Lelaki hanyut kepala air di Sungai Klang masih hilang, Pajero ditemui 1.5km dari lokasi

KENDERAAN pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang hanyut bersama seorang lelaki dalam kejadian kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma ditemui pagi tadi.

Mitsubishi Pajero itu ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian lelaki berkenaan hanyut pada pukul 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam memaklumkan, kenderaan itu ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa yang hanyut dibawa arus deras itu masih belum ditemukan.

“Mitsubishi Pajero itu ditemui tanpa mangsa selepas paras air Sungai Klang turun hampir satu meter.

“Cuaca hari ini agak baik dan operasi SAR akan diteruskan sehingga 7 malam.

“Penemuan kenderaan ini membantu kita memfokuskan semula laluan arus yang mungkin membawa mangsa,” katanya seperti dilapor Harian Metro Online.

Mengulas lanjut, Sazalee berkata, kereta itu kemudiannya telah diserah kepada syarikat pemilik kenderaan itu.

Baca artikel lain: Operasi pencarian mangsa hanyut masuk hari ke-2 belum buahkan hasil

“Semua aset dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digembleng sepenuhnya termasuk 21 penyelam yang dibahagikan kepada empat zon pencarian.

“Dron, bot kecil dan kayak turut digunakan bagi menyusuri hampir 20 kilometer aliran Sungai Klang.

“Kita pecahkan kawasan kepada empat zon dan pencarian ini akan melepasi sempadan Selangor,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa telefon mangsa yang dilaporkan masih berdering semalam kini tidak lagi aktif, namun polis masih mendapatkan klu untuk mengecilkan skop pencarian.

“Semalam arus deras namun hari ini air lebih tenang, jernih, dan kurang berbahaya untuk penyelam.

“Empat sektor pencarian yang ditetapkan sejak semalam diteruskan, dengan laluan 20 kilometer akan diteliti secara menyeluruh,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang semalam.

Sazalee dilaporkan berkata, ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.

Mereka terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang warga tempatan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Tingkat kesiapsiagaan hadapi musim banjir – Sultan Pahang

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan negeri dan seluruh rakyat Pahang meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir tidak lama lagi.

Dalam hantaran dimuatnaik di Facebook Kesultanan Pahang, Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa persiapan rapi perlu dilakukan segera oleh semua agensi dan jabatan berkaitan.

Titah Sultan Pahang, ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk di kawasan berisiko tinggi sentiasa terjamin.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya semua pihak mengambil langkah bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan awal kerana musibah banjir memerlukan kerjasama semua.

“Saya juga mahu kebajikan mangsa banjir dipelihara termasuk aspek penyediaan makanan yang bersih, sihat dan baik kualitinya di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kebersihan tandas di PPS juga hendaklah sentiasa dijaga dan diselenggara dengan baik bagi mengelak penularan penyakit berjangkit selain memastikan pengguna diberi panduan tentang cara penggunaan kemudahan tersebut,” titah Al-Sultan Abdullah.

Baca artikel lain: Monsun Timur Laut: 3,682 kawasan dikenal pasti hotspot banjir

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas persembahan taklimat Monsun Timur Laut 2025/2026 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), Kuantan.

Sementara itu, Sultan Pahang bertitah agar maklumat berkaitan air pasang, hujan lebat berterusan serta sebarang situasi yang boleh mengundang risiko banjir hendaklah dihebahkan kepada rakyat.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah menyarankan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan pembinaan PPS secara kekal melalui penambahbaikan dewan-dewan sedia ada kerana langkah itu akan memberi manfaat jangka panjang serta menjimatkan kos pengurusan pada masa hadapan.

“Selain itu, Paduka Baginda turut menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memperhebatkan kerja-kerja pembersihan khususnya di kawasan saluran longkang dan sistem perparitan di bandar-bandar seluruh negeri bagi memastikan aliran air tidak tersumbat ketika hujan lebat.

