NEGERI Kedah sememangnya tidak ketandusan melahirkan nama-nama besar dalam industri seni tanah air, meskipun jumlahnya tidak seramai negeri lain. Namun, sumbangan dan pembabitan anak seni kelahiran negeri Jelapang Padi itu dilihat kurang mendapat perhatian serta tidak dihimpunkan secara tersusun di bawah satu platform khusus.
Antara nama anak Kedah yang aktif dan popular dalam industri seni termasuk Farid Kamil, Rozita Che Wan, Maria Tunku Sabri, Ahmad Idham, Ezad Lazim, Zulkifli Ismail dan ramai lagi.
Menyedari keperluan menyatukan anak watan Kedah di perantauan, penubuhan Persatuan Rantauan Warisan Kedah (Waris Kedah) sejak setahun lalu dilihat sebagai langkah tepat ke arah menghimpunkan rakyat Kedah di bawah satu payung.
Presiden Waris Kedah, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar berkata, program sulung anjuran persatuan itu ialah Kedah Nite 2026 (Majlis Santapan Diraja) yang dijadualkan berlangsung di Matrade Hall, Kuala Lumpur pada 14 Februari depan.

“Program ini dijangka menghimpunkan kira-kira 800 anak Kedah di perantauan dan dianjurkan sebagai usaha mengeratkan silaturahim dalam kalangan anak watan Kedah.
“Sesiapa sahaja anak Kedah yang berada di perantauan termasuk golongan selebriti dan ahli sukan dialu-alukan untuk menyertai majlis ini tanpa sebarang halangan.
“Jika sambutannya menggalakkan, tidak mustahil Kedah Nite akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan pengisian yang lebih bermanfaat,” katanya.
Menurut Zaienal yang juga Pengerusi Penganjur Kedah Nite 2026, penganjuran program ini turut menjadi platform awal kepada jaringan perniagaan serta kolaborasi strategik dalam kalangan anak Kedah.

“Ia juga sebagai menyahut titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu melihat anak watan kembali menyumbang khidmat bakti kepada negeri asal.
“Kedah Nite 2026 bertujuan menyatukan kepimpinan serta tokoh berpengaruh kelahiran Kedah dalam satu wadah berprestij, selain memperkasa identiti, warisan dan sumbangan anak Kedah terhadap pembangunan ekonomi dan negara,” ujarnya.
Sidang media pengumuman Kedah Nite 2026 yang berlangsung di Bangunan Matrade baru-baru ini turut dihadiri beberapa artis dan selebriti tanah air antaranya pelakon Zulkifli Ismail, penyanyi Ezad Lazim, Asheed Def Gab C serta pengacara Maria Tunku Sabri.
Pada majlis itu juga, Zaienal memaklumkan yuran keahlian Waris Kedah ditetapkan serendah RM10 bagi ahli biasa, manakala RM300 untuk keahlian seumur hidup.
“Bagi mereka yang ingin menghadiri Kedah Nite 2026, sila hubungi WhatsApp 011-5584 1957 untuk mendapatkan kod QR dan membuat RSVP sebelum 31 Januari.
“Untuk selebriti pula, konsep penyertaan adalah ‘first come, first serve’ dan RSVP juga perlu dibuat sebelum tarikh sama,” katanya.
Tambahnya, majlis berprestij itu mendapat tajaan sepenuhnya daripada Kumpulan Weststar dengan Pengarah Urusannya, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, tokoh kelahiran Kedah, sebagai penaung majlis.
“Kedah Nite 2026 bakal diserikan dengan keberangkatan kerabat diraja Kedah serta kehadiran jemputan kenamaan. Tema majlis ditetapkan ‘black tie’ dan glamor, dengan Maria Tunku Sabri sebagai hos.
“Majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan oleh artis dan pemuzik antarabangsa di bawah naungan Weststar, selain penyampaian anugerah khas kepada tokoh anak Kedah yang mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

