PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan desakan agar memecat setiausaha politiknya, yang terpalit kontroversi berhubung surat sokongan dikeluarkan bagi kontraktor yang membida projek hospital.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai desakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya tindakan sedemikian diambil.
“Saya faham dari mana datangnya pandangan beliau, tetapi kita perlu melihat kepada tahap kesalahan.
“Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan (setiausaha politik itu), tetapi kita perlu tanya sama ada projek itu benar-benar diberikan berdasarkan suratnya… jawapannya tidak.
“Jadi, kita sudah menegurnya… kita tidak boleh mendesak tindakan tegas diambil hanya kerana kita tidak bersetuju dengan orang itu. Kita perlu konsisten.
“Saya telah menggunakan kata-kata keras terhadap kakitangan saya supaya ia menjadi pengajaran kepada yang lain juga,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan di dalam pesawat sewaan Malaysia Airlines yang membawanya ke Afrika Selatan selepas lawatan rasminya ke Addis Ababa semalam.
Rafizi sebelum ini berkata Anwar perlu bertindak lebih daripada sekadar menegur, dan memecat setiausaha politik berkenaan.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata hanya dengan cara itu perdana menteri akan menghantar mesej jelas mengenai komitmennya membanteras rasuah.
“Itu yang sepatutnya berlaku. Jangan tegur. Pecat sahaja,” kata Rafizi dalam satu video yang dimuat naik pada akaun Facebook miliknya.
Pada Selasa lalu, Anwar memaklumkan Dewan Rakyat bahawa setiausaha politiknya sudah ditegur berhubung isu berkenaan, dan peraturan kerajaan melarang pengeluaran surat sokongan sebegitu.
Anwar berkata beliau hanya boleh menulis sila teliti walaupun bagi surat yang ditujukan kepadanya, dan kontrak boleh disemak tetapi tidak boleh diberi sokongan automatik.
Namun, Rafizi berkata jawapan Anwar kurang `umph’, memandangkan surat berkenaan didedahkan tahun lalu dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga sudah mengesahkan keasliannya.
Mengenai desakan Rafizi supaya setiausaha politik berkenaan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut, Anwar berkata:
“Surat itu bukan arahan. Anda dengar orang bercakap tentang rasuah ada satu dua kes, tetapi mereka langsung berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.
“Bagi saya, ini lebih serius. Saya tidak ada simpati kepada mereka yang melarikan berbilion. Kamu pejam mata pada semua kes besar ini tetapi memperbesarkan isu kecil… betul, ia memang tidak boleh dibiarkan, tetapi ia tidak patut disamakan dengan kes berbilion yang dicuri,” katanya.
Apabila ditanya sama ada amaran keras sudah mencukupi, Anwar berkata pengkritik perlu konsisten dalam memilih isu yang hendak diperjuangkan.
“Mereka mesti konsisten… kamu tidak mengetengahkan kes rasuah besar melibatkan VIP (orang kenamaan), tetapi kamu buru ikan bilis hanya untuk meraih populariti, ” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda! Ikuti langkah ini: Langkah 1: Layari utusantv.com Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
SEORANG pengawal keselamatan warga Nepal dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas pertuduhan berpakaian separuh bogel dan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.
Arman Shah, 33, yang sebelum ini disiasat berhubung kes meliwat kucing dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Sinar Harian melaporkan, mahkamah memerintahkan Arman dihukum penjara selama sebulan kerana berpakaian tidak senonoh manakala tiga bulan bagi sabitan Akta Imigresen.
Wan Noora Nisa memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman secara berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, Arman didakwa maksud hendak mengaibkan kehormatan dengan mengganggu kesantunan iaitu dengan cara berpakaian separuh bogel di hadapan seorang lelaki berusia 33 tahun, di tingkat empat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 pada jam 12.30 tengah malam 15 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi kes memasuki negara tanpa dokumen sah di lokasi dan masa yang sama, dia yang masih bujang dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, dia tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman penjara yang minimum.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Ariz Zainal Alam mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Hakim Fatimah Zahari atas satu pertuduhan mendera seekor kucing dengan kejam di lokasi dan masa sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 8 Disember depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Pendakwaan dalam kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda! Ikuti langkah ini: Langkah 1: Layari utusantv.com Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
PASUKAN teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarah untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Baling yang terbakar, pagi tadi bagi menjalankan penilaian awal ke atas tahap kerosakan dan keselamatan struktur bangunan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan bersimpati dengan pihak sekolah, warga pendidik serta pelajar yang terkesan.