“Sultan Pahang turut menitahkan supaya semua masjid dan surau di seluruh negeri Pahang melaksanakan solat hajat tolak bala bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT agar negeri itu dijauhkan daripada bencana banjir dan segala musibah.

“Paduka Baginda mengingatkan bahawa usaha menghadapi musim banjir ini adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan iltizam tinggi daripada setiap pihak agar rakyat yang bakal berdepan musibah sentiasa dibantu dan dilindungi dengan sebaiknya,” menurut hantaran itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Tiga maut kemalangan Perodua Myvi, dua lori di Kulai

0

TIGA individu maut dalam nahas yang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dua lori di Jalan Senai – Seelong, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.15 petang semalam.

Menurut Seng Lee, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun itu dilanggar dari belakang sebuah lori.

Beliau berkata, dua kenderaan itu kemudian terbabas dan bertembung dengan sebuah lagi lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, salah seorang daripada pemandu lori itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Seorang lagi pemandu lori dan seorang penumpang kereta telah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel lain: 42 jemaah umrah India dikhuatiri maut bas terbakar bertembung lori tangki

Mengulas lanjut, Seng Lee memaklumkan, kereta Perodua Myvi itu membawa tiga penumpang wanita berusia antara 65 hingga 87 tahun.

Katanya, lori yang melanggar Perodua Myvi itu pula dipandu lelaki warga tempatan berusia 46 tahun.

“Pemandu dan dua lagi penumpang kereta dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

PRN Sabah: SPR keluarkan 22,881 kertas undi pos

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 22,881 kertas undi pos kepada semua yang layak untuk mengundi sebagai pengundi pos dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan, pengeluaran kertas undi pos itu seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Menurut Khairul Shahril, petugas undi pos di semua 73 bahagian PRN Sabah telah mengeluarkan kertas undi pos itu selama dua hari hingga semalam.

“Kesemua 22,881 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 21,362 kertas undi pos bagi kategori 1A iaitu kepada petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

Baca artikel lain: PRN Sabah: PM guna kenderaan rasmi atas faktor keselamatan

“Sebanyak 336 kertas undi pos bagi dikeluarkan untuk kategori 1B iaitu kepada warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan 1,183 kertas undi pos bagi kategori 1C untuk agensi dan organisasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada parti atau individu yang bertanding.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi iaitu pada Sabtu, 29 November ini.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

10,128 guru baharu dijadual lapor diri, kadar pengisian jawatan 98.1 peratus

SERAMAI 10,128 orang guru baharu dijadualkan melapor diri pada 17 November, Isnin lalu sekali gus menjadikan kadar pengisian jawatan guru di seluruh negara mencapai 98.1 peratus.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, kadar pengisian jawatan guru dijangka mencapai peratusan tersebut sekiranya semua guru baharu itu melapor diri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penempatan.

Menurut beliau, penempatan terkini itu menjadikan jumlah penempatan guru baharu bagi tahun 2025 adalah seramai 20,173 orang.

“Dari segi persaraan, berdasarkan rekod sehingga 31 Oktober 2025, seramai 10,782 orang guru telah bersara pada tahun 2025.

“Dengan pengisian baharu ini, Kementerian Pendidikan (KPM) yakin ia akan membantu persediaan sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi sesi persekolahan 2026,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di Parlimen.

Baca artikel lain: Dakwaan soalan SPM bocor tidak benar – KPM

Fadhlina menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung jumlah guru baharu yang telah ditempatkan pada tahun 2025 berbanding dengan jumlah persaraan serta bilangan pengisian guru terkini di sekolah-sekolah KPM.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM sentiasa memberi perhatian serius terhadap pengisian jawatan guru dan memastikan agihan guru baharu dilaksanakan secara seimbang di seluruh negara mengikut kekosongan jawatan serta keperluan opsyen.

Katanya, KPM turut melaksanakan penempatan guru baharu berdasarkan kekosongan jawatan, keperluan opsyen atau kluster mata pelajaran di setiap negeri merangkumi sekolah rendah dan menengah.

Beliau memaklumkan, ia bagi memastikan proses tersebut berlaku dengan adil dan teratur.

