INDUSTRI muzik tanah air kembali diwarnai dengan naskhah segar menjelang ketibaan Aidilfitri apabila pelakon dan penyanyi, Diana Danielle, mengumumkan kolaborasi luar jangka bersama rapper sensasi yang kian meningkat naik, Francis Roman.
Menerusi single terbaharu berjudul Raya Macam Mana?, gandingan dua figura ini dilihat cuba memecahkan tembok klise lagu raya yang lazimnya didominasi elemen nostalgia dan melankolik.
Sebaliknya, mereka mempertaruhkan rentak ceria, moden, dan bertenaga yang mencerminkan denyut nadi masyarakat urban hari ini.
Apa yang menarik perhatian ramai, Diana tidak sekadar menyanyi, malah turut menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin.

Elemen ini bukan sahaja sebagai bukti komitmennya dalam proses pembelajaran bahasa tersebut, tetapi juga berfungsi sebagai simbolik kepada kepelbagaian budaya di Malaysia.
Menurut Diana, projek ini merupakan satu eksperimen yang dekat di hatinya kerana ia melambangkan keharmonian masyarakat majmuk yang saling menghargai tradisi antara satu sama lain.
“Melalui lagu ini, saya ingin menunjukkan bahawa proses pembelajaran budaya tidak pernah terhenti.
“Penggunaan bahasa Mandarin dalam lirik adalah cara saya meraikan kepelbagaian kita.
“Kita hidup dalam komuniti yang unik, di mana semangat perpaduan itu paling terserlah apabila kita saling mempelajari dan menghormati cara hidup rakan-rakan yang berbeza latar belakang,” katanya kepada URTV ketika ditemui baru-baru ini.
Raya Macam Mana? digarap dalam bentuk dialog muzikal yang unik. Francis bertindak sebagai ‘pencari jawapan’ yang mengajukan pelbagai persoalan mengenai selok-belok sambutan Hari Raya, manakala Diana pula membalasnya dengan penjelasan tentang tradisi perayaan tersebut dalam nada yang santai.
Francis, yang turut menyumbangkan segmen rap bertenaga dalam lagu tersebut, menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu platform untuk menyampaikan mesej bahawa Aidilfitri adalah milik semua rakyat Malaysia.
“Bagi saya, muzik adalah medium komunikasi yang paling telus. Menerusi segmen rap dan dialog dalam lagu ini, saya ingin sampaikan bahawa sesiapa sahaja boleh memahami dan merasai kemeriahan Raya tanpa mengira asal usul.
“Ia adalah tentang kebersamaan, dan saya sangat teruja dapat menyuntik warna kontemporari ke dalam karya bertema perayaan ini,” ujarnya.
Melengkapkan pelancaran audio, video muzik (MV) rasmi Raya Macam Mana? turut dilancarkan dengan visual yang cukup memikat.
Mengambil latar suasana pejabat dan komuniti, MV ini memaparkan transisi rakan sekerja pelbagai kaum yang mula merasai ‘demam’ raya daripada persiapan memadankan baju raya, babak mencuit hati ketika terperangkap dalam kesesakan trafik balik kampung, sehinggalah kemeriahan menikmati juadah tradisi seperti nasi impit, rendang, dan Snek Ku.
Visual tersebut turut diserikan dengan gerak tari santai yang dikoreograf sendiri oleh Francis, selain paparan suasana rumah terbuka yang penuh dengan elemen dekorasi berwarna-warni.
Secara keseluruhannya, single ini bukan sekadar hiburan bermusim, tetapi satu testimoni kepada identiti Malaysia yang harmoni, progresif, dan sentiasa bersatu di bawah semangat Syawal.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

