SIAPA kata seni warisan itu membosankan? Di tangan kanak-kanak, wayang kulit rupa-rupanya mampu menjadi satu persembahan yang sangat magikal dan luar biasa!
Suasana di Muzium Sains, Seni dan Inovasi Kanak-Kanak (MoSAIC) baru-baru ini gamat dengan sorakan riang apabila pameran terbaharu berjudul Bayangkanlah KL dilancarkan secara rasmi.
Apa yang mencuri tumpuan pastinya persembahan wayang kulit secara langsung oleh barisan bakat cilik daripada BaiZAM Generation ASWARA. Memang hebat!

BAKAT-bakat cilik dari kumpulan wayang kulit BaiZam Generation, membawa persembahan istimewa bersempena dengan pembukaan pameran ‘Bayangkanlah KL’ di MoSAIC
Menerusi pameran ini, keluarga diajak meneroka ibu kota Kuala Lumpur dalam bentuk yang jauh lebih menyeronokkan.
Bukan sekadar melihat, tapi kanak-kanak boleh ‘masuk’ ke dalam dunia pameran pelbagai tingkat ini melalui aktiviti praktikal.

bersempena dengan majlis pembukaan pameran ‘Bayangkanlah KL’ di Muzium Sains Seni dan Inovasi Kanak-Kanak di MoSAIC
Antara yang paling ‘trending’ dan menjadi rebutan adalah mural bercahaya dalam gelap, aktiviti lakon peranan inspirasi daripada kopitiam dan bengkel pembuatan wayang kulit mengikut kreativiti sendiri.

Majlis pelancaran turut memperkenalkan Piji, seekor burung merpati yang menjadi maskot rasmi MoSAIC.
Kehadiran Piji nyata menambah seri dan menceriakan lagi suasana, malah Piji terus menjadi ‘idola’ baharu buat anak-anak sepanjang pameran berlangsung.
Pameran yang mendapat sokongan ArtsFAS (Yayasan Hasanah) dan kerjasama ASWARA serta KreAsia ini bukan sahaja mahu menghiburkan, tetapi juga bertujuan mendekatkan seni budaya kepada generasi baharu.

Di antara tarikan menarik di pameran ‘Bayangkanlah KL’ di MoSAIC adalah lukisan mural yang bersinar di dalam gelap oleh artis, Aina Mardhia dan dibantu oleh lebih 20 orang sukarelawan yang telah mengambil masa selama 3 minggu untuk disiapkan.
Malah, pameran ini turut membabitkan artis muda serta sukarelawan daripada pelbagai latar belakang yang bersama-sama menjayakan mural komuniti sepanjang pameran.
Pameran Bayangkanlah KL ini akan berlangsung selama empat bulan.
Jadi, buat ibu bapa di luar sana yang masih tercari-cari lokasi untuk luangkan waktu bersama anak-anak, inilah masanya.
Pelbagai bengkel, sesi penceritaan, dan persembahan langsung menanti anda setiap minggu!
Kuala Lumpur bukan sekadar hutan batu, tapi sebuah taman permainan besar untuk imaginasi anak-anak kita. Tahniah MoSAIC!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

