PELAKON dan pengacara, Karl Shafek menganggap kolaborasi terbaharu bersama kumpulan Alpha bagaikan kebetulan sepanjang menceburi industri fesyen.
Menurut Karl atau Khairul Shafek Ibrahim,45, jenama fesyen yang dibangunkan iaitu Neonate pernah mengeluarkan koleksi Alpha pada 2015.
“Saya sifatkan ini kolaborasi yang luar biasa…bukan biasa-biasa. Bayangkan 10 tahun lalu, saya pernah keluarkan koleksi Alpha.

“Tiba-tiba tahun ini, muncul Alpha dalam bentuk yang sebenar (fizikal) yang berbesar hati nak pakai pakaian jenama saya.
“Saya memang rasa tersentuh dan mengharukan. Pada masa sama, sudah tentu ia memberi cabaran kepada saya untuk terus tambah lagi pelbagai koleksi,” katanya kepada URTV.

Karl berkat demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Love Story Neonate di Sungai Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Karl, identiti yang ada dalam diri tujuh orang anggota kumpulan sangat bersesuaian dengan fokusnya.
“Identiti mereka kena sangat dengan DNA Neonate. Ramai peminat cakap mereka nampak lebih matang, lebih bergaya dan lebih menyerlah bila pakai rekaan kami.
“Sejujurnya, saya dan Alpha sudah bekerjasama dengan mereka sejak di Big Stage Alpha.
“Saya terima banyak komen positif mengatakan mereka nampak sesuai membawa nama Neonate.
“Neonate memang suka bekerja ikut tema dan tujuh karakter Alpha itu sendiri dah jadi satu tema besar. Setakat ini semuanya menjadi, Alhamdulillah,” ujarnya.

Istimewanya lagi apabila kemunculan Alpha di Korea Selatan baharu-baharu ini menerima pujian daripada penata rias di negara itu.
Malah, designer tersebut nyata terkejut selain tidak menyangka Malaysia memiliki jenama pakaian dengan rekaan yang terbaik.
“Bila stylist Korea sendiri puji, memang rasa bangga. Ini satu perkembangan baru untuk Neonate,” jelasnya.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

