SELEPAS hampir dua dekad berada dalam industri seni, penyanyi Ayu Damit membuka satu demi satu cerita pedih yang sekian lama dipendam, apabila mengakui kecaman terhadap rupa paras telah memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya.
Pelantun lagu Hanya Di Mercu itu mendedahkan, sepanjang 18 tahun bergelar anak seni, dia sering dilabel berimej kampung, tidak cantik serta dianggap tidak layak menjadi penyanyi hanya kerana wajahnya yang disifatkan ‘desa’.
“Saya pernah sangat kecewa, terasa hati dan tersinggung. Bila orang kata wajah saya kampung, tak cantik, tak sesuai jadi penyanyi.
“Lama-kelamaan kata-kata itu masuk ke dalam kepala. Dari situlah saya mula mengalami kemurungan,” katanya kepada URTV.
Menurut Ayu, kecaman tersebut bukan sekadar komen biasa, sebaliknya hadir secara berterusan sehingga membuatkan dirinya mempersoalkan nilai diri sendiri.
Namun, tekanan yang dialami tidak terhenti di situ. Setiap kali Ayu berusaha memperbaiki penampilan dengan mengenakan pakaian yang lebih kemas dan cantik ketika membuat persembahan, usahanya tetap dipertikaikan.
“Bila saya cuba tampil lebih cantik, orang kata saya berlebihan. Bila saya jaga penampilan, masih ada yang tak puas hati. Apa sahaja yang saya buat, tetap salah,” luahnya.
Keadaan menjadi lebih menyakitkan apabila ada pihak melontarkan tuduhan melampau terhadap penampilannya di atas pentas, termasuk melabelnya seksi serta mengaitkan penampilan tersebut dengan didikan suami.
“Ada yang sanggup cakap suami saya tak pandai didik isteri. Ada yang hina cara saya bertudung, kata ketat macam pakai pembalut nangka.
“Kata-kata itu bukan saja menghina saya, tapi seolah-olah menghina keluarga saya. Saya sangat sensitif bila keluarga disentuh,” katanya lagi.
Ayu tidak menafikan dirinya cuba kelihatan kuat di luar, namun mengakui hanya Allah yang mengetahui perit yang ditanggung selama ini.
“Saya manusia biasa. Saya ada perasaan. Saya boleh nampak kuat, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu apa yang saya simpan.
“Saya belajar untuk berdamai dengan diri sendiri. Nilai seorang wanita bukan terletak pada cantik di mata manusia, tetapi pada kekuatan hati dan keikhlasan,” ujarnya.
Selepas melalui fasa sukar dan berdepan kemurungan akibat tekanan berpanjangan, Ayu mendapatkan khidmat nasihat daripada Dr Healing, iaitu Dr Hisham Dzakiria yang menjadi titik permulaan kepada proses pemulihan emosinya.

Pertemuan itu membantu Ayu menenangkan diri, menyusun semula emosi serta melihat perjalanan hidupnya dengan lebih jernih.
Dalam memberi pandangan, Dr Hisham menegaskan ujian hidup tidak memilih nama atau status seseorang.
“Nama, status atau gelaran bukan sebab ujian datang. Setiap manusia akan melalui fasa jatuh dan bangkit.
“Apa yang penting adalah bagaimana kita mengawal reaksi dan emosi.
“Jangan beri ruang kepada suara negatif kerana ia boleh membuatkan kita hilang fokus dan hilang diri sendiri,” katanya.
Tambahnya, setiap perkara yang berlaku bukan kebetulan, sebaliknya merupakan takdir Allah yang mengandungi hikmah tersendiri.
Menurut Dr Hisham, dalam dunia yang serba pantas hari ini, tekanan emosi bukan lagi isu terpencil, malah menjadi realiti harian melibatkan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

Peningkatan kes kemurungan, kebimbangan melampau, konflik hubungan serta keletihan emosi mendorong penubuhan Healing Centre Dr Hisham Dzakiria, sebuah pusat terapi emosi yang menawarkan intervensi praktikal, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian.
“Kami mahu khidmat kesihatan mental lebih mudah diakses. Ramai yang bergelut dalam diam dengan kemurungan, stres dan masalah hubungan.
“Mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah berani ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Healing Centre Dr Hisham Dzakiria merupakan subsidiari di bawah Ecotwin Step Training & Consultancy Sdn Bhd dan boleh dihubungi melalui 010-3243243 atau berkunjung ke No.12, Jalan Setia Dagang AL U13/AL, Seksyen U13, Shah Alam, dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

