BAYANGKAN pempengaruh media sosial kegemaran anda yang selama ini hanya sibuk mengejar likes dan mencipta kandungan kreatif di TikTok, kini perlu menyarung sarung tangan tinju dan bertarung secara fizikal di gelanggang.
Kedengaran mustahil? Namun, itulah realiti yang bakal berlaku dalam acara All Star Championship: Dubai Edition pada 3 Mei ini!
Buat julung kalinya dalam sejarah industri kandungan digital global, seramai 16 influencer dari tujuh negara iaitu Malaysia, Rusia, Maghribi, Singapura, Indonesia, Vietnam, dan Jepun bakal berkumpul di Round 10 Boxing Club, Dubai.
Bukan untuk kolaborasi video viral, sebaliknya untuk membuktikan siapa sebenarnya yang mempunyai mental dan fizikal paling kental.
Malah, pelakon Trisha Ooi turut antara peserta yang mewakili Malaysia dan akan berentap dengan Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Rahman Soltan menyifatkan penganjuran ini sebagai satu revolusi bagi dunia pempengaruh.

Jelasnya, ini adalah peluang keemasan untuk melihat sejauh mana “pahlawan digital” ini mampu bertahan dalam situasi kompetitif yang sebenar.
“Ini merupakan perlawanan melibatkan pempengaruh yang pertama seumpamanya di dunia.
“Kami menghimpunkan ikon media sosial dari pelbagai negara untuk bertanding dalam satu platform yang cukup kompetitif, namun semangat kesukanan tetap menjadi tunjang utama.
“Pada masa yang sama, ia sebenarnya membuka peluang kepada mereka untuk keluar daripada zon selesa dan membuktikan kemampuan sebenar dalam bidang baharu yang mencabar ini,” katanya.

Menariknya, kriteria untuk naik ke gelanggang kali ini bukan sekadar berdasarkan berapa juta pengikut yang dimiliki oleh seseorang peserta.
Pihak penganjur menegaskan bahawa mereka sangat mementingkan kualiti pertarungan agar penonton tidak disajikan dengan perlawanan yang hambar atau sekadar gimik semata-mata.
“Pemilihan peserta bukan sekadar bersandarkan populariti mereka di media sosial.
“Sebaliknya, kami menilai dari segi keserasian, disiplin diri, serta semangat juang yang tinggi agar setiap perlawanan yang diaturkan menjadi seimbang.
“Gabungan faktor ini sangat mustahak bagi memastikan setiap pertarungan memberi impak mendalam serta pengalaman terbaik buat para penonton nanti,” tambahnya lagi.
Malah, setiap peserta diwajibkan menjalani latihan intensif selama empat bulan bagi memastikan mereka mempunyai stamina dan teknik yang setaraf dengan kualiti pertandingan antarabangsa.
“Jika tiada disiplin dan usaha yang keras, bagi saya itu bukan sebuah pertandingan.
“Kami mahukan perlawanan yang berkualiti dan kompetitif.
“Sebab itulah setiap peserta perlu konsisten dalam latihan mereka dan perlu menunjukkan perkembangan yang nyata sebelum dibenarkan untuk menjejakkan kaki ke dalam gelanggang,” tegasnya.

Memandangkan acara ini melibatkan risiko fizikal,Abd Rahman memberi jaminan bahawa aspek keselamatan tidak akan sesekali dikompromi.
Walaupun peserta merupakan bintang media sosial, protokol perubatan yang digunakan adalah mengikut piawaian antarabangsa yang sangat ketat.
“Keselamatan bukan perkara yang boleh dibuat main atau dikompromi kerana ia melibatkan risiko fizikal dan tanggungjawab besar kami sebagai penganjur.
“Setiap peserta wajib melepasi pemeriksaan kesihatan termasuk ujian darah dan rekod perubatan yang disahkan pihak berkuasa sebelum bertanding.
“Malah untuk kategori wanita, penggunaan pelindung muka serta sarung tangan khas diwajibkan bagi meminimumkan risiko kecederaan,” jelasnya.
Dia juga memaklumkan akan terbang lebih awal ke Dubai untuk memantau sendiri lokasi dan persiapan teknikal bagi memastikan semuanya dalam keadaan selamat.

“Saya sendiri akan ke Dubai lebih awal untuk pastikan semuanya selamat.
“Jika saya lihat ada yang tidak kena, kita tidak akan teragak-agak untuk membatalkannya.
“Peserta adalah tanggungjawab kami dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang kami buat,” katanya.
Adakah wakil Malaysia mampu menumbangkan gergasi media sosial dari Rusia atau Jepun? Sama-sama kita nantikan kemuncak aksi penuh adrenalin ini di Dubai nanti!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

