Kambing hapuskan kambing, strategi luar biasa menyelamatkan Galapagos

Dari Penulis

Terletak kira-kira 1,000 kilometer dari pesisir barat Ecuador, Kepulauan Galapagos ibarat khazanah hidup dunia semula jadi. Kedudukannya di garisan khatulistiwa membolehkan pelbagai spesies berevolusi dengan ciri-ciri luar biasa.

Sebagai contoh, iguana lazimnya ialah reptilia daratan. Namun di Galapagos, spesies ini belajar berenang dan mencari makanan di laut. Burung kormoran di sini pula tidak boleh terbang dan terkurung sepenuhnya di kepulauan ini.

Selain itu, penguin Galapagos juga berbeza dengan saudara  mereka di hemisfera selatan. Penguin di sini belajar menyesuaikan diri dengan iklim tropika dan menikmati musim panas yang tidak berkesudahan.

Namun, ikon sebenar Galapagos ialah kura-kura gergasi dengan cangkerang kelabu besar dan jangka hayat yang luar biasa panjang. Mereka merupakan antara penghuni paling terkenal di kepulauan ini.

Menjelang penghujung abad ke-20, kura-kura gergasi Galapagos berada di ambang kepupusan. Daripada lebih 250,000 ekor pada abad ke-16, bilangannya merosot kepada sekitar 3,000 sahaja pada tahun 1970-an.

Salah satu faktor utama kepupusannya akibat pemburuan oleh manusia. Haiwan ini bergerak perlahan dan hampir tidak berupaya mempertahankan diri, menjadikannya sasaran mudah.

Kura-kura sering disimpan hidup-hidup di atas kapal, mampu bertahan sehingga setahun tanpa makanan, sekali gus menjadi sumber daging segar untuk pelayar yang berada lama di laut.

Seorang kapten tentera laut Amerika Syarikat pernah menyatakan bahawa selepas merasai daging kura-kura Galapagos, semua makanan haiwan lain terasa jauh lebih rendah nilainya. Malah, Charles Darwin sendiri menganggap dagingnya sangat sedap dan menyatakan kura-kura muda menghasilkan sup yang sangat enak.

Apabila manusia mula menetap di Kepulauan Galapagos pada awal abad ke-19, populasi kura-kura gergasi menjunam dengan drastik. Selain pemburuan tanpa kawalan, pendatang luar turut membawa masuk spesies haiwan lain seperti kambing, khinzir, keldai dan kucing. Ia sebenarnya mendatangkan bencana besar kepada ekosistem di kepulauan ini.

Antara semua penceroboh ini, kambing merupakan yang paling merosakkan ekosistem. Haiwan herbivor yang kelihatan jinak ini memakan hampir semua tumbuhan yang ada, termasuk spesies tumbuhan paling jarang ditemui yang ada di kepulauan ini. Ia mendatangkan persaingan sengit dengan haiwan asal di kepulauan ini apabila sumber makanan mula menjadi terhad.

Apabila tumbuhan lenyap, kura-kura Galapagos turut menghilang. Pada tahun 1995, satu keputusan diambil. Kambing mesti dihapuskan sepenuhnya dari Galapagos demi menyelamatkan flora dan fauna asal kepulauan ini.

Dua tahun kemudian, rangka pelan Projek Isabela dibentuk. Kambing dan keldai akan dihapuskan dari Pulau Isabela. Khinzir, kambing dan keldai dari Pulau Santiago, serta kambing dari Pulau Pinta.

Operasi bermula pada tahun 1999 melibatkan pasukan penembak mahir yang menyusuri pulau-pulau ini dengan berjalan kaki, sebelum menggunakan helikopter untuk menembak kambing dari udara. Ia merupakan antara program pembasmian paling canggih pada zaman itu.

Dalam tempoh beberapa tahun, sekitar 90 peratus kambing berjaya dihapuskan dengan agak mudah. Namun apabila bilangannya semakin kurang, baki kambing yang ada semakin sukar dikesan. Haiwan-haiwan ini belajar bersembunyi di kawasan belukar, gua dan terowong lava.

Hanya sekitar 10 peratus baki kambing yang ada, namun ia menjadi cabaran besar untuk menghapuskannya. Untuk itu, satu strategi baru digunakan iaitu misi ‘kambing Judas’.

Beberapa ratus ekor kambing telah disterilkan, disuntik hormon bagi memastikan tempoh berahi yang panjang, dipasang kolar penjejak radio, lalu dilepaskan ke pulau-pulau berkenaan.

Sebagai haiwan sosial, kambing ini secara semula jadi akan mencari kambing lain. Dengan menjejaki pergerakan kambing Judas, pasukan pemburu berjaya mengesan kambing-kambing yang masih bersembunyi. Apabila satu kumpulan ditemui, semua kambing akan ditembak kecuali kambing Judas, yang kemudian dilepaskan semula untuk mencari sasaran seterusnya. Misi itu berjaya.

Bangkai-bangkai kambing dibiarkan mereput dan terurai di pulau-pulau tersebut. Tujuannya ialah untuk mengembalikan nutrien yang telah dimakan kambing ke dalam tanah.

Lebih 200 ekor kambing Judas digunakan di Pulau Santiago, manakala sekitar 770 ekor dilepaskan di Pulau Isabela sepanjang tempoh dua tahun. Menjelang tahun 2006, hanya kambing Judas satu-satunya spesies kambing yang tinggal di pulau-pulau sasaran. Jumlah ini kemudian dikurangkan lagi sehingga hanya sekitar 20 hingga 30 ekor di Santiago dan 266 ekor di Isabela, untuk tujuan pemantauan.

Selepas Galapagos bebas daripada kambing, tumbuh-tumbuhan di pulau itu mula mengalami pemulihan. Pokok-pokok kecil tumbuh semula daripada tunggul yang ditinggalkan. Spesies renek tanah tinggi, anak pokok hutan, kaktus Opuntia dan tumbuhan endemik lain meningkat bilangannya. Populasi burung rel Galapagos turut bertambah, manakala kura-kura gergasi menunjukkan pemulihan hasil usaha pemuliharaan lain seperti pembiakan dalam kurungan.

Projek Isabela dianggap sebagai usaha pemulihan pulau terbesar di dunia setakat ini. Dalam tempoh tujuh tahun, lebih 140,000 ekor kambing dihapuskan dari kawasan seluas setengah juta hektar, dengan kos sekitar AS$10.5 juta.

Kejayaan Projek Isabela mendorong ahli pemuliharaan melancarkan program pembasmian kambing di tiga buah pulau lain. Melalui gabungan pemburuan udara, pemburuan darat dengan bantuan anjing, serta penggunaan kambing Judas, lebih 10,000 ekor kambing tambahan berjaya dihapuskan antara tahun 2006 hingga 2009.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This