PELAKON Beto Kusyairy tampil memberikan penjelasan tegas bagi menangkis dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan filem terbaharu lakonannya, Libang Libu cuba mengeksploitasi golongan lelaki berperwatakan lembut atau mempromosikan budaya tidak sihat kepada masyarakat.
Beto, 46, yang memegang watak sebagai Along Alid dalam naskhah sulung arahan Bobby Husaini itu menegaskan penglibatan barisan pelakon hebat seperti Sabri Yunus, Zahiril Adzim, dan Azhan Rani dalam membawakan watak-watak tersebut mempunyai objektif yang lebih besar, iaitu untuk menyampaikan mesej kemanusiaan yang sering dipandang sepi.
Menurut Beto, watak-watak yang dipaparkan dalam Libang Libu bukanlah satu bentuk rekaan demi meraih populariti murah, sebaliknya ia adalah cerminan realiti yang wujud dalam masyarakat kita hari ini.
Dia menekankan naskhah ini tidak berniat untuk menjadikan gaya hidup sedemikian sebagai satu norma, tetapi sekadar memberi ruang untuk penonton memahami konflik dalaman golongan tersebut.
“Saya tidak melihat naskhah ini daripada sudut eksploitasi kerana watak-watak sebegini memang wujud di sekeliling kita.
“Kami tidak bermaksud untuk menormalisasikan perkara tersebut, tetapi apa yang kami lakukan adalah memberi perspektif daripada sudut pandangan mereka sendiri.
“Apa yang mereka lalui dan rasakan bukanlah sesuatu yang mereka minta secara sengaja. Kami sama sekali tidak mempromosikan budaya yang tidak elok,” katanya kepada URTV.
Dalam pada itu, Beto turut menjelaskan perwatakan lembut seseorang lelaki tidak seharusnya dijadikan kayu ukur untuk melabel mereka sebagai individu yang telah tersasar jauh daripada fitrah atau “berhaluan kiri”.
Jelasnya, watak-watak dalam filem tersebut masih mempunyai keinginan yang sama seperti manusia lain, termasuk hasrat untuk membina mahligai rumah tangga.
“Mereka sebenarnya tidak berhaluan kiri pun. Cumanya, pembawaan personaliti dan perwatakan mereka itu lembut.
“Mereka tetap mempunyai keinginan untuk berkeluarga dan berumah tangga. Dalam filem ini, watak tersebut sudah menjelaskan apa yang tersirat di hatinya, bahawa dia tidak meminta untuk dilahirkan dengan keadaan sebegitu.
“Kami cuba membuka perspektif masyarakat supaya tidak terus-menerus menjatuhkan hukuman tanpa memahami situasi sebenar,” ulasnya.
Bagi Beto, teras utama dalam naskhah Libang Libu adalah untuk mengajak masyarakat melihat nilai kemanusiaan sebelum menilai luaran seseorang.
Dia berharap agar penonton dapat menilai karya ini dengan minda yang terbuka dan tidak hanya melihat pada permukaan watak semata-mata.
“Walau apa sekalipun keadaan, mereka tetap manusia dan kita harus melayan dengan nilai kemanusiaan.
“Bagi saya, memartabatkan nilai kemanusiaan itu jauh lebih penting daripada segalanya,” tegasnya.
Filem Libang Libu yang kini sedang ditayangkan di seluruh negara menampilkan lakonan hebat Sabri Yunus sebagai Pok Yie, Zahiril Adzim sebagai Amier Daniel dan Azhan Rani sebagai seorang jurusolek.
Ketiga-tiga karakter utama ini digambarkan sebagai lelaki berperwatakan lembut yang mendepani pelbagai stigma sosial dalam kehidupan seharian mereka.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