Katanya, keutamaan ketika ini ialah memastikan keselamatan semua pihak terjamin serta menilai tahap keselamatan struktur bangunan yang terlibat.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil maklum insiden kebakaran yang berlaku di sebuah sekolah di daerah Baling, Kedah hari ini.
“KKR juga akan bekerjasama rapat dengan KPM, JBPM dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan susulan, termasuk kerja-kerja pembaikan serta langkah keselamatan yang perlu diambil.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, sebuah blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Baling dilaporkan terbakar hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada pukul 10.46 pagi.
Beliau berkata, kejadian itu disedari orang awam yang kemudian datang ke balai bomba untuk memaklumkan kebakaran itu.
“Sepasukan anggota BBP Baling bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran. Operasi turut dibantu jentera bertangki dari BBP Pengkalan Hulu, Perak dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Operasi pemadaman masih berjalan ketika ini dan maklumat awal yang diperoleh tiada mangsa dilaporkan berada di situ disebabkan hari cuti,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda! Ikuti langkah ini: Langkah 1: Layari utusantv.com Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
KADAR penolakan tawaran haji bagi musim 1447H/2026M didapati lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya kesan inisiatif peremajaan jenama Lembaga Tabung Haji (TH).
Melalui inisiatif tersebut, TH memaklumkan bakal jemaah haji diberi peringatan awal dan didedahkan dengan kempen berkenaan simpanan secara berterusan.
Katanya, liputan berita mengenai penolakan tawaran haji sebanyak 50 peratus merujuk kepada data pada musim yang lepas iaitu 1446H/2025M.
Jelasnya, analisis terhadap jumlah penolakan pada musim haji 1446H/2025M mendapati ia berpunca daripada tahap simpanan pendeposit yang rendah.
“Jemaah haji perlu mencukupkan simpanan minima sebanyak RM15,000 di akaun TH masing-masing untuk melayakkan menerima tawaran haji atau untuk membuat rayuan haji.
“TH menggalakkan semua bakal-bakal jemaah haji menyimpan secara berkala dan sistematik sejak awal dan sentiasa menjaga kesihatan kendiri bagi mempersiapkan diri untuk melengkapkan rukun Islam ke-5 mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagi musim haji 1447H/2026, TH menggiatkan usaha antaranya membuat peringatan berkala seawal bulan Ogos 2025 kepada semua bakal jemaah haji untuk membuat persediaan secukupnya.
Katanya, semua jemaah perlu mempersiapkan diri daripada pelbagai aspek termasuk kewangan, kesihatan dan ilmu pengetahuan.
“Tawaran haji bagi musim 1447H/2026M kepada jemaah masih lagi dikeluarkan secara berperingkat ketika ini,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda! Ikuti langkah ini: Langkah 1: Layari utusantv.com Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengesan kehadiran ‘ulat’ di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengenakan kadar tambang RM120 untuk ke KLCC.
Jabatan tersebut mendedahkan perkara itu diketahui hasil daripada intipan dan pemantauan di lokasi kejadian terhadap perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.
“Sebuah kenderaan jenis Honda City beserta pemandu telah ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya.
“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warganegara Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke KLCC dengan kadar tambang RM120,” katanya dalam kenyataan.
Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.
Sehubungan itu, JPJ Selangor dinasihatkan orang awam menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan disediakan atau pun membuat menerusi aplikasi e-hailing.
Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda! Ikuti langkah ini: Langkah 1: Layari utusantv.com Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
PENGAMBILALIHAN MASwings oleh Kerajaan Negeri Sarawak masih di dalam fasa pelaksanaan dan akan terus menyediakan perkhidmatan rural air services (RAS) di Sabah dan Sarawak dengan mengguna pakai subsidi disalurkan Kerajaan Persekutuan.
