Pada zaman pemerintahan Raja Henry VIII, ketika England dilanda pergolakan politik dan perpecahan agama, lahirlah sebuah alat penyeksaan yang namanya jarang disebut, tetapi kesannya amat menakutkan.
Dikenali sebagai Scavenger’s daughter, alat ini tidak merentap mangsa seperti alat penyiksaan terkenal The rack, sebaliknya ia menghimpit tubuh manusia sehingga darah mengalir keluar dari telinga.
Pada abad ke-16, alat berbentuk rangka besi yang kelihatan seperti huruf “A” ini menandakan permulaan mimpi buruk bagi sesiapa yang diseret ke menara London.
Mereka akan dimasukkan ke dalam bingkai besi yang kaku itu sebelum tubuh mereka dilipat, dihimpit dan dipaksa tunduk sehingga hampir patah tulang.

Asal Usul
Scavenger’s daughter dicipta oleh Sir Leonard Skevington (atau Skeffington), seorang pegawai di menara London yang bertanggungjawab menguruskan sesi soal siasat dan penyeksaan.
Penciptaannya berlaku ketika situasi politik England sedang tegang selepas Henry VIII memutuskan hubungan dengan Gereja Katolik dan menubuhkan Church of England kerana perkahwinannya dengan Catherine of Aragon tidak dibatalkan.
Perpecahan agama ini mencetuskan gelombang pemburuan mereka yang dikategorikan sebagai pengkhianat. Bukan hanya rakyat, paderi, bangsawan atau sesiapa sahaja yang dituduh tidak setia kepada raja, semuanya berisiko merasai sengsara alat ini.
Jika The rack menarik mangsa hingga terpisah anggota badan, Scavenger’s daughter pula bekerja sebaliknya. Ia akan memampatkan tubuh mangsa.
Bentuknya ringkas dengan rangka besi berbentuk huruf “A”. Dalam sesetengah versi, ia mempunyai gelung besi yang berengsel pada bahagian atas.
Bagaimana cara penyeksaannya? Mangsa dipaksa melutut. Leher, tangan dan buku lali mereka dikunci pada kedudukan yang tidak boleh digerakkan. Rangka besi itu kemudian ditutup secara paksa yang akan menolak kepala mangsa ke bawah sambil menekan lutut mereka ke dada.
Hasilnya? Tubuh manusia dilipat seperti janin, tetapi dalam keadaan yang sangat menyakitkan. Tulang rusuk boleh retak, otot pecah, paru-paru terhimpit, malah darah akan mengalir dari hidung, telinga. Kadangkala darah juga keluar melalui hujung jari akibat tekanan dalaman yang melampau.

Menurut penulis Erik Ruhling dalam Infernal Device, sesi penyeksaan lazimnya berlangsung selama satu jam setengah, cukup lama untuk menyebabkan mangsa pengsan akibat pendarahan dalaman.
Alat ini digunakan untuk memaksa mangsa membuat pengakuan, menghukum pengkhianat atau sekadar menakutkan mereka yang dianggap mengancam takhta.
Penggunaan alat ini sebagai penyiksaan mulai pupus secara beransur-ansur pada penghujung abad ke-16.
Hari ini, alat ini sekadar menjadi salah satu artifak sejarah yang dipamerkan di muzium. Ia juga muncul dalam novel-novel berlatarbelakangkan zaman Tudor dan dokumentari.
Pada tahun 1826, salah satu alat yang dipercayai asli telah dibeli dalam jualan perisai lama di Westminster, menunjukkan minat berterusan terhadap alat penyiksaan ini.
Scavenger’s daughter mungkin tidak seikonik Iron Maiden atau The rack, namun alat ini masih dianggap sebagai antara ciptaan penyeksaan yang kejam dalam sejarah manusia.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

