Misi pulihkan semangat pelajar tahfiz, Estika Medispa rangka bantuan susulan buat Maahad Tahfiz Miftahul Ulum

Dari Penulis

TRAGEDI kebakaran yang meranapkan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan struktur bangunan, malah meragut ketenangan dan emosi para pelajarnya. 

Tersentuh dengan penderitaan para penghafal al-Quran ini, pusat kecantikan terkemuka, Estika Medispa tampil menjalankan tanggungjawab sosial dengan menghulurkan sumbangan kewangan segera bagi meringankan beban pihak pengurusan dan pelajar.

Kehadiran pasukan Estika Medispa ke lokasi kejadian bukan sekadar membawa bantuan material, tetapi juga sebagai tanda solidariti terhadap komuniti yang sedang diuji dengan dugaan yang cukup berat.

Pengasasnya, Dr. Haq mengakui luluh hati apabila melihat sendiri keadaan para pelajar yang kini sehelai sepinggang. 

Baginya, bantuan pantas amat kritikal bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terabai selepas kehilangan tempat berteduh.

“Apa yang paling menyentuh hati kami adalah apabila melihat dalam sekelip mata mereka ini hilang segalanya. 

“Bukan sahaja kemudahan pembelajaran yang musnah, tetapi juga keperluan asas serta rasa selamat yang selama ini mereka miliki. 

“Kami sedar, apabila musibah menimpa komuniti, ia menjadi tanggungjawab kita semua untuk tampil membantu,” katanya.

Dr. Haq turut menjelaskan sumbangan ini hanyalah langkah pertama. 

Pihaknya kini sedang merangka strategi yang lebih tersusun untuk memberikan sokongan jangka panjang bagi membantu proses pemulihan maahad tersebut agar sesi pembelajaran dapat kembali seperti sediakala.

Menegaskan pendirian syarikat, Dr. Haq memberitahu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) merupakan nadi utama dalam pembinaan jenamanya. 

Dia enggan melihat bantuan sebegini sebagai aktiviti bermusim atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk.

“Bagi kami, CSR bukan sekadar aktiviti yang dilakukan sekali-sekala, tetapi ia adalah komitmen konsisten untuk memberi impak nyata kepada masyarakat. 

“Kami memilih komuniti yang benar-benar terdesak dan terkesan dengan kejadian luar jangka. 

“Kes kebakaran ini jelas memerlukan tindakan segera dan kami mahu memastikan bantuan ini sampai terus ke tangan mereka yang memerlukan,” tegasnya lagi.

Selain bantuan kewangan, Dr. Haq menekankan nilai empati harus menjadi teras kepada setiap perniagaan. 

Dia percaya kejayaan sesebuah syarikat tidak akan lengkap jika tidak dikongsi bersama golongan yang memerlukan bantuan.

Malah, dia juga menyeru lebih banyak entiti perniagaan dan syarikat swasta untuk turut serta membantu Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, memandangkan sektor swasta mempunyai kelebihan dari segi kelestarian sumber dan kepantasan bertindak.

“Syarikat swasta mempunyai kelebihan daripada segi kepantasan bertindak dan mobilisasi sumber. 

“Kita boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan keperluan segera serta sokongan jangka sederhana, termasuklah proses pemulihan emosi pelajar dan pembaikan kemudahan asas,” tambahnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Zulhijjah menyisih ego, membebas jiwa

Oleh : Pegawai Pejabat Zakat, Wakaf, Infaq (ZAWAIN) dan Pensyarah Sambilan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia...

More Articles Like This