Kementerian Pengangkutan (MoT) memaklumkan, syarikat berkenaan akan memulakan operasi di bawah jenama baharu iaitu AirBorneo apabila proses pengambilalihan selesai.
“Walau bagaimanapun, perancangan bagi perkhidmatan penerbangan selain RAS adalah di bawah bidang kuasa pemilik baharu AirBorneo iaitu Kerajaan Negeri Sarawak.
“Ia juga akan ditentukan berdasarkan kepada tahap daya maju (viability) sesuatu laluan,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MoT menjawab soalan Datuk Larry Soon (PBM-Julau) mengenai pengambilalihan MASwings selain perancangan untuk mewujudkan lebih banyak laluan penerbangan antarabangsa terus ke Sarawak.
Kementerian itu menambah, fasa awal operasi AirBorneo kelak akan memberi tumpuan kepada usaha memantapkan perkhidmatan RAS sedia ada di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Keutamaan ini katanya, adalah selaras dengan tanggungjawab sosial AirBorneo dalam memastikan penduduk di kawasan tersebut terus menikmati akses pengangkutan udara yang selamat dan berterusan.
MoT memaklumkan, Kerajaan Persekutuan akan terus menyediakan peruntukan untuk perkhidmatan RAS selepas proses pengambilalihan selesai.
“Bagi perkhidmatan bukan RAS, AirBorneo merancang untuk memperoleh pesawat jet jenis narrowbody bagi membuka laluan baharu termasuk destinasi antarabangsa.
“Perancangan dan garis masa untuk perkhidmatan ini adalah keputusan komersial oleh pentadbiran baharu AirBorneo dan akan dimaklumkan oleh syarikat tersebut atau pemilik baharunya,” katanya.
UNDANGAN Afrika Selatan untuk Malaysia menyertai Sidang Kemuncak G20 menggambarkan kesungguhan negara itu dalam menjalinkan hubungan lebih erat berteraskan persahabatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang kemuncak kali ini penting bagi Malaysia untuk menyuarakan pandangan berkenaan pelbagai isu sama ada berbentuk serantau mahu pun global.
“Undangan ini menggambarkan komitmen Afrika Selatan untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia…rasa saling menghormati dan aspirasi bersama sebagai Negara-Negara Selatan.
“Sidang Kemuncak G20 kali ini membuka ruang penting untuk saya berkongsi aspirasi serta pencapaian selaku Pengerusi ASEAN 2025, selain mengemukakan suara Malaysia dalam isu mendesak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri pada masa sama, menaruh keyakinan bahawa kehadiran Malaysia bukan sekadar menghadiri persidangan, sebaliknya cerminan tekad untuk memperkukuh solidariti Negara-Negara Selatan.
Beliau juga berharap ia juga membuka ruang untuk Malaysia meneroka ruang kerjasama yang lebih bermakna dalam pelbagai bidang strategik demi manfaat bersama.
Anggota G20 terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Russia, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Türkiye.
Gabungan itu turut disertai oleh United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.
Dalam lawatan ini, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda! Ikuti langkah ini: Langkah 1: Layari utusantv.com Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
BERSEMPENA Hari Kanak-kanak Sedunia, TikTok melancarkan Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa iaitu rujukan praktikal untuk membantu penjaga melindungi pengalaman digital anak remaja mereka.
Inisiatif ini mendapat kerjasama daripada Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada kempen literasi digital berterusan #ThinkTwice oleh TikTok, yang menekankan pendekatan berasaskan komuniti dan bukti terhadap keselamatan dalam talian.
Ia menegaskan tanggungjawab kolektif antara ibu bapa, platform digital, penggubal dasar serta menghormati hak kanak-kanak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Ketua Dasar Awam Malaysia TikTok, Firdaus Fadzil berkata, kebanyakan cabaran yang dihadapi remaja masa kini bukanlah sesuatu yang baharu dan isu seperti buli telah wujud sebelum era internet lagi.
Ketua Dasar Awam Malaysia TikTok, Firdaus Fadzil
Katanya, ibu bapa dan penjaga merupakan sumber bimbingan utama kerana merupakan individu paling rapat dengan anak-anak serta memahami keperluan mereka.