“Selain itu, satu jawatankuasa khas di peringkat KPM ditubuhkan setiap kali sesi penempatan guru baharu bagi menyemak data keperluan, menilai kadar kekosongan serta mempertimbangkan faktor lokaliti supaya penempatan dapat diseimbangkan antara kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Harimau Malaya kekal rekod tanpa kalah saingan kelayakan Piala Asia 2027

MALAYSIA terus mengekalkan rekod tanpa kalah bagi saingan Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ini selepas skuad Harimau Malaya berjaya menundukkan Nepal 1-0 menerusi jaringan pemain gantian Faisal Halim pada minit ke-55 perlawanan.

Faisal masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-9 bagi menggantikan pemain bintang, Arif Aiman Hanapi yang mengalami kecederaan.

Peluang yang diberikan oleh jurulatih Peter Cklamovski digunakan sebaik mungkin oleh Faisal apabila tenang menewaskan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Lumbu selepas menerima hantaran daripada Safawi Rasid.

Sebelum itu, Harimau Malaya yang menguasai sebahagian besar perlawanan mengalami masalah untuk menembusi benteng lawan selepas mereka mengambil pendekatan untuk bertahan di ‘lower block’.

Percubaan-percubaan bahaya daripada antaranya Safawi, La’vere Corbin Ong dan Dion Cools berjaya dikawal dengan baik khususnya oleh Kiran.

Nampak gaya masalah luar padang yang kini sedang menyelubungi skuad kebangsaan sama sekali tidak mengganggu fokus pemain dalam sasaran mencari tiga mata penuh.

Keputusan itu juga menyaksikan Harimau Malaya meneruskan rekod kemenangan bersih dalam lima aksi Kumpulan F dan berada di kedudukan teratas dengan mengumpul 15 mata.

Anak buah Cklamovski seterusnya akan membuat perhitungan dengan Vietnam pada 31 Mac depan yang turut menjadi perlawanan penentuan dalam perebutan tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

JPA kumpul maklumat cadangan had umur persaraan 65 tahun

0

USAHA sedang dijalankan bagi mengumpul maklum balas berkenaan cadangan menaikkan had umur persaraan wajib bagi penjawat awam kepada 65 tahun.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, maklumat itu penting sebelum kerajaan membuat keputusan kerana perkara tersebut di luar kebiasaan.

“Perkara ini memerlukan satu kajian serta penelitian yang lebih rapi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah Pesara dan Lawatan Kerja di Min House Camp, hari ini.

Katanya lagi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengadakan sesi libat urus dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas.

“Biasanya hasil maklum balas yang diterima ada baik dan buruknya. Ada yang bersetuju dan tidak.

“Cuma peringkat awal, kita akan lihat daripada pelbagai perspektif dan sudut untuk pastikan apa jua keputusan memberi implikasi yang baik kepada penjawat awam dan negara,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dapat bersabar menunggu keputusan tersebut.

Ujarnya, perkara tersebut masih dalam peringkat kajian yang masih memperlukan penelitian rapi supaya langkah yang diambil mampu memberikan manfaat kepada semua pihak.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Operasi pencarian mangsa hanyut masuk hari ke-2 belum buahkan hasil

OPERASI pencarian mangsa hanyut yang memasuki hari ke-2 masih lagi belum membuahkan hasil meskipun cuaca di sekitar ibu negara dan Selangor baik.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, operasi pencarian bermula pada pukul 9.30 pagi dengan kaedah pencarian antaranya menggunakan drone bagi membuat tinjauan melalui udara.

Jelasnya, operasi melibatkan empat sektor, di mana satu sektor meliputi jarak sejauh lima kilometer dengan menggunakan aset marin seperti kayak dan bot.

“PDRM dan JBPM menjalankan operasi di sekitar sektor 2 dan 4, Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sekitar sektor 1 dan Angkatan Pertahanan Awam membuat pencarian di sektor 3,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang semalam.

Ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.

