The Rayhan, Kopratasa & Dayangku Intan Bukti Aura Legenda Tak Pernah Padam Di Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0,

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SUASANA di Saloma, Kuala Lumpur baru-baru ini bertukar menjadi sebuah mesin masa yang membawa penonton kembali ke era kegemilangan muzik penghujung 80-an dan awal 90-an. 

Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 bukan sekadar sebuah persembahan pentas, malah ia merupakan sebuah pertemuan penuh makna yang menghimpunkan 10 legenda seni tanah air dalam satu acara yang cukup syahdu.

Menampilkan barisan penyanyi seperti Shima, To’Ki, Zur Eda, Noorshila Amin, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Zack Kacamata serta gabungan semula bekas anggota Raihan menerusi The Rayhan, konsert ini membuktikan kualiti vokal dan pesona bintang-bintang veteran ini masih belum pudar ditelan zaman.

Tirai persembahan dibuka dengan penuh keberkatan oleh The Rayhan yang dianggotai Nazrey Johani, Afad, dan Amran Ibrahim. 

Paduan harmoni mereka menerusi lagu-lagu nasyid ikonik seperti Pujian-Pujian dan Iman Mutiara membuktikan kumpulan ini masih relevan dan berbisa di pentas perdana.

Manakala, Noorshila Amin muncul sejurus selepas itu dengan lagu medley Rambu Ramba dan Aku Sudah Jatuh Cinta sebelum mengakhiri persembahannya dengan lagu Kad Ucapan. 

Disusuli dengan Roy yang masih kental dengan suara jantannya dan gayanya sebagai  penghibur sejati  apabila membawakan lagu Diary Mimpi serta Ratnaku. 

Di luar dewan, Roy dan Norrshila Amin sempat berduet mempersembahkan lagu Seiring Sejalan dengan energi yang luar biasa. 

Kehadiran trio puitis, Kopratasa, turut mencuri perhatian apabila Sani Sudin, Usop, dan Siso jarang-jarang muncul dalam persembahan terbuka. 

Sambil mendendangkan lagu malar segar Masihkah Kau Ingat, mereka sempat mengimbau memori sukar di awal kerjaya seni yang penuh dengan keterbatasan kewangan.

“Kami teringat saat memulakan rakaman album pertama dahulu. Waktu itu kami memang tidak punya wang. 

“Kami sangat terhutang budi kepada Datuk Freddie Fernandez yang mengizinkan kami menggunakan studionya secara percuma dan hanya membayar semula setelah album kami berjaya dijual,” kongsi mereka dalam nada penuh penghargaan.

Di sebalik kemeriahan melodi, konsert anjuran HS Event & Ent Sdn Bhd ini turut membawa misi murni. 

Pihak penganjur, diketuai oleh Datin Seri Dr. Riza Che Umar bersama rakan kongsi, Mubarak Akhtar, telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 setiap seorang kepada 23 anak seni yang sedang berdepan masalah kesihatan dan kewangan.

Antara penerima sumbangan termasuklah nama-nama besar seperti Amyza Aznan, Zaiton Sameon, Herman Tino, Dr Sam, Ali XPDC, serta barisan wartawan dan pengarah seperti Akmal Abdullah dan Murali Abdullah. 

Inisiatif ini dilihat sebagai satu usaha murni untuk memastikan kebajikan pengamal industri seni tidak dilupakan ketika mereka sedang diuji.

Mamat Exists berjaya menyentuh sanubari penonton menerusi lagu Untukmu Ibu, sebelum pentas terus dihangatkan dengan kehadiran Zur Eda, To’ki, dan Shima. 

Namun, tumpuan utama pastinya terarah kepada Dayangku Intan yang menutup tirai persembahan dengan vokal yang cukup memukau.

Mendendangkan lagu Kita Insan Biasa, Dayangku Intan sempat berkongsi rasa sunyi menyanyikan lagu tersebut tanpa pasangan duet asalnya, Allahyarham Jay Jay.

“Sejak pemergian arwah Jay Jay, saya sebenarnya lebih selesa membawakan lagu ini secara solo. 

“Ia membawa seribu satu kenangan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata,” luahnya sebelum mengakhiri malam tersebut dengan lagu raya ikonik, Senandung Hari Raya Untukmu.

Konsert yang dikendalikan oleh hos Aidil Ghafar dan Ismahalil ini bukan sahaja memfokuskan kepada hiburan, malah turut diisi dengan aktiviti kerohanian seperti tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum berbuka puasa, menjadikannya sebuah acara Ramadan yang lengkap dari sudut rohani dan jasmani.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This