“Justeru, kami mahu memperkasakan ibu bapa dengan pengetahuan dan alat untuk memupuk generasi digital secara bertanggungjawab agar remaja kita lebih bersedia mengharungi dunia internet dengan selamat.
“Bagi menterjemahkan visi kepada tindakan, Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa bertujuan membantu ibu bapa memainkan peranan aktif dalam melindungi pengalaman digital remaja melalui penggunaan ciri keselamatan TikTok yang menyeluruh, selari dengan dapatan kajian global,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood berkata, keselamatan dalam talian tidak sewajarnya bermaksud menyekat akses remaja daripada ruang digital.
Jelasnya, internet hanyalah cerminan kepada isu sosial di dunia sebenar, di mana budaya terbentuk daripada komuniti dan tabiat baik bermula dari rumah.
“Jelas bahawa kesejahteraan digital remaja tidak dapat dicapai secara bersendirian. Sebaliknya, kita harus memperkasakan ibu bapa untuk memupuk kreativiti sambil menanamkan sikap berwaspada – dengan menggalakkan rutin sihat dan membina perbualan bermakna bersama anak remaja.
“Bersama-sama, keluarga dapat memperkasakan remaja untuk membina pemikiran kritis dan berkembang menjadi bakat digital masa depan yang berdaya tahan,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengalu-alukan langkah TikTok dalam melancarkan Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa yang melengkapkan Kempen Internet Selamat.
Menurutnya, ia turut menyokong komitmen berterusan Malaysia ke arah ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
“Keselamatan dalam talian adalah tanggungjawab bersama yang patut dipikul oleh ibu bapa, platform, industri dan penggubal dasar.
“TikTok mempunyai peranan penting dalam melindungi pengguna sambil menghormati hak kanak-kanak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk mengakses maklumat dan menyatakan pandangan mereka dalam cara yang sesuai dengan usia dan selaras dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh standard keselamatan dalam talian.
“Inisiatif seperti #ThinkTwice melengkapkan keluarga dengan alat, panduan, dan kesedaran praktikal supaya golongan remaja di Malaysia dapat meneroka, belajar, dan berhubung dalam talian dengan yakin dan selamat,” katanya.
Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa menampilkan tiga tip praktikal bagi menjamin kesejahteraan digital remaja:
Awasi Aktiviti Digital Anak Remaja Anda: o Langkah pertama untuk melindungi pengalaman digital remaja adalah dengan memahami aktiviti digital mereka. o Melalui ciri ‘Family Pairing’ dalam aplikasi TikTok, akaun ibu bapa boleh dipautkan kepada akaun remaja bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang aktiviti mereka. o Setelah dipautkan, ibu bapa akan menerima notifikasi apabila remaja memuat naik video, ‘story’, atau foto umum. o Ibu bapa juga boleh memantau corak penggunaan aplikasi remaja melalui ‘Screen Time Dashboard’. o Ini membantu ibu bapa mengikuti perkembangan perjalanan digital remaja dan menentukan masa paling sesuai untuk memulakan perbualan terbuka dengan mereka, tanpa menjejaskan kreativiti atau kebebasan mereka. o Prinsip ‘Safety by Design’ TikTok turut memastikan akaun peribadi dengan ciri terhad dipilih secara automatik bagi pengguna di bawah 16 tahun; manakala mereka di bawah 13 tahun dilarang mendaftar akaun. o Ibu bapa digalakkan menyemak maklumat serta tetapan akaun remaja secara berkala bagi memastikan pengalaman TikTok kekal positif dan sesuai usia.
Sesuaikan Tetapan Mengikut Pengalaman Digital Remaja: o Seterusnya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat digital yang sihat menerusi tetapan kawal selia yang sesuai. o Ibu bapa boleh menetapkan had masa skrin pada akaun remaja yang dipautkan melalui ‘Family Pairing’, termasuk menjadualkan waktu rehat apabila TikTok tidak boleh digunakan, serta mematikan notifikasi. o Ibu bapa juga boleh menetapkan status akaun remaja – sama ada peribadi atau umum – serta memilih siapa yang boleh menghantar mesej langsung atau permintaan mesej kepada remaja. o Melalui ciri ‘Manage Topics’, pengguna boleh mengawal dan menyesuaikan kekerapan kandungan daripada lebih 10 topik popular yang disarankan dalam For You Feed (FYF), termasuk seni kreatif, pelancongan, alam semula jadi, sukan dan banyak lagi. o Pilihan ini juga dapat dilihat melalui akaun ibu bapa yang dipautkan melalui ‘Family Pairing’. o Dengan menggabungkan lebih 50 ciri dan tetapan pada akaun TikTok remaja bersama fungsi ‘Family Pairing’ dan bimbingan aktif, ibu bapa dapat memperkasakan remaja untuk meneroka, mencipta kandungan dan berhubung secara selamat dalam persekitaran digital yang terkawal dan terjamin.
