TINDAKAN seorang polis bantuan menendang kepala pembantu kedai kerana menyangka mangsa pencuri mengundang padah apabila kes itu kini disiasat polis selepas video kejadian tersebut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya mengesan video tular memaparkan seorang lelaki ditendang di kepala dalam sebuah pejabat di pasar borong di bandar raya ini.
Menurutnya, semakan mendapati polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.42 petang semalam daripada mangsa, lelaki tempatan berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah lelaki tempatan yang bekerja sebagai polis bantuan di pasar borong berkenaan.
“Suspek dipercayai menendang kepala pengadu kerana menyangka mangsa adalah seorang pencuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Polis juga akan memohon Perintah Untuk Menyiasat (OTI) bagi meneruskan siasatan kes ini,” katanya.
Azrul Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video kejadian di media sosial bagi mengelakkan salah faham dan spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

