DUA kontena bantuan kemanusiaan milik Syria Care yang membawa pakaian musim sejuk serta selimut tebal telah selamat tiba di Syria dan kini mula diagihkan kepada golongan memerlukan.
Bantuan berkenaan merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi projek Warm Their Winter yang dilaksanakan dari 21 hingga 27 Oktober 2025, sebelum berlepas dari Pelabuhan Klang pada 28 Oktober tahun lalu.
Menurut pengerusinya iaitu Siti Sakinah Meor Omar Baki, kedua-dua kontena bersaiz 40 kaki (High Cube) itu dihantar ke dua lokasi berbeza bagi memastikan proses agihan dapat dilaksanakan secara berperingkat dan tersusun.

“Sebuah kontena telah ditempatkan di Wakaf Kampung Malaysia Syria Care di Al-Bardaqli, Idlib bagi tujuan agihan segera kepada penghuni serta komuniti di kawasan utara Idlib.
“Manakala sebuah lagi kontena ditempatkan di Latakia untuk proses penyusunan sebelum diagihkan ke kampung-kampung sekitar.
“Proses agihan bantuan telah dimulakan di Wakaf Kampung Malaysia Syria Care dengan melibatkan seramai 1,375 penerima manfaat daripada golongan rentan yang terkesan akibat konflik berpanjangan serta musim sejuk yang ekstrem,” katanya.
Pihaknya memaklumkan bahawa fasa seterusnya agihan bantuan akan diteruskan di kawasan utara Idlib dan Latakia selaras dengan perancangan operasi, bagi memastikan lebih ramai penerima manfaat menerima bantuan yang diperlukan.

“Kejayaan penghantaran dan pelaksanaan agihan ini merupakan hasil sokongan berterusan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penderitaan rakyat Syria.
“Dalam pada itu, mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang, rakan strategik serta sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan misi kemanusiaan berkenaan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Syria Care di talian +6013-971 5901 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Tabung Winter Ramadan 14 (Syria, Palestin & Lubnan) melalui Maybank 550514240482.

