MELABUHKAN tirai 2025 dengan penuh makna, stesen islamik, TV AlHijrah sekali lagi membuktikan peranannya bukan sekadar sebuah stesen televisyen, tetapi sebagai platform gaya hidup Islam yang mendidik, menyantuni dan menyatukan masyarakat.
Sepanjang tahun ini, TV AlHijrah berjaya mencatat pelbagai pencapaian membanggakan menerusi kandungan yang lebih matang, segar dan relevan, merangkumi siaran televisyen serta platform digital.
Pendekatan ini selari dengan usaha berterusan stesen tersebut untuk menyampaikan mesej dakwah dalam bentuk yang lebih dekat di hati penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, penerimaan positif terhadap kandungan Islamik yang berkualiti membuktikan masyarakat sentiasa dahagakan pengisian yang membina jiwa dan minda.

“Sepanjang 2025, kami melihat perkembangan yang sangat memberangsangkan, termasuk penerimaan kukuh terhadap kandungan digital dan televisyen.
“Ini memberi keyakinan bahawa dakwah yang disampaikan secara kreatif dan relevan akan sentiasa mendapat tempat,” katanya kepada URTV.
Sebagai tanda penghargaan kepada penonton setia, TV AlHijrah menghadiahkan lima program berimpak tinggi sebagai penutup tahun 2025.
Konsert Malam Hijrah Bergema, Santapan Jiwa Ambang Tahun Baharu
Buat julung kalinya, Konsert Malam Hijrah Bergema bakal berlangsung pada 31 Disember ini, jam 9 malam di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Konsert ambang tahun baharu ini menyatukan elemen nasyid, zikir dan semangat hijrah sebagai alternatif hiburan berteraskan nilai Islam.
Konsert istimewa ini menghimpunkan barisan artis tersohor seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, In-Team serta Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika).

Turut membuat penampilan khas ialah legenda muzik tanah air Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nash.
Menurut Namanzee, konsert ini merupakan buah tangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi santapan jiwa yang membangkitkan rasa syukur, refleksi dan keharmonian ketika melangkah ke tahun baharu.
“Ia membuktikan dakwah boleh disampaikan dengan penuh seni dan nilai,” jelasnya.
Konsert ini akan dihoskan oleh gandingan berpengalaman Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad, manakala IKIMfm turut berganding sebagai rakan penyiar radio.
Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA
Selain hiburan, pengisian ilmu turut menjadi keutamaan menerusi Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA yang akan berlangsung di PICC pada 30 Disember.
Konvensyen berskala besar ini disertai lebih 800 peserta berdaftar dan menampilkan tokoh-tokoh tersohor seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan, Abu Talib Husin serta Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Sesi petang pula diteruskan dengan Bengkel Solat bersama Ustazah Muzayyanah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.

“Ini adalah hadiah TV AlHijrah buat masyarakat sebagai tanda penghargaan atas sokongan terhadap perjalanan dakwah kami,” ujar Namanzee.
Anugerah Carta 114 & Program Eksklusif Digital
Bagi penonton di rumah, TV AlHijrah turut menyajikan siaran langsung Anugerah Carta 114 musim ketiga pada 27 Disember 2025, jam 9 malam.
Anugerah ini mengiktiraf karya muzik Islamik terbaik pilihan penonton sepanjang tahun.
Di platform digital AlHijrah Plus (AH+), penonton bakal dihidangkan dengan program Tenang Sekejap, sebuah program gaya hidup Islamik yang menampilkan sisi peribadi asatizah dan pempengaruh Muslim melalui hobi dan minat mereka.
Antara figura yang terlibat termasuk Yousaf Iqbal, Fiekah Ishak, Ustaz Hanafiah Malek, Ustaz Adnin Roslan, Nadira Johari, Nabilah Aliah, Beto Khusyairi dan Ustazah Asni Mansor.
Selain itu, lima telefilem terbaik Disember iaitu Surat Dari Syurga, Menantu Datuk Nikah Kahwin, Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan, 30 Juzuk Terakhir dan Tanda Kiriman Tuhan turut ditayangkan secara eksklusif di AH+.

Penglibatan barisan pelakon hebat seperti Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Remy Ishak, Izzue Islam, PU Rozi, Datuk Fauziah Nawi dan Vanida Imran membuktikan dakwah mampu disampaikan melalui karya visual berkualiti tinggi.
Menghadapi tahun 2026, TV AlHijrah bertekad untuk memperluas capaian dakwah, memperhebat kandungan digital dan kembali aktif di lapangan menerusi pengisian di masjid, institusi pendidikan serta lokasi tumpuan awam.
Antara perancangan utama termasuk penganjuran Karnival Hijrah 2026 sebagai usaha merapatkan hubungan fizikal antara TV AlHijrah dan masyarakat.
“Tahun hadapan akan menjadi titik tolak untuk menjadikan AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen, tetapi sebuah gerakan masyarakat yang membina karakter ummah dan menyantuni kehidupan,” kata Namanzee.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

