Tesis Muhammad Fuad Kamaludin raih pengiktirafan tertinggi di Universiti Muhammad V, Rabat. Bakal diterbit dalam enam bahasa utama dunia

Dari Penulis

Ulama terkemuka Malaysia, Datuk Dr Muhammad Fuad Kamaludin, meraih pengiktirafan tertinggi di Universiti Mohammed V, Rabat, Maghribi menerusi tesis berjudul ‘Imam Ahmad bin Idris al Maghribi dan Usahanya dalam Ilmu Islam serta Penyebaran Nilai Nilai Tasawuf – Satu Kajian Kritikal.’

Pendakwah dan Pengerusi Kolej Islam As Sofadi Malaysia ini menerusi tesisnya menonjolkan asas ilmiah yang kukuh, pendekatan akademik tradisional yang digabungkan dengan pengalaman rohani, serta analisis mendalam mengenai pemikiran dan pengaruh tokoh sufi terkenal dari Maghribi.

Kejayaan ini dicapai dengan pencapaian tiga martabat utama pengiktirafan tertinggi Musyarraf Jiddan disamping tesis tersebut disyorkan untuk dicetak dan diterbitkan sebagai rujukan ilmiah yang sah dan bernilai.

Selain itu, tesis ini turut disarankan diterjemahkan ke enam bahasa utama dunia iaitu Bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Sepanyol, Portugis, dan Jerman bagi meluaskan manfaatnya ke peringkat antarabangsa.

Jawatankuasa penilai memberikan penghargaan tertinggi, termasuk kebenaran untuk menerbitkan tesis tersebut sebagai pengiktirafan terhadap nilai akademik dan kepentingan ilmiahnya.

Kejayaan ini turut menegaskan peranan Universiti Mohammed V sebagai pusat utama dalam menarik penyelidik dan ilmuwan dari seluruh dunia serta mengukuhkan hubungan kerjasama akademik antarabangsa.

Pembentangan viva voce yang berlangsung hampir tiga jam itu mempamerkan keteguhan metodologi, keberanian akademik dan dedikasi Muhammad Fuad dalam meneliti fakta kehidupan serta manhaj Imam Ahmad bin Idris dengan penuh amanah. Panel penilai kagum dengan usaha beliau membuka ruang pengkajian tokoh ulama besar Maghribi, yang terkenal di Asia tetapi kurang dikenali di tanah kelahirannya sendiri.

Menurut rakan dan anak murid beliau, kejayaan luar biasa ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga hasil kesungguhan, ketekunan dan rasa tanggungjawab terhadap amanah ilmu.

Malah, ia menjadi teladan bagi seluruh pelajar Kolej As Sofa bahawa jalan ilmu memerlukan kesabaran, pengorbanan dan keberanian mempertahankan kebenaran. Muhammad Fuad menjadi teladan bahawa seorang murid boleh menjadi ulama dan seorang ulama sejati kekal sebagai murid sepanjang hayat.

Acara akademik ini berlangsung dalam suasana ilmiah yang dihadiri oleh ahli fakulti universiti, penyelidik dan peserta dari Malaysia serta Maghribi yang berminat dalam kajian tasawuf dan pemikiran Islam.

Sesi perbincangan diketuai oleh Dekan Fakulti, Dr. Zakarya Bourhim, bersama beberapa tenaga pengajar pakar yang memuji ketelitian metodologi, analisis yang mendalam dan nilai tambah penyelidikan Muhammad Fuad.

Dengan pengiktirafan ini, Muhammad Fuad bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di persada akademik antarabangsa, tetapi juga meletakkan contoh cemerlang bagi generasi muda dalam mengejar ilmu dan penghayatan nilai-nilai tasawuf secara ilmiah dan berdisiplin.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kesedaran Medikolegal, Kunci Utama Lindungi Pengamal Perubatan dan Pesakit

SENARIO perubatan di Malaysia kini menyaksikan anjakan paradigma apabila para doktor dan petugas kesihatan berdepan dengan risiko undang-undang yang...

More Articles Like This