Mulakan Perbualan Tentang Literasi Digital: o Akhirnya, kesejahteraan digital boleh dipupuk melalui perbualan yang terbuka dan berterusan antara ibu bapa dan remaja. o Penting untuk ibu bapa mendengar secara langsung daripada remaja tentang trend baharu, risiko atau pengalaman tidak selesa yang dialami dalam talian. o Ibu bapa boleh menggunakan maklumat daripada ‘Family Pairing’ untuk membuka dialog tentang isu sensitif sambil membantu remaja memahami interaksi selamat dan cara menggunakan fungsi seperti sekatan atau aduan. o Perbualan berkala membolehkan ibu bapa menyesuaikan diri dengan perubahan perjalanan digital remaja, termasuk peka terhadap pemintasan atau risiko baharu. o Melalui hab pengetahuan #ThinkTwice, ibu bapa dan remaja boleh mengakses sumber untuk memperkukuh literasi digital dan daya pertimbangan – merangkumi topik seperti pencegahan penipuan serta kesedaran kesihatan mental.
Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif literasi digital TikTok #ThinkTwice, sila layari hab pengetahuan dalam aplikasi: https://vt.tiktok.com/ZSHWaAYCVBthr-xiGKC/
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang ciri ‘Family Pairing’, termasuk panduan yang sistematik, sila layari: https://support.tiktok.com/en/safety-hc/account-and-user-safety/family-pairing
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda! Ikuti langkah ini: Langkah 1: Layari utusantv.com Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi beliau ke Ethiopia sudah mencapai matlamat dalam memperatkan lagi ikatan di antara kedua-dua buah negara.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kedutaan Malaysia di negara republik berkenaan termasuk kementerian terbabit yang telah melaksanakan tugasan mereka dengan baik.
“Secara keseluruhan, kunjungan ke Addis Ababa ini telah mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama perdagangan yang lebih meluas antara dua negara sahabat.
“Salut saya buat seluruh pasukan kementerian terlibat, Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa, para petugas keselamatan dan rakan-rakan media,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, beliau kini menuju destinasi seterusnya iaitu Johannesburg, Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Anggota G20 terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Russia, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Türkiye.
Gabungan itu turut disertai oleh United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.
Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
SEBANYAK 154 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes menghendap (stalker) secara fizikal atau secara dalam talian di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia direkodkan sejak seksyen berkenaan berkuat kuasa selepas pindaan Kanun Keseksaan yang menjadikan menghendap sebagai satu jenayah diluluskan di Dewan Rakyat pada 29 Mac 2023.
“Sejak Seksyen 507A ini berkuat kuasa, sebanyak 154 kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah seksyen tersebut.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 42 kes telah dituduh, dan 89 kes masih dalam siasatan,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KDN menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai jumlah terkini kertas siasatan yang dibuka bagi kes menghendap di bawah Undang-undang Anti-Menghendap semenjak ia berkuat kuasa.
Kementerian itu memberitahu, seksyen berkenaan memperuntukkan sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.
Undang-undang baharu tersebut katanya, akan menawarkan perlindungan kepada mangsa.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 98A Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], mahkamah melalui permohonan ex parte boleh mengeluarkan Perintah Perlindungan (PO) kepada mangsa bagi melindungi mereka daripada individu yang sedang atau dituduh melakukan kesalahan menghendap.
“Perintah ini berkuat kuasa sehingga proses siasatan selesai atau sehingga prosiding kes jenayah berkenaan ditamatkan. Sehingga kini, terdapat satu Perintah Perlindungan (PO) telah dipohon oleh mangsa,” katanya.