Cemburu boleh hadir dalam pelbagai situasi. Ia menyusup dalam segenap ruang kehidupan. Boleh jadi rasa cemburu dan iri itu hadir terhadap sesuatu yang dimiliki oleh orang lain, lalu ia menjadi terobses dengannya. Mengapa aku tidak memiliki apa yang orang lain ada? Mengapa begitu, mengapa begini?
Berkemungkinan juga cemburu itu boleh tercetus kerana duit, benda, harta, kasih sayang serta perhatian. Semua itu boleh berlaku antara adik-beradik tanpa ibu bapa dapat mengesannya. Mungkin bagi ibu bapa melebihkan perhatian kepada anak-anak yang kecil berbanding yang besar, itu normal. Untuk anak perlakuan itu adalah pilih kasih. Tanpa sedar ibu bapa mencipta hawa cemburu dalam keluarga.
Bahaya cemburunya hati dibahaskan oleh Nouman Ali Khan dengan bersandarkan kepada surah an-Nisaa’ ayat 32. Bagaimana perasaan yang sebegitu kecil itu akhirnya mencetuskan kesan yang besar ada terkait dalam ayat tersebut.
Firman Allah, “Dan janganlah kamu terharap-harap (ingin mendaoat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). Kerana telah tetap orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” – (an-Nisaa’: 32)
Ada sebabnya mengapa Allah mulakan ayat tersebut dengan, “Dan janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu…” Sememangnya sifat manusia itu suka membandingkan diri mereka dengan orang lain. Setiap detik yang berlalu sentiasa ada sahaja ungkapan mengapa orang lain lebih baik, cantik, kaya, sempurna dan pandai daripada kita. Malah dalam keluarga pun kita sering membandingkan diri dengan adik-beradik yang lain. Itulah kenyataannya!
Kadang-kadang ia kelihatan seperti tidak adil. Namun yang jelasnya Allah buka jalan kesenangan bagi setiap orang menerusi pintu berbeza. Mungkin Allah buka pintu itu untuk orang lain tapi tidak untuk kita. Allah bagi kita pintu lain untuk meneroka nikmat-Nya yang lain. Masalahnya, manusia itu mahukan jalan dan pintu yang sama seperti orang lain untuk mendapat nikmat.

Cemburu Punca Segala Kejahatan
Cemburu itu menjadi penyebab kepada banyak dosa besar. Cuba kita perhatikan, penentangan paling dahsyat yang pertama adalah keingkaran iblis. Dan, ia berakar umbi dari rasa cemburu. Bagaimana iblis mempersoalkan mengapa ia harus sujud kepada Adam yang diperbuat daripada tanah? Hal itu diungkapkan dalam surah al-Hijr ayat 33, “Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”
Manakala jenayah pertama yang berlaku dalam sejarah manusia di dunia apabila Habil dibunuh oleh Qabil. Semua itu bersebab dari cemburu. Malah cemburu itu boleh menjadikan manusia sangat kejam dan buruk walaupun manusia itu anak kepada seorang nabi. Peristiwa anak-anak Nabi Yakub telah membuktikannya bahawa anak yang dari keturunan nabi pun boleh berkelakuan buruk kerana adanya sifat cemburu.
Cemburu dan iri itu bukan suatu perasaan yang boleh dipandang remeh. Mungkin ia hanya sebagai satu perasan yang berlaku dalam diri tapi lama-kelamaan ia menjadi semakin buruk. Cemburu itu boleh diumpamakan seperti bekas gigitan nyamuk yang akan menjadi bintat gatal. Apabila digaru ia akan semakin gatal lalu kita garu lagi hingga bintat itu melecet dan menjadi kudis. Sepatutnya bintat itu tidak perlu digaru walaupun ada rasa gatal, jika dibiarkan rasa gatal dan bintat itu akan hilang dengan sendirinya. Begitulah yang berlaku kepada cemburu membawa kepada hasad.
Sebagaimana al-Hasan r.a berkata, “Aku tidak pernah melihat sesiapa pun yang melakukan kesalahan kelihatan menjadi mangsa berbanding seseorang yang cemburu.”
Secara normalnya, orang bersalah mesti ada mangsa di sebaliknya. Namun dalam kes ini orang bersalah itu adalah mangsanya kerana dia menurut dorongan sifat cemburu.
Sebab itu kita memohon perlindungan Allah daripada kejahatan orang yang dengki. Seperti mana dalam surah al-Falaq ayat lima, “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”
Itulah keutamaannya kita meminta perlindungan Allah daripada orang yang dengki terutamanya apabila menunjukkan sifat tersebut dengan perbuatan. Hasad dengki itu boleh membawa kepada maslah yang sangat serius.
Apabila menjadi mangsa cemburu, kita akan berfikir tentang orang lain. Kita akan berharap orang lain musnah, hancur dan lenyap dari muka bumi. Mangsa cemburu bukan sekadar mengharap mencapai kejayaan apabila melihat orang lain berjaya. Yang benarnya, biar orang lain sakit, gagal asalkan aku semakin kuat dan berjaya. Itulah hasad. Jauh di sudut hati apabila kita melihat orang lain gagal, kecewa dan musnah ia akan menimbulkan perasaan gembira.
