nilai perancangan dan pengurusan wang sejak kecil.
Selain menyimpan dan merancang belanjawan, bijak memanfaatkan promosi akhir tahun dan tawaran online juga membantu penjimatan. Banyak platform e-dagang menawarkan bundling, potongan harga atau jualan istimewa yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Dengan sedikit strategi, ibu bapa boleh berjimat dalam mendapatkan keperluan anak-anak.
Untuk yang bergaji besar, tiada masalah. Untuk yang bersederhana, insyaAllah semuanya baik-baik saja. Namun, tetap ada golongan yang kurang berkemampuan di luar sana. Bukan kerana mereka tidak bijak merancang kewangan, tetapi mereka kurang bernasib baik dan itulah ujian untuk mereka.
Kita yang berkemampuan ini jenguk-jenguklah kiri kanan depan belakang, boleh juga kita bersedekah dengan membantu mereka yang kurang berkemampuan. Tindakan ini bukan sekadar menzahirkan rasa perikemanusiaan, tetapi juga satu amalan mulia dalam Islam. Dengan sedikit usaha dan keprihatinan, kita bukan sahaja meringankan beban mereka, tetapi juga menanam nilai empati dan kesedaran sosial kepada anak-anak sendiri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

