IRAN menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas pendirian yang konsisten dalam menyuarakan sokongan terhadap perjuangan umat Islam.
Penghargaan itu dinyatakan Naib Presiden Pertama Iran, Dr Mohammad Reza Aref kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad dalam rangka lawatan rasmi ke Iran bagi mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri sesi penghormatan terakhir Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei.
Dalam hantaran di Facebook, Mohamad berkata, Mohammad Reza Aref turut menghargai pendirian tegas Malaysia mengecam kekejaman yang dilakukan Amerika Syarikat (AS) dan rejim zionis Israel.
Pada masa sama, kata beliau, Mohammad Reza Aref menyatakan penghargaan atas suara Malaysia yang sentiasa menggesa agar keadilan ditegakkan dan keamanan dikembalikan kepada rantau tersebut.
“Malaysia dipandang tinggi. Suara kita terus dihormati di pentas dunia. Alhamdulillah.
“Pertemuan di peringkat tertingi ini membuktikan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Iran terus kukuh serta saling menghormati.
“Saya turut menyampaikan salam daripada Anwar kepada kepimpinan Republik Islam Iran. Walaupun beliau tidak dapat memenuhi undangan tersebut, semangat solidariti dan persahabatan Malaysia terhadap Iran tetap dizahirkan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, beliau dan Mohammad Reza Aref juga telah berbincang mengenai usaha untuk memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.
Katanya, ia melibatkan bidang infrastruktur, teknologi, telekomunikasi, pendidikan dan keterjaminan makanan.
Beliau turut menaruh keyakinan kerjasama itu mampu membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat Malaysia dan Iran.
“Dr Mohammad Reza Aref turut menyatakan pandangan bahawa Malaysia dan Iran merupakan dua negara Islam yang memainkan peranan penting serta mempunyai pengaruh di peringkat antarabangsa.
“Insya-Allah, Malaysia akan terus mengamalkan dasar luar yang berprinsip, memperkukuhkan hubungan persahabatan dengan negara-negara sahabat serta menyokong segala usaha ke arah keamanan, keadilan dan kesejahteraan sejagat,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