Bagaimana hasad itu boleh menjauhkan dari rahmat Allah?
Lihatlah bagaimana peristiwa yang berlaku kepada iblis. Allah letakkan kedudukan iblis sebaris dengan malaikat. Tidak ada kedudukan yang lebih tinggi di kalangan ahli ibadat selain setara dengan kedudukan malaikat. Cemburulah yang menyebabkan iblis jatuh dari kedudukannya yang tinggi hingga menjadi serendah-rendahnya. Hingga ia menjadi makhluk yang dilaknat Allah. Kemuliaan iblis dicabut hanya kerana cemburu. Itulah kesan cemburu yang ketara.
Allah berfirman, “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir. Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat.” (al-Hijr: 34-35)
Membawa Kepada Pembunuhan
Apabila berkait dengan pembunuhan pula, jenayah bunuh yang pertama berlaku di muka bumi apabila Habil dibunuh Qabil. Pembunuhan itu berlaku bersebab dari cemburu. Allah terangkannya dalam surah al-Maa’idah ayat 32, “…bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau melakukan kerosakan di muka bumi maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya…”
Semua itu bersebab dari cemburu. Cemburu itu bukan hanya kepada duit dan harta sahaja, sebaliknya merangkumi seluruh kehidupan. Malah ia juga berlaku di kalangan ahli agama dan orang beriman. Juga boleh berlaku di dalam masjid.
Inilah sebab utama mengapa bani Israel sebagaimana yang para sahabat menduga dari awal adalah orang pertama yang akan beriman kepada wahyu yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ini kerana bani Israel adalah orang yang paling tahu tentang Nabi Muhammad sebagai Rasul terakhir. Mereka juga bani yang diberikan oleh Allah kitab.
Sebagaimana firman Allah, “Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” (al-Baqarah:146)
Sebenarnya apa masalah bani Israel yang tidak mahu mengikut Rasulullah? CEMBURU! Itulah jawapan yang paling tepat. Mereka tidak boleh menerima bahawa Nabi terakhir datangnya daripada bangsa Arab dan bukannya di kalangan mereka dan mahu merampasnya dari Rasulullah s.a.w.
Cemburu tidak memilih ruang untuk menyusup masuk. Selagi ada kesempatan cemburu akan mengganggu dan memusnahkan kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan bangsa. Malah ia akan menghancurkan kerjaya, perniagaan, keluarga dan boleh jadi sebuah negara runtuh kerananya.

Menyingkirkan Cemburu
Seseorang yang cemburu sering membandingkan apa yang menjadi milikinya dengan apa yang orang lain miliki. Pemilikan itu bukan sahaja dari segi harta, kemewahan, tetapi juga kasih sayang, peluang dan perhatian.
Kita hanya perlu gantungkan segala permohonan terhadap nikmat yang dimiliki orang lain kepada Allah. Berhentilah membandingkan apa yang orang lain miliki dan fokus hanya kepada nikmat yang boleh diperoleh dari Allah. Berpura-puralah bagaikan tidak ada orang lain di sekeliling kita untuk dijadikan perbandingan. Jangan hiraukan orang lain, hanya fokus apa yang dikehendaki daripada Allah. Hanya cara itu sahaja kita akan bahagia dan bebas dari cemburu.
Apabila terlalu memikirkan tentang apa yang orang lain miliki, kelebihan dan keistimewaan yang tidak ada pada diri akhirnya akan menanam kebencian di hati. Berhentilah menjadikan diri mangsa perbandingan! Jangan jadikan orang lain sebagai penyebab kita gagal, mundur dan ketinggalan. Jika mahu berjaya dan memiliki apa saja kenikmatan, hanya perlu pohonkan kepada Allah.
Cukuplah melemparkan rasa tidak puas hati kepada orang lain. Aku tidak berjaya kerana orang itu atau mereka? Mengapa mereka dapat sedangkan aku tidak? Semua luahan itu hanya akan menyebabkan kita dan semua orang sengsara.
Kunci kebahagiaan kehidupan dan perlindungan daripada rasa cemburu yang Allah berikan terungkap dalam surah an-Nisaa’ ayat 32. Daripada perasaan cemburu dan iri itulah yang membakar semua amal kebaikan yang dilakukan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., “Jauhilah hasad (dengki), karena hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar.” (HR Abu Daud)
Tanpa sedar cemburu itu menghalang kita menjadi hamba yang bersyukur. Kerana apabila cemburu mengisi hati apa yang difikirkan hanyalah yang kita tidak dimiliki. Hubungan dengan Allah hanya berlangsung didasari apa yang kita dapat. Jika begitu bagaimana harus dikatakan bersyukur sedangkan setiap saat kita hanya memikirkan apa yang tidak dimiliki. Selagi cemburu meraja di hati mustahil kita jadi hamba yang bersyukur.
*Artikel ini digarap secara bebas dari syarahan Nouman Ali Khan, Beware a Jealous Heart.

