Sabah perkasa pelancongan komuniti, Lingga Eco Tourism dan Kadamaian antara tarikan utama

Dari Penulis

Pelancongan komuniti Sabah semakin mendapat perhatian apabila Negeri Di Bawah Bayu itu mengangkat peranan penduduk tempatan sebagai penggerak utama pengalaman pelancongan di kawasan luar bandar.

Pengerusi Pelancongan Komuniti Lingga Eco Tourism, Kait Lasangan berkata, setiap aktiviti eko-pelancongan diurus bersama komuniti, dengan penduduk tempatan terlibat sebagai pemandu pelancong, petugas penyelenggaraan, dan pengurus aktiviti.

“Sama ada sebagai “guide” kerja gotong-royong atau pembersihan kawasan, semuanya dibayar dan memberi pendapatan kepada penduduk setempat.

“Penglibatan komuniti tempatan bukan sahaja memandu laluan, malah mereka juga berkongsi cerita kampung dan pengalaman harian, menjadikan pengalaman pengunjung lebih dekat dan terasa autentik,” katanya.

Pengerusi Pelancongan Komuniti Lingga Eco Tourism, Kait Lasangan.

Jelas Kait, antara yang sering menjadi rujukan ialah KOPEL (Koperasi Pelancongan Komuniti Batu Puteh Kinabatangan), yang diiktiraf sebagai Kampung Pelancongan Terbaik oleh United Nations World Tourism Organization (UNWTO), hasil pendekatan pelancongan berasaskan komuniti dan pemuliharaan.

Tambahnya lagi, dengan sokongan berterusan kerajaan dan agensi berkaitan, eko-pelancongan komuniti mampu berkembang tanpa mengorbankan kepentingan penduduk tempatan.

“Bila komuniti terlibat dan mendapat manfaat, mereka akan menjaga kawasan ini dengan lebih baik. Ini bukan saja tentang pelancongan, tetapi tentang kelangsungan hidup dan masa depan kampung,” katanya.

Pendaki tiba di Pusat Lingga Eco Tourism selepas menamatkan pendakian di Laluan Dapako.

Pendekatan ini mewujudkan satu ekosistem pelancongan komuniti dengan penduduk tempatan sebagai penggerak utama, sambil Sabah menawarkan pelbagai pengalaman kepada pengunjung mengikut minat dan keinginan mereka.

Di samping itu, beberapa produk pelancongan komuniti di Sabah turut menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard, mencerminkan usaha negeri ini dalam membangunkan pelancongan desa yang tersusun.

Sejak 2014, Lembaga Pelancongan Sabah memainkan peranan penting dengan menyediakan latihan dan kemahiran kepada komuniti, agar mereka mampu mengurus destinasi sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.

Komuniti di Kiulu dan Kadamaian antara yang awal menerima latihan dan menjadi projek perintis pembangunan pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti.

Lingga Eco Tourism di Kampung Lingga yang terletak di kaki bukit yang menghijau dengan Sungai Kiulu yang mengalir di sekitarnya merupakan antara lima pengusaha di Sabah yang menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard di peringkat kebangsaan tahun ini.

Lingga Eco Tourism juga menampilkan aktiviti seperti mendaki Dapako Hill dan pelbagai pengalaman “outdoor” yang menyeronokkan.

Selain mendaki, pengunjung juga boleh mencuba aktiviti air seperti ‘water rafting’, sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Kadamaian pula menawarkan sungai yang mengalir dari kaki Gunung Kinabalu dan tapak perkhemahan yang dikelilingi alam semula jadi.

Bagi mereka yang ingin merasai kehidupan pertanian dan agro-tourism, kawasan pedalaman seperti Tambunan dan Tenom menawarkan peluang untuk mencuba aktiviti berkebun atau memetik hasil tempatan.

Bagi pencinta alam semula jadi dan hidupan liar, Kinabatangan bersama KOPEL menawarkan peluang kepada pengunjung untuk melihat hidupan liar sambil menyokong komuniti tempatan.

Di daerah tanah tinggi Kundasang, udara segar dan sejuk serta panorama ladang sayur menanti pengunjung yang ingin menikmati pengalaman pergunungan, dengan Taman Kinabalu Park, tapak Warisan Dunia yang menempatkan Gunung Kinabalu.

Kehidupan pesisir dan budaya tempatan pula boleh dinikmati di kawasan Kota Marudu dan Kudat, yang menampilkan pantai yang menenangkan serta budaya Rungus yang unik.

Dengan pelbagai pengalaman yang ditawarkan, pelancongan komuniti di Sabah bukan sahaja memberi keseronokan kepada pengunjung, malah menyokong pembangunan dan kehidupan komuniti tempatan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Jubli Platinum FBM UiTM: FBM Homecoming Run 2026 Sasar Himpun 1,000 Peserta, Pererat Hubungan Alumni

FAKULTI Pengurusan Perniagaan (FBM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal melakar sejarah tersendiri apabila menganjurkan acara larian berskala besar, FBM...

More Articles Like This