Pada tahun 1991, seorang petani dari Romania bernama Vasile Gorgos tiba-tiba hilang tanpa jejak. Laporan polis dibuat, pencarian besar-besaran dilakukan tetapi lelaki itu gagal dikesan. Bahkan keluarganya juga sudah membuat upacara memperingati kematiannya.
Tiba-tiba selepas 30 tahun, lelaki itu muncul semula di depan rumah, masih memakai pakaian yang sama ketika dia hilang tiga dekad yang lalu. Lebih aneh, Vasile mendakwa dia tidak ke mana-mana pun sepanjang waktu dia hilang itu.
Kisahnya begini, pada tahun 1991, Vasile ketika itu berusia 63 tahun, bekerja sebagai penternak dan peniaga lembu di sebuah perkampungan kecil berhampiran Bacău, Romania. Kehidupan sehariannya biasa-biasa saja.
Sesekali dia akan menaiki kereta api untuk ke bandar lain bagi urusan jual beli ternakan. Dia akan ke bandar-bandar berhampiran untuk melakukan urusan biasa sebagai peniaga lembu. Kebiasaannya Vasile akan pergi meninjau harga pasaran, berjumpa pembeli atau penternak lain dan kadang-kadang menghantar atau mengambil ternakan. Perjalanan seperti ini sudah menjadi rutinnya selam bertahun-tahun. Dia akan keluar selama satu atau dua hari. Selesai kerja, Vasile akan pulang semula ke rumahnya.

Suatu hari, Vasile keluar untuk menaiki keretapi. Tiket telah dibeli lebih awal. Dia memberitahu keluarganya bahawa dia akan pulang dalam sehari dua lagi. Namun, sejak itu Vasile tidak pernah kembali.
Keluarganya yang risau apabila dia masih tidak pulang ke rumah telah membuat laporan kehilangannya. Pencarian dan siasatan dilakukan. Tahun demi tahun berlalu, namun tiada sebarang petunjuk tentang kehilangannya. Tiada bukti jenayah, tiada saksi. Akhirnya, kes kehilangan Vasile menjadi kes ‘sejuk’ yang tidak dapat diselesaikan. Tiada siapa tahu apa yang berlaku kepada lelaki itu.
Tahun berganti tahun. Ahli keluarga Vasile percaya dia telah meninggal dunia. Setiap tahun, mereka membuat majlis kecil untuk memperingatinya.
Sementara itu, Romania sendiri berubah sepenuhnya. Dari sebuah negara komunis bertukar menjadi demokrasi, menyertai NATO dan Kesatuan Eropah, kemudian menerima gelombang teknologi moden seperti Internet, telefon pintar, media sosial selari dengan peredaran zaman. Dunia yang pernah dikenali Vasile sudah hilang ditelan waktu.
Kepulangan Yang Mengejutkan
Pada 29 Ogos 2021, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Menurut saksi, sebuah kereta berhenti di depan rumah keluarga Vasile. Keluar seorang lelaki tua berusia 93 tahun. Lelaki itu kelihatan bingung, termenung lama seolah-olah hairan bagaimana dia tiba di situ. Sebelum sesiapa sempat mencatat nombor plat kereta tersebut, kenderaan itu memecut secepat mungkin meninggalkan kawasan tersebut.
Ya, lelaki yang berusia hampir seabad itu ialah Vasile yang telah hilang tiga dekad yang lalu. Lebih aneh, Vasile memakai pakaian yang sama seperti hari dia hilang pada tahun 1991. Di poketnya pula masih ada tiket keretapi yang dibeli 30 tahun lalu.

Ketika diperkenalkan kepada anak-anaknya, Vasile gagal mengenali mereka kerana perubahan wajah angkara jarak usia yang lama memisahkan mereka. Malah, anak-anaknya sendiri mengambil masa untuk benar-benar percaya bahawa lelaki tua itu ialah ayah mereka.
“Kami tak faham apa yang dia tuturkan,” ujar anak lelakinya kepada media tempatan.
“Kalau ditanya sesuatu perkara, dia akan menjawab tentang zaman semasa dia menternak lembu dahulu, seolah-olah fikirannya masih berada di tahun 1991,” ujar anaknya.
Pemeriksaan perubatan pula mendapati Vasile berada dalam keadaan fizikal yang baik untuk peringkat usianya, kecuali masalah ingatan yang membingungkan pengkaji.
Vasile masih boleh mengingati fakta asas kehidupannya — lahir pada tahun 1928, isterinya sudah meninggal dan latar belakang keluarganya sehingga ke tahun 1991 sebelum kehilangannya. Namun apabila ditanya tempoh sepanjang 30 tahun dia hilang, Vasile tiada memori tentang apa berlaku dalam jangka waktu tersebut.
Jika ditanya ke mana dia pergi sepanjang 30 tahun itu, Vasile menjawab, dia berada di rumah sepanjang masa. Jawapan itu yang menimbulkan misteri tentang kehilangannya.

Apa Yang Berlaku?
Kisah aneh kehilangan Vasile ini telah mengundang pelbagai teori dan spekulasi.
Sesetengah pakar berpendapat Vasile mungkin mengalami keadaan seperti demensia awal atau gangguan disosiatif yang menyebabkan dia kehilangan identiti dan merayau entah ke mana, mungkin dijaga oleh individu lain tanpa dokumentasi.
Dalam kalangan pengguna Internet, muncul spekulasi bahawa Vasile mungkin diculik kerajaan untuk tujuan eksperimen rahsia. Ada juga yang mengatakan mungkin dia diculik makhluk asing dan dipulangkan tanpa memori.
Ada juga yang percaya dia mungkin dipaksa bekerja atau disorokkan oleh seseorang, lalu dihantar pulang setelah terlalu tua dan tidak lagi mendatangkan hasil.
Namun dari sudut realiti, tiada satu pun teori dan spekulasi itu mempunyai bukti kukuh.
Bagaimana seorang lelaki yang hilang selama 30 tahun boleh kembali tanpa sebarang kecederaan, tanpa sebarang tanda-tanda penderaan atau tanda dia hidup di jalanan?
Lebih aneh, dia masih memakai pakaian yang sama seperti 30 tahun lalu. Tiada tanda pakaiaan itu lusuh atau reput dimamah waktu. Begitu juga dengan tiket keretapi yang masih tersimpan dalam poketnya. Tiket berusia 30 tahun itu masih elok, tidak nampak seperti sudah berusia 30 tahun.
Jika diambil makhluk asing pun, takkan 30 tahun? Ada kes berkaitan manusia yang diculik makhluk asing, tidak ada selama itu mereka diculik. Buat apa makhluk asing nak simpan lelaki ini begitu lama?
Itulah misteri kehilangan Vasile Gorgos. Kehilangannya selama 30 tahun menjadi tanda tanya yang tidak dapat dipecahkan sehingga kini.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

