Dari peminat tegar ke rakan sepentas! Insomniacks cipta sejarah buka tirai konsert 5SOS di Malaysia

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

IMPIAN sedekad yang selama ini hanya tersemat di dada akhirnya terungkai dengan penuh gemilang! 

Kumpulan pop-rock tempatan kegilaan ramai, Insomniacks, baru-baru ini melakar detik paling bersejarah dalam lipatan karier seni mereka apabila diumumkan secara rasmi sebagai artis pembuka tirai untuk konsert jelajah kumpulan sensasi Australia, 5 Seconds of Summer (5SOS) di Malaysia.

Berita yang cukup membanggakan landskap muzik negara itu mengesahkan kemunculan Insomniacks untuk menghangatkan pentas selama dua malam berturut-turut, iaitu pada 17 November dan 4 Disember depan di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kepada pengikut setia kumpulan ini, pengumuman tersebut mencetuskan gelombang emosi yang luar biasa memandangkan perjalanan seni Insomniacks sememangnya bertitik tolak daripada menjadikan 5SOS sebagai inspirasi mutlak mereka.

Masih segar dalam ingatan peminat bagaimana anak-anak muda ini memulakan langkah berani dengan memuat naik video saduran (cover) lagu-lagu hit 5SOS seperti “Broken Home” dan “Amnesia”. 

Kini, pentas yang sama bakal mereka pijak, membuktikan bakat tempatan juga mempunyai kualiti dan kelas antarabangsa yang wajar dibanggakan.

Melihat kepada transisi epik ini, wakil penganjur konsert dari SAH Entertainment, Sufi Rashid, mendedahkan pemilihan Insomniacks adalah bersandarkan kepada merit, tenaga luar biasa yang dimiliki, serta hubungan rohani mereka yang sudah sedia terjalin kuat dengan muzik 5SOS.

“Jika kita amati susur galur perjalanan Insomniacks, mereka sememangnya memiliki aura bintang untuk mencetuskan fenomena yang tersendiri. 

“Acuan muzik, tenaga persembahan, malah pesona mereka di atas pentas sangat berpaksikan kepada pengaruh 5SOS.

“Memandangkan pangkalan peminat mereka juga membesar dengan genre yang sama, keserasian ini terbentuk dengan sangat semula jadi dan bakal menyajikan pengalaman yang cukup istimewa untuk penonton di Malaysia kelak,” kongsi Sufi.

Menyentuh soal keberanian merakamkan semula lagu-lagu gergasi antarabangsa, Sufi meletakkan lagu “Amnesia” sebagai naskhah paling ikonik yang menjadi jambatan penghubung antara Insomniacks dan legasi peminat 5SOS. 

Dia turut mengakui cabaran getir yang perlu dilalui artis tempatan untuk memuaskan hati pendengar global.

“Menyanyikan semula karya artis bertaraf mega ini ibarat satu perjudian besar. 

“Kita perlu berhadapan dengan jangkaan tinggi daripada peminat tegar yang pastinya mahukan kualiti bunyi dan emosi yang setanding. 

“Bagaimanapun, Insomniacks memecah tradisi ketakutan tersebut dengan cemerlang. 

“Keikhlasan mereka mengidolakan 5SOS diterjemahkan dengan sangat kemas dalam muzik mereka sehingga berjaya mengikat kesetiaan peminat dari kedua-dua belah pihak,” katanya.

Lebih manis lagi, Sufi tidak menolak kemungkinan peluang keemasan ini bakal menjadi tiket buat Insomniacks melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa, malah dia menaruh harapan tinggi agar kolaborasi rasmi antara dua kumpulan hebat ini dapat direalisasikan suatu hari nanti.

“Sejujurnya, saya amat teringin melihat mereka berkolaborasi secara rasmi dan berkongsi lampu limpah yang sama taraf di atas pentas. 

“Insomniacks bukan sahaja memiliki cita rasa muzik yang seiring, malah mereka membawa pakej yang lengkap, berbakat besar, kekal merendah diri, dan paling penting, profil mereka bersih daripada sebarang kontroversi murahan. 

“Inilah resipi sebenar untuk terbang lebih jauh.

“Sebagai pesanan buat semua pemuzik tempatan, menjadikan bintang luar negara sebagai kompas rujukan itu tidak menjadi kesalahan, tetapi keaslian (originality) karya wajib dipertahankan. 

“Insomniacks adalah contoh terunggul. Walaupun asalnya mereka menumpang tuah menerusi lagu saduran 5SOS, hari ini mereka berjaya mengukir identiti, stail, dan warna muzik yang teguh berdiri atas nama jenama mereka sendiri!” tegasnya lagi.

Pemilihan Insomniacks untuk menghangatkan tirai konsert mega ini bukan sekadar satu durian runtuh, tetapi ia merupakan penghormatan tertinggi buat bakat tempatan. 

Ia meletakkan titik noktah yang indah bahawa kerja keras tanpa henti selama 10 tahun mampu membawa sebuah kumpulan pemuzik dari studio bebas terus ke pangkuan idola yang mencetuskan impian mereka.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Demi masa depan, Kim K ketepikan ego, sanggup beratur panjang uji bakat Suria Records

SEMANGAT kental peserta program realiti Talk To My Manager musim kedua, Kim K dalam mengejar impian sebagai anak seni...

More Articles Like This