PENYANYI Shaffiq Erwin, nama yang tidak asing lagi dalam dunia vokal dan nyanyian, kembali menghangatkan industri muzik dengan single terbaharunya berjudul Janjir.
Dikenali ramai sebagai guru vokal, Shaffiq atau lebih mesra dipanggil Apit, sebenarnya memulakan langkah sebagai penyanyi sejak 2012.
Selepas beberapa ketika menyepi, Shaffiq kembali mencabar diri apabila menyertai program realiti Famili Duo musim pertama pada tahun 2020 bersama penyanyi popular Ara Johari.
Penyertaan “one-off” mereka mengejutkan ramai apabila duet itu berjaya muncul juara episod Saudara.
Momentum kemenangan itu berterusan. Dalam Famili Duo Musim Kedua (2023), gandingan sama kembali menyerlah hingga melayakkan mereka mara ke peringkat separuh akhir.
Tahun 2025 menjadi detik kebangkitan baharu buat Shaffiq. Menerusi Janjir, dia tampil berani bereksperimen dengan genre Rockdut, iaitu gabungan Rock dan Dangdut yang memberi warna segar pada identitinya sebagai artis.
Lebih menarik, lirik lagu Janjir memaparkan kisah pasangan yang pernah berjanji setia, namun salah seorang memungkiri janji dan hanya muncul semula saat kesusahan melanda, tema yang dekat dengan realiti dan mudah menyentuh hati pendengar.
Single ini dihasilkan oleh trio kreatif Rudy Nastia, Aizad Khan dan Shaffiq Erwin sendiri, di bawah produksi Sevoce Studio dan edaran Universal Music.
Untuk muzik video pula, Janjir tampil meriah dengan tema merah jambu dan putih, menampilkan kolaborasi bersama Kunafa Aiwah, Anas Lips Serum dan Heetam Puteh.
Keseluruhan visual pula disempurnakan oleh Shiha Zikir Empire.
Janjir sudah boleh ditonton di YouTube dan didengari di semua platform digital.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

