Pada 4 Julai 2012, sebuah acara sukan lasak berlangsung di Seward, Alaska. Salah seorang pesertanya ialah Paul Michael LeMaitre, lelaki berusia 65 tahun yang menyertai perlumbaan Mount Marathon buat kali pertama.
Mount Marathon merupakan sebuah gunung setinggi 3,022 kaki di Seward. Sukan ini terkenal sebagai antara perlumbaan gunung paling mencabar di Amerika Syarikat.

Perlumbaan tahunan ini bermula di pusat bandar Seward. Peserta perlu berlari sejauh setengah batu sebelum mendaki sejauh hampir 2,900 kaki secara menegak melalui cerun berlumpur, denai berbatu dan melalui tebing curam menuju ke Race Point, titik puncak yang dikhaskan untuk pertandingan tersebut.
Selepas itu, mereka perlu menuruni gunung merentasi tompokan salji, kawasan hamparan batu, air terjun dan rekahan tajam sebelum kembali ke garisan penamat di bandar.
Disebabkan tahap kesukaran yang ekstrem, hampir 90 peratus peserta merupakan pelari berpengalaman yang pernah menyertainya sebelum ini.
Sebelum perlumbaan bermula, pegawai keselamatan akan memberi amaran kepada semua peserta.
“Jika anda belum pernah mendaki gunung ini sebelum ini, anda patut pulang sekarang. Anda tidak sepatutnya berada dalam perlumbaan ini.” Begitu peringatan yang diberi.
Namun, Michael tidak berganjak setelah mendengar nasihat itu. Beliau berada dalam keadaan fizikal yang baik, kerap ke gimnasium dan baru sahaja menamatkan acara larian 12 kilometer sebulan sebelum acara marathon gunung itu.

Michael bermula bersama kumpulan kedua pada jam 3.15 petang. Kira-kira jam 5.45 petang, seorang marshal perlumbaan, Tom Walsh, ternampak Michael sedang mendaki menuju ke titik pusing balik, dengan baki sekitar 200 kaki sahaja lagi. Ketika itu, cuaca mula berkabus dan suhu semakin menurun, namun tiada apa-apa yang kelihatan mencurigakan tentang keadaan Michael.
Walsh sempat bertanya nombor bibnya, dan Michael menjawab dengan tenang – 548. Dalam perjalanan turun, Walsh menghantar mesej kepada penganjur perlumbaan, memaklumkan bahawa peserta bernombor 548 dijangka tiba di garisan penamat dalam masa sejam setengah. Namun, jangkaan itu tidak pernah menjadi kenyataan.
Menjelang jam 8.00 malam, apabila Michael tidak kunjung tiba, isterinya, Peggy, menghubungi pasukan pencari dan penyelamat.
Operasi Mencari
Menjelang jam 2.00 pagi, helikopter polis yang dilengkapi radar inframerah mula mengimbas kawasan sekitar gunung. Kebimbangan utama ialah kemungkinan Michael mengalami hipotermia akibat pakaian nipis, keletihan dan cuaca yang semakin membeku.
Keesokan harinya, 5 Julai, lebih ramai pasukan penyelamat dikerah untuk melakukan misi pencarian. Lebih kurang 60 orang penyelamat mencari di setiap bahagian gunung tersebut, termasuk kawasan di luar laluan perlumbaan. Namun, tiada satu pun petunjuk ditemui.
Empat hari selepas kehilangannya, operasi menyelamat dihentikan. Pun begitu, Jabatan Bomba Sukarela Seward masih meneruskan pencarian. Anjing pengesan mayat digunakan, dan rakan-rakan Michael membiayai analisis gambar gunung beresolusi tinggi untuk memudahkan usaha, namun semuanya berakhir tanpa hasil.
Pakar penyelamat gunung, anggota bomba, polis negeri, pasukan anjing pengesan dan ahli keluarga Michael menghabiskan ribuan jam mencari, namun tidak menemui sebarang bukti fizikal.
Walaupun pencarian rasmi ditamatkan pada pertengahan Julai, sukarelawan terus mendaki gunung itu dalam usaha mencari Michael termasuk anak perempuannya, Mary Anne.

Pada Oktober 2012, selepas melalui satu prosiding mahkamah, Paul Michael LeMaitre akhirnya diisytiharkan meninggal dunia dari segi undang-undang.
Pada Julai 2013, balu Michael memfailkan saman terhadap Dewan Perniagaan Seward dan penganjur perlumbaan serta menuntut ganti rugi sebanyak AS$5 juta. Kes tersebut akhirnya diselesaikan pada Oktober 2014 di luar mahkamah dengan bayaran AS$25,000.
Sejak itu, penganjur memperkenalkan langkah keselamatan Baharu yang lebih ketat, termasuk pengesahan latihan wajib di laluan perlumbaan, had masa satu jam untuk tiba di puncak, serta pemeriksaan menyeluruh gunung selepas setiap kumpulan peserta melaluinya.
Namun persoalan besar yang masih menjadi tanda tanya berkaitan kehilangan Michael, bagaimana seseorang boleh hilang tanpa sebarang jejak dalam perlumbaan sejauh hanya tiga batu?

Michael dilihat hampir ke puncak, dengan hanya sekitar 1.5 batu menuruni gunung untuk menamatkan perlumbaan. Bertahun-tahun selepas kehilangannya, tidak ada satu pun bukti fizikal muncul.
Bukan sahaja jasadnya tidak ditemui, malah tiada sebarang barang peribadinya iaitu seluar pendek hitam, baju-T hitam dan pengikat kepala hitam yang ditemui walaupun selepas pencarian besar-besaran.
Seolah-olah Michael lenyap begitu sahaja dari gunung tersebut. Boleh jadi terjatuh ke dalam gaung atau rekahan tersembunyi, dan tidak pernah ditemui sampai bila-bila.
__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

