JENAMA wangian tempatan, Perfume Paradise pastinya tidak cukup asing lagi buat peminat wangian di Malaysia. Terkenal dengan kualiti premium wangian dengan harga mampu milik, lebel yang diperkenalkan pada tahun 2008 ini semakin mengukuhkan pengaruhnya dalam merevolusikan pasaran wangian Malaysia.
Popular dengan slogan ‘Spray Sekali, 3 Hari Wangi’, Perfume Paradise kini memperkenalkan koleksi terbaharunya, Bella Signature, yang menampilkan tiga wangian eksklusif hasil kolaborasi bersama duta jenamanya, Mua Bellaz.
Koleksi baharu itu memperkenalkan tiga haruman unik iaitu Vanille Veil, Violet Haze dan Velvet Skin, yang dibangunkan dengan identiti tersendiri bagi menawarkan pengalaman wangian berbeza kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, Nur Afiqah Amran, memberitahu, Bella Signature tampil dengan pendekatan baharu berbanding rangkaian wangian yang pernah diperkenalkan syarikat sebelum ini.

Malah, jalinan kerjasama erat selama 11 tahun dengan Nur Nabila Zulyadaini atau lebih dikenali sebagai Mua Bellaz, dalam koleksi Bella Signature, berjaya meletakkan satu impak positif terhadap Perfume Paradise.
“Tahun 2026 menandakan tahun ke-11 kerjasama antara Perfume Paradise dan Mua Bellaz. Sepanjang tempoh itu, beliau menunjukkan komitmen yang tinggi, profesional dan sangat mudah untuk bekerjasama.
“Malah, sepanjang kami bekerjasama, tidak pernah timbul sebarang masalah dan Bella memberikan sepenuh komitmennya kepada Perfume Paradise. Bella seorang yang ‘tidak berkira’. Sebab itu kami terus memilih beliau sebagai ‘wajah’ kepada koleksi Bella Signature,” ujar Afiqah.
Manakala Mua Bellaz pula menyifatkan kerjasamanya dengan Perfume Paradise cukup bermakna buat dirinya. Melihat pada komitmen yang ditunjukkan dalam memasarkan dan mempromosikan koleksi Bella Signature, maka tidak hairanlah jika ada peminatnya yang menyangka wangian itu adalah miliknya.

“Bella memang beri sepenuh komitmen terhadap koleksi wangian Bella Signature ini sampaikan ada yang ingat ini wangian Bella. Apapun Bella bersyukur kerana terus diberi kepercayaan oleh Perfume Paradise sebagai ‘wajah’ bagi koleksi Bella Signature ini,” ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.
Inspirasi Bella Signature
Mengulas inspirasi di sebalik penghasilan Bella Signature, Nur Afiqah berkata, koleksi tersebut diinspirasikan daripada personaliti dan pengaruh Mua Bellaz yang dianggap sebagai ikon dalam kalangan peminatnya.
“Kami mahu menghasilkan sesuatu yang unik dan berbeza daripada wangian-wangian sebelum ini, sekali gus mencerminkan keperibadian Mua Bellaz.
“Kebanyakan produk terdahulu dihasilkan berasaskan inspirasi daripada wangian popular yang sudah dikenali di pasaran, namun Bella Signature dibangunkan sebagai koleksi original yang mempunyai karakter tersendiri.

“Untuk Bella Signature, kami menghasilkan wangian yang benar-benar eksklusif dan tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana haruman lain di pasaran. Profil haruman dan hala tuju setiap wangian dibangunkan khas bagi memberikan pengalaman yang berbeza kepada pengguna,” katanya.
Afiqah menambah, keistimewaan koleksi itu turut terletak pada penglibatan Mua Bellaz yang memainkan peranan penting dalam pemilihan ketiga-tiga wangian berkenaan.

“Setiap wangian mempunyai karakter dan profil haruman yang berbeza. Malah, salah satu daripadanya iaitu Velvet Skin memperkenalkan kategori Skin Scent yang pertama kali dihasilkan oleh Perfume Paradise,” jelasnya.
Haruman berkualiti, harga mampu milik
Menyentuh mengenai strategi untuk kekal berdaya saing dalam industri wangian tempatan yang kian rancak, penerima Anugerah Superbrand 2024 ini sentiasa positif dan komited dalam memberi produk yang kompetitif.
“Sudah tentu kami ingin terus berkembang dalam industri wangian bukan sahaja dalam negara, bahkan merentasi sempadan negara. Justeru kami akan sentiasa memastikan wangian yang dihasilkan Perfume Paradise kekal seimbang antara kualiti premium dan harga yang mampu milik.

“Kami sentiasa menitikberatkan kualiti haruman yang ditawarkan, namun pada masa sama memastikan ia kekal mampu dimiliki oleh pengguna. Itu antara faktor yang membantu jenama kami terus mendapat sokongan,” ujarnya.
Majlis pelancaran turut menampilkan Rafaela Li-Topalian, seorang Perfume Evaluator dari Perancis yang diterbangkan khas bagi berkongsi pandangan profesional mengenai pembangunan dan karakter unik setiap wangian dalam koleksi Bella Signature.
Kehadiran pakar wangian antarabangsa itu mencerminkan komitmen Perfume Paradise dalam memastikan setiap haruman yang dihasilkan memenuhi standard kualiti global sambil mengekalkan identiti tersendiri yang dekat dengan cita rasa pengguna tempatan.

Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi.
Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

