Kisah budak lelaki yang mengembara dengan kudanya hanya kerana mahu menyaksikan pembukaan sebuah jambatan ikonik

Dari Penulis

Pada usia di mana kebanyakan kanak-kanak baru belajar berdikari dan lebih banyak bermain, berlainan pula dengan seorang budak lelaki dari Leongatha, sebuah pekan kecil dalam daerah Victoria, Australia, yang telah melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa.

Budak lelaki itu namanya Lennie Gwyther, lahir pada 18 April 1922. Ayahnya seorang seorang veteran perang, kakinya cedera dalam pertempuran menyebabkan bapanya tidak lagi mampu menguruskan ladang seperti dahulu.

Lennie yang ketika itu berusia 9 tahun tahun telah mengambil alih tugas bapanya untuk menjaga ladang keluarga. Rajin dan tabah, tidak pernah merungut. Itu antara sikap Lennie yang menjadi kebanggaan kedua orang tuanya.

Lennie Gwyther dan kudanya.

Apabila Lennie menyuarakan keinginannya untuk ke Sydney bagi menyaksikan pembukaan jambatan yang dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan dunia ketika itu, ibu bapanya memberi kebenaran. Tambah mengejutkan, mereka memberi keizinan untuk Lennie pergi sendirian dalam usia semuda itu, melalui perjalanan yang jauh.

Lennie begitu ingin menyaksikan pembukaan Jambatan Pelabuhan Sydney (Sydney Harbour Bridge). Jambatan itu mula dibina pada Julai 1923 oleh jurutera terkenal Australia, Dr. John Bradfield. Ia merupakan jambatan gerbang terbesar di dunia semasa dirasmikan pada 19 Mac 1932 yang dihadiri oleh lebih 300 ribu orang yang berkumpul untuk menyaksikan perasmian jambatan ikonik itu.

Lennie begitu ingin menyaksikan perasmian jambatan ini di Sydney.

Memulakan Perjalanan

Sydney Harbour Bridge, merupakan jambatan dengan gerbang terbesar di dunia ketika itu. Terdiri daripada enam lorong trafik, laluan kereta api dan tram, jambatan itu menjadi simbol inovasi Australia.

Lennie yang sejak kecil meminati struktur mekanikal tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat detik bersejarah perasmian jambatan itu.

Pada 3 Februari 1932, dengan membawa sepucuk surat daripada Woorayl Shire (ketua daerah yang merangkumi tempat tinggal Lennie di Victoria) untuk diserahkan kepada Lord Mayor Sydney. Surat tersebut juga berfungsi sebagai sokongan rasmi dan pengesahan identiti Lennie sebagai seorang budak lelaki yang akan merentas hampir separuh Australia sendirian.

Lennie memulakan perjalanan. Budak ini bergerak hanya dengan menunggang kudanya, Ginger Mick. Dalam perjalanan itu, dia mengharungi pelbagai cabaran. Antaranya melalui kawasan hutan yang sedang terbakar di Traralgon. Lennie dan Ginger turut melalui pekan demi pekan, antaranya Orbost, Bombala, Can River, Goulburn hingga sampai ke Canberra.

Pengembaraan Lennie mendapat perhatian orang ramai.

Pengembaraan Lennie mula mendapat perhatian. Di Canberra, dia berpeluang bertemu Perdana Menteri Australia ketika itu, Joseph Lyons. Sepanjang perjalanan, masyarakat sekitar menyambutnya dengan mesra. Ada yang menyediakan tempat tinggal dan makanan, serta memberi sokongan kepada misi budak kecil yang dianggap luar biasa ini.

Setelah tujuh minggu di atas pelana kuda, Lennie akhirnya tiba di Sydney pada bulan Mac 1932. Ketibaannya tidak disambut biasa-biasa. Wartawan dari seluruh negara menunggu untuk melaporkan kisah luar biasa seorang budak lelaki yang telah menunggang kuda menjelajah hampir separuh negara itu untuk sampai ke Sydney.

Ginger Mick, kuda yang lahir pada hari sama dengan Lennie dan diberikan oleh datuknya turut menjadi perhatian, menerima pujian sebagai rakan setia dalam ekspedisi itu.

Lennie kemudian bertemu Lord Mayor di Sydney Town Hall dan dijemput berdiri di pentas rasmi semasa upacara perasmian Sydney Harbour Bridge, satu penghormatan besar untuk seorang kanak-kanak dari daerah yang kecil.

Ketibaan Lennie di Sydney disambut meriah.

Sepanjang berada di Sydney, Lennie telah dibawa melawat Circular Quay, Taronga Zoo, Bondi Beach dan beberapa tempat terkenal yang lain. Antara kenangan paling berharga apabila dia menerima sebatang kayu kriket yang ditandatangani oleh Don Bradman, pemain kriket terkenal yang juga merupakan idola Lennie.

Pada awalnya, Lennie dijadualkan pulang semula ke Leongatha dengan menaiki bot. Tetapi kerana berasa seronok dan penuh semangat dengan Ginger Mick di sisi, Lennie berjaya memujuk ayahnya untuk membenarkannya pulang dengan menunggang kuda.

Dalam perjalanan pulang melalui Hume Highway, Lennie menyambut ulang tahunnya ke-10 di tengah-tengah pengembaraan. Selepas hampir empat bulan merentasi Australia, Lennie tiba semula di Leongatha. Dia disambut bagaikan wira. Lebih 800 orang memenuhi Town Hall untuk meraikan kepulangannya.

Perjalanan sejauh ini pun sukar untuk orang dewasa, apatah lagi untuk seorang kanak-kanak. Namun Lennie membuktikan bahawa keberanian tidak mengenal usia.

Kepulangan Lennie disambut meriah setelah menempuh perjalanan jauh pergi dan pulang dari Leongatha ke Sydney.

Menyaksikan perasmian Sydney Harbour Bridge telah menaikkan lagi minat Lennie terhadap kejuruteraan. Akhirnya, dia berjaya menjadi seorang jurutera dan bekerja di beberapa kilang besar, selari dengan minatnya terhadap mesin dan inovasi sejak kecil.

Lennie Gwyther meninggal dunia pada tahun 1992 ketika berusia 69 tahun. Pada tahun 2017, keluarganya telah berusaha mengumpul dana untuk membina tugu peringatan Lennie dan Ginger Mick di Leongatha.

Dua buah buku dan sebuah lagu turut diterbitkan sempena memperingati pencapaian luar biasa itu. Hari ini, tugu Lennie dan Ginger Mick berdiri megah di Leongatha, mengingatkan mereka tentang kisah seorang budak kecil yang mempunyai keinginan besar untuk mengejar impiannya.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ulek Mayang, Kuda Kepang: ‘Saya rasa ada roh mahu masuk ke dalam tubuh’ – Sam Famulan 

"Saya tak takut hantu. Tapi saya takut apabila lagu itu dimainkan." Pengakuan itu kedengaran pelik, namun itulah pengalaman yang didakwa...

More Articles Like This