Kebolehan bertutur dengan lancar dan jelas di kalangan kanak-kanak sebenarnya sudah bermula semenjak awal kelahiran. Menerusi pendengaran, si manja akan belajar cara untuk menghasilkan bunyi.

Menginjak pada usia lapan bulan hingga dua tahun, penguasaan perbendaharaan kata mereka semakin mantap. Malah ada yang berupaya untuk menyambungkan ayat tertentu bagi mengekspresikan kehendak dan pendapat mereka.

Namun jika ada yang masih belum pandai bertutur, jangan bimbang kerana setiap anak punya tahap yang berbeza. Ibu bapa perlu bijak memanfaatkan tahap perkembangan dengan merangsang anak-anak menerusi cara yang betul.

Usahakan melayani anak-anak berbual kerana ia akan menggalakkan mereka untuk bercakap lebih banyak. Walaupun ketika ini mereka kelihatan tidak memahami apa-apa, namun percayalah setiap apa yang didengar akan disimpan kemas dalam kotak memori.

Ibu bapa juga dinasihatkan untuk memberi dorongan berterusan, biarpun perkataan anak ada sebahagiannya tidak difahami atau kerap berulang.

Teruskan peniruan

Bagi memantapkan perbendaharaan kata, biarkan anak meniru semula ucapan anda. Jangan sesekali menghalang kerana mereka boleh hilang minat untuk menyebut perkataan baharu.

Guna pelbagai bahasa

Lebih banyak anda melayan anak berbual, lebih cepat mereka boleh bercakap. Dalam masa yang sama, dedahkan anak dengan penggunaan bahasa asing seperti Bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin. Usah bimbang dengan kebolehan belajar bahasa lain kerana anak kecil sangat mudah mencerap.

Kata-kata negatif

Apabila terdengar sahaja perkataan negatif meluncur daripada mulut si kecil, jelaskan kepadanya secara berhemah. Kemudian tegah mereka daripada menuturkannya semula.

Jangan pelat

Jangan sesekali mengajar anak bercakap pelat. Ajarkan mereka bertutur menggunakan sebutan tepat agar anak jelas dengan setiap bahasa yang digunakan.

Ajar perkataan positif

Dalam belajar mengungkap kata, selitkan nilai moral. Justeru dorong anak untuk bertutur dalam bahasa yang sopan. Pilih ayat yang mudah dikaitkan dalam aktiviti harian misalnya terima kasih atau maaf.

Foto : Google