ENAM sekeluarga yang dilaporkan hilang dari rumah mereka di Bentong sejak Isnin lalu ditemukan berada dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, enam sekeluarga itu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, kira-kira pukul 9.30 malam semalam.
Menurut Zaiham, siasatan awal mendapati kesemua individu itu telah keluar dari rumah mereka disebabkan salah faham.
“Kesemua mangsa didapati berada dalam keadaan selamat.
“Hasil siasatan awal mendapati isteri bersama anak-anak telah bertindak keluar dari rumah tanpa memaklumkan kepada suami, yang merupakan pengadu disebabkan perselisihan faham.
“Polis merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya penduduk Bentong atas kerjasama dan maklumat yang diberikan sehingga mangsa berjaya dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Zaiham memberitahu pihaknya sedang dalam usaha mencari enam sekeluarga yang dilaporkan hilang dari rumah mereka sejak Isnin lalu.
Laporan mengenai kehilangan tersebut diperoleh daripada suami yang juga bapa mangsa berusia 43 tahun.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai M. Rekha, 41, bersama lima anaknya iaitu S. Ruban, 19; S. Sharivina Nair, 17; S. Shasini Nair, 16; S. Pritivi Nair, 14, dan S. Lashwin Nair, 4.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

