BAU busuk yang dihidu jiran dari sebuah rumah di sebuah pangsapuri di Teluk Kumbar, Bayan Lepas membawa kepada penemuan dua mayat iaitu seorang ibu warga emas dan anak lelakinya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.17 malam semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menerima panggilan daripada pihak polis bagi membantu membuka pintu rumah yang berkunci daripada dalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis memaklumkan, pihak polis telah menerima aduan daripada jiran yang terhidu bau busuk dari rumah mangsa.
Sehubungan itu, kata beliau, sepasukan enam anggota termasuk penyelia telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai bomba.
Menurut beliau, pasukan keluaran operasi (PKO) yang tiba pada pukul 8.32 kemudiannya telah menjalankan kerja-kerja membuka pintu menggunakan peralatan khas dibantu pihak polis.
“Selepas pintu berjaya dibuka, didapati dua mangsa ditemukan tidak sedarkan diri iaitu masing-masing di ruang tamu dan bilik tidur,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, John berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Lee Tet Khim, 72 dan Lam Tong Hoong, 39.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 8.55 malam.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

