DUNIA hiburan tempatan kembali dirundung pilu apabila seorang lagi alumni Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Amirul Azwan Mohd Ghazali, 37, dilaporkan meninggal dunia hari ini, dipercayai akibat serangan jantung.
Perkhabaran duka itu disahkan rakan artis yang juga bekas peserta AF4, Dr Syamsul Hirdy Muhid atau Diddy Hirdy, yang menerima maklumat mengenai pemergian Allahyarham pada pagi tadi.
Menurut Diddy, berita itu disampaikan oleh seorang kakitangan syarikatnya yang juga sepupu kepada isteri arwah.
“Kami sudah lama tak berhubung… tiba-tiba dapat khabar sedih ini.
“Saya dimaklumkan oleh kakitangan saya yang berkait rapat dengan keluarga isterinya. Memang terkejut,” katanya kepada HIP.
Difahamkan, Amirul menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kuching, Sarawak.
Apa yang lebih mengejutkan, menurut Diddy, Allahyarham tidak pernah mempunyai rekod penyakit sebelum ini.
“Setahu saya, arwah tak ada sejarah masalah kesihatan.
“Sebab itu pihak hospital sedang menjalankan proses bedah siasat pada jam 2 petang untuk mengetahui punca sebenar,” tambahnya.
Pemergian Amirul turut meninggalkan kesan besar buat keluarga kecilnya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, yang difahamkan sedang hamil memasuki trimester ketiga.
Pasangan itu baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun 2023.
Pemergian Amirul hadir hanya selepas lebih sebulan peminat seni kehilangan seorang lagi bintang AF4, Lotter P Edwin, sekali gus membuatkan komuniti AF kembali dibaluti rasa hiba.

