TIADA badai yang tidak berpenghujung. Begitulah gambaran situasi yang sedang dilalui oleh pelakon, Syida Melvin yang kini sedang berdepan dengan ujian berat dalam mahligai rumah tangganya.
Meskipun sedang melalui fasa yang cukup mencabar, adik kepada pelakon Syatilla Melvin ini memilih untuk kekal positif dan bersandar sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi.
Menerusi hantaran terbaharu yang menyentuh hati di aplikasi Threads, Syida atau nama lengkapnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, 29, menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas gelombang kasih sayang yang diterimanya daripada orang ramai.
Ternyata, keberaniannya berdepan ujian hidup telah menarik simpati dan doa daripada ribuan warga maya yang mahu melihatnya terus bangkit.
Mengakui dirinya terharu, pelakon drama Cinta Yang Ku Rasa ini memberitahu bahawa mesej-mesej semangat yang diterimanya di media sosial menjadi antara faktor yang menguatkan jiwanya ketika ini.
“Saya benar-benar rasa tak terbalas dengan segala komen, pesanan ringkas (DM), kata-kata manis dan doa yang kalian titipkan buat saya.
“Terima kasih kerana memahami dan terus berada di sisi saya dalam waktu sebegini,” tulisnya.
Bagi Syida, dia lebih selesa menyerahkan segala urusan masa depannya kepada perancangan Tuhan.
Baginya, setiap apa yang terjadi sudah tertulis dan mempunyai hikmah yang tersendiri buat dirinya dan keluarga.
“Allah itu Maha Mengetahui segalanya. Dia yang memegang hati kita semua dan Dia berhak membolak-balikkan hati hamba-Nya pada bila-bila masa sahaja.
“Saya sangat percaya pada takdir, dan takdir itu adalah milik saya yang perlu saya tempuhi dengan reda,” katanya lagi.
Kemelut rumah tangga Syida mula menjadi bualan hangat selepas timbul laporan mengenai permohonan cerai yang difailkannya terhadap suami, Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 36.
Permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Disember tahun lalu.
Difahamkan, sebutan pertama bagi kes tersebut telah pun berlangsung pada 2 April lalu di mahkamah yang sama.
Walaupun terpaksa turun naik mahkamah, Syida dilihat tetap tenang menguruskan kehidupan harian dan perniagaannya seperti biasa.
Untuk rekod, Syida dan Mohamad Syafiq mendirikan rumah tangga pada 19 Januari 2019.
Syafiq merupakan anak kepada tokoh perniagaan terkemuka negara, Allahyarham Datuk Dr. Maznah Hamid, atau lebih dikenali sebagai ‘Iron Lady’ Malaysia.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata yang menjadi penyejuk hati Syida iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda, dan Serhan Isa.

