SEMPENA Tahun Melawat Malaysia 2026, JYY Group menerusi program MyTreasure (Malaysia Treasure), menjadi hab utama menghimpunkan produk kesejahteraan semula jadi, cita rasa tempatan, pengalaman budaya serta jenama Malaysia dalam satu destinasi untuk diterokai pelancong dari seluruh dunia.
Menerusi pelancaran rasmi MyTreasure pada 18 Jun lalu, JYY Group Hab Pengalaman Cenderamata & Kesejahteraan pertama yang kini beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2), diangkat sebagai misi untuk meneroka, meraikan dan mengangkat khazanah tersembunyi Malaysia.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, yang menyifatkan inisiatif ini sebagai platform bermakna untuk memperkenalkan keunikan Malaysia ke persada antarabangsa.

“Malaysia memiliki pelbagai khazanah, namun cabaran terbesar kita selama ini ialah bagaimana untuk mempersembahkannya kepada dunia dengan cara yang bermakna dan meninggalkan kenangan.
“MyTreasure mencerminkan kerjasama awam-swasta yang kritikal dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026. Kerajaan menyediakan platform dan hala tuju, manakala syarikat berwawasan seperti JYY Group menghidupkan kisah Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada JYY Group, serta berharap MyTreasure akan menjadi simbol jenama Malaysia yang mampu mewakili negara, budaya dan warisan kita dengan penuh kebanggaan di persada dunia,” ujarnya.
Medium ‘pemburu khazanah’ Malaysia
Terletak di KLIA Terminal 2, antara pintu masuk antarabangsa paling sibuk di negara ini, MyTreasure menawarkan pengalaman yang melangkaui konsep membeli-belah konvensional dengan menggabungkan elemen kesejahteraan, budaya, gastronomi dan cenderamata di bawah satu bumbung. Sekali gus, menampilkan koleksi khazanah semula jadi dan budaya Malaysia yang paling dibanggakan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan JYY, Alann Tan, memberitahu, selepas hampir dua dekad menceburi industri cenderamata, mereka menyedari Malaysia kaya dengan produk, tradisi dan kisah yang luar biasa.

“Malaysia kaya dengan pelbagai ‘khazanah’ yang menarik, namun banyak daripadanya masih belum diterokai dunia. Kesedaran ini mengilhamkan MyTreasure iaitu yang bukan sekadar gedung runcit, tetapi ‘pemburu khazanah’ Malaysia.
“Kami menjelajah seluruh negara untuk mencari khazanah tempatan yang asli, memilih yang terbaik dan menghimpunkannya di bawah satu bumbung supaya setiap pelancong dapat menemui yang terbaik tentang Malaysia sebelum pulang ke negara mereka,” jelas Alann Tan.
Produk terpilih kebanggaan tempatan
MyTreasure menghimpunkan koleksi produk yang dipilih dengan teliti, diinspirasikan daripada biodiversiti Malaysia, warisan kesejahteraan serta kebanggaan tempatan. Antaranya ialah madu kelulut (Trigona Honey) yang diperoleh daripada hutan hujan Malaysia Timur.
Madu yang jarang ditemui dan bernilai tinggi ini terkenal dengan sifat antibakteria semula jadinya, kandungan nutrisi yang kaya serta manfaat indeks glisemik (GI) yang rendah.

Sering dianggap sebagai salah satu khazanah kesejahteraan tersembunyi Malaysia, madu kelulut kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna yang mencari pilihan semula jadi dan lestari untuk menyokong kesejahteraan harian mereka.
Manakala, Sarang Burung Pekat Lo Hong Ka pula dituai dari Gua Gomantong di Sabah dan dihasilkan menggunakan resipi warisan eksklusif serta proses penyediaan yang telah diperkasakan selama 28 tahun.

Produk premium ini diiktiraf sebagai antara khazanah kesejahteraan paling bernilai di Malaysia, melambangkan kekayaan biodiversiti, warisan serta legasi kesejahteraan negara.
Sebagai simbol cenderamata nasional generasi baharu, MyTreasure menawarkan pengalaman yang lebih bermakna kepada pelancong untuk mencipta kenangan dan berkongsi pengalaman mereka di Malaysia.
Usaha ini diperkukuh melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia, termasuk menampilkan elemen rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 seperti maskot ‘Wira’ dan ‘Manja’ pada pembungkusan serta paparan produk terpilih.
Pengalaman budaya ‘A Taste of Malaysia’
Menyedari makanan sering menjadi kenangan paling mendalam, MyTreasure memperkenalkan pengalaman ‘A Taste of Malaysia’ yang berasaskan cita rasa ikonik dan warisan kulinari tempatan.
Sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai budaya, setiap hidangan membolehkan pelancong menikmati cita rasa Malaysia sambil mengenali kisah, tradisi dan identiti negara.

Pengunjung boleh menikmati sajian eksklusif seperti aiskrim Trigona Honey, minuman istimewa berasaskan madu, kek awan pandan dan kopi durian. Konsep pengalaman ini direka untuk menggalakkan para pelancong merasai dan menghargai cita rasa Malaysia sebelum memilih hadiah untuk dibawa pulang.
Hab utama ini turut menampilkan barangan eksklusif serta aksesori gaya hidup yang diinspirasikan oleh Malaysia, sekali gus memperkayakan pengalaman pemberian hadiah dan menawarkan cenderamata istimewa yang meraikan budaya serta identiti negara.
Ketika Malaysia bersedia menyambut jutaan pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, MyTreasure membolehkan pelancong menikmati dan membawa pulang yang terbaik dari Malaysia, sekali gus mengangkat khazanah tempatan ke peringkat global.

Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi.
Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