Menurut JBPM Kuala Lumpur, operasi turut diperluaskan melalui bantuan JBPM Selangor dengan BBP Shah Alam yang membuat pencarian di kawasan sekitar sungai di Seksyen 24, BBP Subang Jaya.

“Pencarian bermula dari Tol KESAS hingga ke Kampung Sungai Baru Puchong dan BBP Puchong membuat pencarian bermula dari Tol Sungai Baru hingga ke perangkap sampah Kampung Sungai Aman.

“Keadaan cuaca yang baik pada sebelah petang membantu pasukan penyelamat menjalankan operasi SAR namun sehingga jam 7.30 petang masih tiada penemuan.

“Operasi ditangguhkan dan akan disambung semula pada esok hari jam 10.00 pagi,” menurut kenyataan itu lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Pengunjung Taman Laut diwajibkan bawa pulang plastik sampah mulai 1 Januari 2026

BERMULA 1 Januari tahun hadapan, semua pengunjung yang berada di Taman Laut diwajibkan untuk membawa pulang sampah masing-masing ke darat.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, usaha ini bagi mengurangkan pencemaran khususnya sisa plastik yang dikenal pasti sebagai ancaman terbesar kepada ekosistem laut.

Katanya, ia dicapai dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut yang telah bersidang semalam.

“Ketetapan baharu ini menegaskan komitmen negara dalam memastikan kawasan perlindungan marin kekal bersih, sihat dan lestari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baca artikel lain: Kerajaan MADANI berjaya perkasakan 12,645 usahawan masyarakat India

KPKM menegaskan, pencemaran plastik telah menyebabkan kerosakan terumbu karang, kematian hidupan dan peningkatan mikroplastik yang akhirnya memberi kesan kepada kesihatan manusia dan keterjaminan makanan.

“Pengusaha bot, pusat selaman, pemandu pelancong, komuniti setempat dan industri pelancongan diseru untuk bersama-sama menjayakan kempen ‘Bawa Pulang Sampah Anda’,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan kerjasama semua pihak amat penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman pencemaran plastik serta kepentingan memelihara sumber makanan negara.

Kerja pembinaan di kawasan runtuhan binaan ECRL di MRR2 dihentikan sementara – MRL

SEMUA kerja-kerja pembinaan di kawasan runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), telah dihentikan sementara menunggu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik ECRL memaklumkan, tindakan itu diambil sebagai sebagai langkah keselamatan susulan kejadian sebuah kereta dihempap oleh runtuhan binaan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat semasa, pemandu kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan selamat.

“ECRL akan memberikan bantuan kewangan segera kepada pemilik kenderaan yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung, sementara menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan proses tuntutan yang berkaitan.

“Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur sementara telah berjaya dijalankan di bawah seliaan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MRL memaklumkan, struktur sementara ‘temporary steel canopy’ tersebut dibina bagi menghalang serpihan binaan daripada jatuh ke jalan raya dan memudahkan pelaksanaan kerja-kerja Road Under Bridge (RUB) #16.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan RUB #16 telah disiapkan pada Oktober lalu dan proses berkaitan pembukaan struktur sementara dijadualkan bermula pada 20 November 2025 selepas menerima kelulusan agensi terlibat.

Baca artikel lain: Wanita berdepan detik cemas, Suzuki Swift dihempap runtuhan binaan ECRL di MRR2

“Pihak ECRL komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan serta memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi.

“Keutamaan kami adalah keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan pekerja projek. Kami amat menghargai perhatian dan kerjasama semua pihak berhubung insiden ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan,” katanya lagi.

Kenyataan itu turut menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati serta mematuhi arahan trafik dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di lokasi berkenaan.

Terdahulu, seorang wanita berdepan detik cemas selepas kereta jenis Suzuki Swift yang dipandunya secara tiba-tiba dihempap runtuhan binaan ECRL, tengah hari tadi.

Dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Plaza Tol Gombak, kemalangan itu melibatkan seorang wanita berusia 40-an.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar memaklumkan, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.47 tengah hari tadi.

Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram