Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan rasa kagum terhadap kehebatan tunangnya, Bella Astillah dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Beliau menyifatkan kualiti didikan Bella terpancar jelas melalui sahsiah dan keperibadian anak-anaknya.
Sewaktu ditemui pada majlis penyampaian sijil Halal Auntea Jenny hari ini, Syed Saddiq, 33, secara terbuka memuji kekuatan dalaman Bella sempena sambutan Hari Ibu yang dirayakan hari ini.
“Bella merupakan seorang wanita yang sangat luar biasa, dan kehebatannya itu lebih terserlah sebagai seorang ibu.
“Contoh yang paling jelas, lihatlah pada Ayden dan Ara. Betapa sopannya tutur kata dan tingkah laku mereka.
“Kesemua itu sebenarnya datang daripada hasil didikan murni ibu mereka,” katanya kepada URTV.
Meskipun sering dilabel sebagai ikon wanita tabah dan menjadi sumber inspirasi kepada ramai ibu tunggal sebelum ini, Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, tetap merendah diri.
Baginya, gelaran ibu terbaik itu masih jauh untuk digapai kerana dia menganggap dirinya masih dalam proses pembelajaran.
“Bella akui diri ini tidak sempurna. Saya berasa sangat bersyukur sekiranya ada pihak yang menjadikan saya sebagai idola.
“Namun ,hakikatnya masih banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki untuk menjadi seorang ibu yang baik.
“Saya masih belajar setiap hari,” ujar Bella tenang.
Tambahnya, dia banyak memerhatikan corak didikan ibunya sendiri sebagai rujukan utama dalam membesarkan Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
“Sebagai ibu, kita memikul tanggungjawab untuk menunjukkan teladan yang baik.
“Apabila anak-anak membesar, mereka akan secara semulajadi mengikut kelakuan, sikap, serta adab yang kita terapkan sejak awal,” katanya lagi.
Bercerita mengenai sambutan Hari Ibu tahun ini, Bella menyifatkan ibunya, Siti Zarina Astillah sebagai tulang belakang yang paling utuh dalam setiap fasa hidupnya, terutama ketika mendepani pelbagai ujian mencabar sebelum ini.
Dia yang sempat meraikan hari istimewa tersebut bersama ibunya semalam, mengakui kehadiran wanita itu adalah penawar segala duka.
“Mama sentiasa menjadi sumber kekuatan terbesar buat saya.
“Dia sentiasa ada dalam setiap keadaan, sama ada waktu susah, senang, sedih mahupun ketika saya ketawa.
“Walaupun penat bagaimana sekalipun, Mama tetap setia menemani saya ke mana sahaja saya pergi,” luahnya.
Kehadiran pasangan itu di majlis tersebut menarik perhatian ramai, sekaligus memperlihatkan sokongan padu Syed Saddiq terhadap perjalanan karier dan kehidupan peribadi Bella.
Ternyata, keperibadian Bella yang mengutamakan adab dan didikan anak-anak menjadi salah satu faktor utama yang dikagumi oleh pemimpin muda berkenaan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

