Gandingan hebat Beto Kusyairy, Nabila Huda & Syafie Naswip kembali warnai legasi Gayong 2

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SELEPAS mencetuskan fenomena luar biasa menerusi naskhah pertama pada tahun lalu, legasi pahlawan agung dan Pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) kini kembali menggegar layar perak!

Namun, jangan sangka Gayong 2 hanya sekadar paparan aksi silat di gelanggang, kerana kali ini penonton bakal dibawa menyelami fasa hidup ADMAR yang lebih ‘gelap’, mencabar, dan penuh konspirasi.

Diterbitkan oleh SOL Pictures Sdn. Bhd., sekuel yang dinanti-nantikan ini menjanjikan skala yang lebih besar dengan konflik moral yang mampu merobek emosi penonton.

Kali ini, Meor bukan sekadar seorang guru silat, tetapi seorang pejuang keadilan di tengah-tengah sistem yang korup.

Jika filem terdahulu lebih menjurus kepada memperkenalkan semangat persilatan, Gayong 2 arahan pengarah berkaliber, Faisal Ishak, bakal mendedahkan sisi lain ADMAR sebagai seorang pegawai CID dalam pasukan polis di bawah pentadbiran British di Singapura, pasca Perang Dunia Kedua.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Khairul Anuar Latip, filem ini bukanlah sebuah dokumentari sejarah yang kaku, sebaliknya satu karya sinematik yang mengangkat prinsip hidup seorang lelaki yang terpaksa berdepan dengan sistem yang bergolak.

“Filem ini masih berpaksikan kepada kisah hidup sebenar Datuk Meor Abdul Rahman, terutamanya menyentuh soal nilai, prinsip, dan pilihan hidup yang beliau buat.

“Namun, kami persembahkannya dalam pendekatan dramatik dan sinematik. Ia bukan sebuah dokumentari, tetapi karya yang mengangkat konflik kuasa serta tekanan emosi yang wujud dalam dunia sebenar ketika zaman itu,” katanya.

Naskhah epik ini masih mengekalkan tunjang utamanya, Beto Kusyairy sebagai Meor, manakala aktres hebat Nabila Huda serta Syafie Naswip turut memperkasakan jalan cerita.

Apa yang menarik perhatian, Gayong 2 turut diserikan dengan penampilan sulung Miss Malaysia 2024, Sandra Lim, yang pastinya memberi warna baharu dalam naskhah epik Melayu ini di samping pelakon lain seperti Fauzie Laily, Bobby Tonelli, dan ramai lagi.

Bagi Faisal, sekuel ini adalah sebuah kesinambungan warisan yang lebih matang. Dia mahu penonton melihat harga yang perlu dibayar oleh seorang lelaki demi mempertahankan maruah keluarga dan integriti diri di tengah-tengah pergolakan kongsi gelap dan salah guna kuasa.

“Jika dalam filem pertama kita lebih banyak memperkenalkan dunia dan semangat persilatan, Gayong 2 pula akan menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan keperibadian dan harga diri seseorang.

“Ia bukan sekadar filem aksi kosong, tetapi tentang identiti dan maruah.

“Dengan naratif yang lebih matang dan konflik moral yang lebih tajam, filem ini bersedia menjadi karya tempatan yang mengangkat keberanian mempertahankan prinsip dalam dunia yang tidak sempurna,” ujar Faisal.

Menarik untuk dikongsi, keseluruhan penggambaran yang dijalankan pada November hingga Disember 2024 itu mengambil tempat sepenuhnya di Ipoh, Perak bagi menghidupkan semula suasana Tanah Melayu zaman dahulu.

Faisal meletakkan harapan tinggi agar naskhah ini mampu menyentuh hati penonton dengan pengisian emosi yang lebih sarat.

“Saya mahu penonton yang menyaksikan filem ini nanti pulang dengan rasa bangga terhadap warisan kita, dan pada masa sama terhibur dengan sebuah karya aksi tempatan yang dibuat dengan sepenuh hati.

“Jika penonton pulang sambil berfikir tentang keluarga, akar budaya, atau pilihan hidup mereka, maka filem ini telah menjalankan tugasnya dengan baik,” tambahnya lagi.

Jangan lupa tandakan kalendar anda! Gayong 2 bakal mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 9 April ini.

Mari kita saksikan bagaimana seorang mahaguru silat mengimbangi antara lencana polis dan maruah pendekar demi sebuah kebenaran!


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This