PRN Johor: ‘Guna hak dengan penuh tanggungjawab’, nasihat Ahmad Zahid kepada pengundi awal

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PENGUNDI awal yang bakal melaksanakan amanah masing-masing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dinasihatkan menggunakan hak yang telah diamanahkan dengan penuh tanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memohon pengundi supaya membuat pilihan yang terbaik.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pilihan yang terbaik itu demi kestabilan, kemajuan dan masa depan Bangsa Johor.

“Selamat menunaikan tanggungjawab kepada semua pengundi awal serta anggota keselamatan yang akan mengundi dalam PRN Johor 2026.

“Semoga seluruh proses pengundian awal anda semua berjalan dengan lancar, aman dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Seramai 24,751 pengundi awal yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal menunaikan tanggungjawab masing-masing, hari ini.

Kesemua pengundi awal itu akan mengundi di 64 pusat mengundi yang diwartakan di seluruh negeri Johor.

Daripada jumlah tersebut, seramai 12,041 merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan masing-masing.

Baki 12,710 lagi adalah pengundi awal dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan.

Dalam pada itu, 12,067 pengundi awal PDRM dijadual mengundi secara fizikal manakala 643 lagi melaksanakan amanah mereka menerusi undi pos.

Sebanyak 53 pusat mengundi awal bagi PDRM, manakala 11 lagi untuk ATM yang akan dibuka serentak 8 pagi ini, dengan waktu penutupan dilakukan secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung kepada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.

Beberapa pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih kecil seperti Balai Polis Tenang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang (enam pengundi), dan Balai Polis Bukit Besar bagi DUN Pasir Raja (11 pengundi) dijangka menamatkan operasi seawal 12 tengah hari.

Semua peti undi awal akan disimpan di balai-balai polis yang ditetapkan dan hanya akan dibuka untuk pengiraan selepas tamat waktu pengundian biasa pada Sabtu ini.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon yang merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Keputusan bina loji kuasa nuklear dipertimbang selepas semua prasyarat dipenuhi

SEBARANG keputusan berhubung pembinaan loji jana kuasa nuklear hanya akan dipertimbangkan setelah semua prasyarat berkaitan dipenuhi. Pada masa sama, Timbalan...

More Articles Like This