“Saya sendiri bukan dari keluarga berada” – Kontroversi mulut celupar di Cameron Highlands, Kak Ika tampil jernihkan keadaan, nafi hina golongan B40

Dari Penulis

SELEPAS teruk dihentam netizen di segenap platform media sosial, usahawan scone yang sedang hangat diperkatakan, Zamzam Zulaikha Abu Shah atau lebih dikenali sebagai Kak Ika, akhirnya tampil bersuara.

Kontroversi yang melanda dirinya bermula apabila tular sebuah video memaparkan dia mengeluarkan kata-kata kurang sopan ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands baru-baru ini.

Keadaan bertambah panas apabila dia didakwa membalas komen warganet di media sosial dengan nada yang angkuh dan kasar.

Enggan membiarkan isu tersebut terus berpanjangan dan merosakkan reputasinya, Kak Ika telah memuat naik satu hantaran permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun Threads miliknya.

Usahawan wanita ini dilihat merendah diri mengakui segala kekhilafannya dan menyatakan rasa kesal atas tindakannya yang terikut-ikut dengan emosi semasa melontarkan komen kepada warganet.

“Seikhlas hati, saya ingin menyusun jari memohon maaf kepada pemilik-pemilik akaun yang telah menerima balasan komen berbaur kasar daripada pihak saya, susulan perkongsian video ketika saya menunggang motosikal di Cameron Highlands.

“Saya sedar dan akui, gaya penulisan serta kata-kata tersebut sama sekali tidak wajar dilemparkan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia tidak mahu lari dari masalah dan sedang berusaha membetulkan kesilapannya secara peribadi.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh atas kekhilafan ini. Malah, saya juga telah mengambil langkah proaktif dengan menghantar mesej peribadi (DM) di platform Threads dan TikTok kepada individu terbabit untuk memohon maaf.

“Namun setakat ini, ada di antara mesej tersebut yang masih tersangkut di ruangan ‘Message Request’ dan belum dibaca oleh mereka,” ujarnya.

Belum pun reda isu mulut celupar di Cameron Highlands, nama Kak Ika sekali lagi terpalit dengan kontroversi baharu. Kali ini, dia dituduh memperlekehkan dan menghina golongan B40 ketika sedang mengendalikan satu sesi siaran langsung (live) di TikTok miliknya.

Dakwaan tersebut pantas disangkal olehnya. Menurut Kak Ika, berlaku salah faham yang besar berhubung kenyataannya itu. Dia menjelaskan teguran sinis mengenai “bangsa-bangsa yang masuk” itu sama sekali tidak disasarkan kepada rakyat Malaysia, jauh sekali kepada kelompok B40.

Menjelaskan situasi sebenar, Kak Ika menegaskan:

“Berkenaan isu menghina B40 pula, kenyataan yang saya lontarkan sewaktu ‘live’ itu sebenarnya ditujukan khas kepada akaun-akaun dari luar negara.

“Mereka ini kerap menceroboh siaran langsung saya semata-mata untuk merampas ganjaran ‘Treasure Coin’ atau ‘Treasure Box’ yang saya sediakan khusus buat pengikut setia saya.

“Insiden ini acap kali berlaku sehingga peminat saya sendiri kempunan untuk mendapatkan hadiah tersebut,” jelasnya.

Kak Ika turut meluahkan rasa terkilan apabila kata-katanya disalah erti kerana dia sendiri amat memahami keperitan hidup masyarakat biasa.

“Ingin saya tegaskan, saya tidak tuju langsung perkataan itu kepada golongan B40 atau mana-mana lapisan masyarakat kita.

“Saya juga datang daripada latar belakang keluarga yang biasa-biasa sahaja dan bukan orang senang.

“Jadi, tidak masuk akal untuk saya ada niat mahu merendah-rendahkan apatah lagi menghina golongan B40. Itu sama sekali bukan maksud saya,” ujarnya kesal.

Mengakhiri penjelasannya, Kak Ika berharap permohonan maaf itu dapat diterima baik oleh semua pihak.

Insiden teguran netizen ini pastinya menjadi pengajaran paling bermakna buat dirinya untuk lebih berhati-hati, menjaga tutur kata, dan mengawal emosi di media sosial pada masa akan datang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya tak kejar populariti, cukuplah lagu saya menggamit memori…,” – Jamal Abdillah bicara soal gelaran Biduan Negara

MENGHAMPIRI lima dekad mendaki puncak populariti dalam industri muzik tanah air, nama Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah, tidak...

More Articles Like This