HANTU KUDUNG

SEWAKTU saya berada di Kelantan kira-kira tiga tahun yang lampau, saya tidak lupa untuk menyiasat kisah-kisah hantu yang berlaku di negeri itu. Menurut penduduk-penduduk negeri tersebut kebanyakannya mereka memang lekas terpengaruh dengan cerita-cerita hantu dan lekas juga terpengaruh dengan kepercayaan yang mereka anggap hantu itu.

Terutama sekali yang terdapat banyak kisah-kisah hantu ini ialah di sebuah kampung yang bernama Aur Duri. Di kampung itu boleh dikatakan semua penduduk-penduduknya mempercayai hantu, ilmu sihir, ilmu memuja, ilmu pukau dan bermain puteri.

Kira-kira dua bulan lamanya saya berada di Kelantan, pada suatu hari saya berkesempatan meninjau ke rumah Pak Awang. Pak Awang ialah seorang bomoh yang terkenal di kampung itu. Dalam masa kunjungan saya ke rumahnya, saya dapati Pak Awang sedang sibuk berbual-bual dengan sahabat handainya yang datang ke rumahnya pada hari itu.

Setelah memberi salam, saya pun memperkenalkan diri saya kepada Pak Awang dan menceritakan perihal kedatangan saya ke rumahnya pada hari itu ialah kerana hendak melihat bagaimana dia mengubat orang-orang yang kena sampuk.

Pak Awang tersenyum mendengarkan pertanyaan saya, dia mempersilakan saya masuk ke rumah beliau yang lebarnya 17 kaki X 14 kaki. Di dalam bilik itu saya dapati banyak benda-benda yang menakjubkan yang mana benda-benda itu belum pernah saya melihatnya seumur hidup saya.

Di sudut bilik itu terletak sebuah katil kecil yang diperbuat daripada kayu jati. Di atas katil itu ada beberapa biji bantal yang sudah lapuk dan baunya busuk pula.

Di atas katil juga kelihatan suatu tubuh terbaring menjulur panjang, ditutup dengan sehelai gebar putih, iaitu dari hujung kepala hingga ke hujung kakinya.

“Siapa yang baring di atas katil itu, Pak Awang?” saya mengemukakan pertanyaan kepada Pak Awang dengan suara perlahan-lahan.

Mendengar pertanyaan saya itu Pak Awang merenung muka saya dan dengan matanya yang bersinar-sunar, merah kelihatannya.

Sambil menganggukkan kepalanya dia menjawab, “Inilah sahabat hambo, dialah yang menjadi suruhan hambo keluar malam kelik pagi.”

Saya hairan mendengarkan kata-katanya tadi dengan memakai loghat Kelantan, tetapi saya berdiam diri, kerana saya faham apa yang telah diucapkan sebentar tadi.

“Kenapa Pak Awang tutup seluruh anggotanya?” tanya saya lagi.

Mendengar pertanyaan kali yang kedua itu, Pak Awang menggeleng-gelengkan kepalanya  sambil berkata, “Sahabat hambo ini malu melihat dan berjumpa orang.”

Saya mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiyakan saja apa yang dikatakan oleh Pak Awang itu tetapi saya sendiri tidak mengerti maksudnya yang sebenar.

Kemudian saya pun duduk bersila menghadap katil yang memuat sahabat Pak Awang itu. Seketika lamanya kami sekalian berdiam diri, tiba-tiba keadaan yang sunyi senyap sejak berapa minit tadi, telah dipecahkan oleh suara beberapa perempuan yang sudah separuh umur datang hendak mendapatkan Pak Awang dengan keadaan tergopoh-gapah.

Seorang daripadanya menerkam Pak Awang yang sedang berdiri di muka pintu biliknya, lalu menyembah kaki Pak Awang dengan keadaan seolah-olah meminta ampun. Pak Awang tidak berkata apa-apa selain dari melihat akan perempuan yang menyembah lututnya itu.

Perempuan itu menangis sambil meratap-ratap meminta tolong kepada Pak Awang. Menurut perempuan itu, adik perempuannya telah dibuat orang dan sekarang di dalam keadaan seperti orang gila, tak tentu tidur dan boleh bercakap-cakap, tak boleh mendengar bising-bising dan macam-macam lagi.

“Mu duduklah di sini, hambo nak ke dapur sekejap” tiba-tiba Pak Awang memotong cakap perempuan itu sambil berjalan menuju hala ke dapurnya. Sebentar kemudian Pak Awang keluar semula, tangannya kelihatan membimbit sebuah mangkuk putih besar yang berisi air.

