POLIS sedang memburu pemandu kereta jenis Perodua Axia yang melanggar lari anggota trafik ketika sedang menjalankan tugas kawalan lalu lintas di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27 tahun, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut
“Usaha mengesan pemandu kenderaan yang terlibat masih giat dijalankan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta melarikan diri tanpa memberikan bantuan selepas kemalangan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Mohammad Salehuddin Musa di talian 013-3994958 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