Pak Awang masuk ke bilik tempat kami sekalian sedang menanti itu, dan terus Pak Awang duduk bersila sambil membakar kemenyan. Dia merenung air di dalam mangkuk itu dan mulutnya kelihatan terkumat-kamit seolah-olah memperkatakan sesuatu tidak kami ketahui.

Di dalam beberapa saat selepas itu tiba-tiba rupa Pak Awang berubah menjadi hitam sehitam-hitamnya, matanya pula telah bertukar kebiru-biruan dan berkilat-kilat pula, seluruh anggotanya kelihatan bergoyang-goyang. Melihat peristiwa itu, saya berasa amat gerun dan hairan. Setelah itu barulah Pak Awang dapat berkata-kata, tapi kali ini suaranya telah berubah garau. Suara itu bertanya kepada perempuan tadi siapa nama adiknya yang gila itu, berapa umurnya. Soalan itu dijawab oleh perempuan itu dengan perasaan yang penuh harapan.

Kemudian Pak Awang berpaling kepada tubuh yang berselimut di atas katil lalu berkata, “Hai sahabat hambo, kali ini mu mesti pergi ke tempat mu yang asal dan bila mu sampai ke sana mu ambil sehelai rambut perempuan yang mati beranak…”

Habis sahaja Pak Awang berkata, tubuh itu kelihatan bergerak perlahan-lahan dan ketika itulah saya terdengar satu suara dari benda itu mengatakan: “ Baiklah”. Mendengar itu Pak Awang pun bangkit dari duduknya dan mengambil sehelai kain merah, lalu diberikan kepada perempuan itu: “Ambillah kain ini dan mu boleh kelik” kata Pak Awang.

Perempuan itu menyambut kain merah yang diberikan oleh Pak Awang tadi lalu mengucapkan terima kasih. Pak Awang menghulurkan tangannya ke arah perempuan itu. Saya ingatkan dia hendak bersalam, rupa-rupanya dengan sekelip mata itu juga tangan perempuan itu kelihatan memberikan beberapa keping wang kertas merah-merah warnanya kepada Pak Awang. Pak Awang menyambutnya dengan tangan yang terketar, tapi wajahnya berseri-seri.

Perempuan itu terus meminta diri lalu pulang dengan tidak bertanya apa-apa pun kepada Pak Awang.

Kejadian yang seumpama ini memang tidak boleh dipercayai; sesiapa juga yang mendengar kisah ajaib ini, kalau ditanya seorang yang tidak pernah mengalaminya tentu tidak percaya, tetapi pada diri saya sendiri pula, hendak saya katakan percaya tak boleh, hendak saya katakan tak percaya pun tak boleh.

Tetapi setelah menyiasat dan melihat dengan mata kepala saya sendiri, barulah saya ketahui, rupa-rupanya perkara-perkara yang seperti terjadi di rumah Pak Awang sebagaimana yang telah saya kisahkan di atas tadi memang boleh dipercayai dan kejadian itu adalah satu kejadian benar dan ganjil.

Kira-kira seminggu selepas saya berkunjung ke rumah Pak Awang itu, pada suatu malam sepulangnya saya dari menonton wayang kulit, sedang saya dalam perjalanan pulang ke rumah saya, tiba-tiba saya ternampak dari jauh satu benda putih berjalan terhincut-hincut di depan saya.

Benda itu jaraknya dari saya lebih kurang 50 ela. Oleh kerana bulan pada malam itu memancarkan cahayanya samar-samar kerana diliputi awan tebal, saya tidak dapat melihat dengan jelas akan benda tersebut.

Pada mulanya saya menyangka benda itu orang sedang berjalan, tetapi apabila saya tenung betul-betul, barulah saya ketahui rupa-rupanya benda itu bukan manusia, sebab dari jauh saya ternampak dia berjalan terhincut-hincut dengan tidak mempunyai kepala.

Sebentar-sebentar kelihatan benda itu ghaib oleh kabus yang menyelimutinya dengan tebal, kemudian muncul lagi, semakin lama semakin dekat. Dengan tidak  membuang masa lagi saya pun menyembunyikan diri di balik sepohon kayu yang ada di kiri kanan tempat saya berjalan itu.

Benda itu terus berjalan terhincut-hincut menuju hala ke kubur yang tidak berapa jauh dari situ. Pak Awang menurutnya dari belakang dengan memikul sebatang cangkul di bahu kirinya. Hati saya tambah berdebar-debar bila saya melihat tubuh yang terhincut-hincut tadi benarlah tidak mempunyai kepala.

Setelah jauh mereka berjalan saya pun mengikutinya dari belakang kerana saya ingin tahu mengapa mereka pergi ke kubur di waktu malam begini.

Di tanah perkuburan itu penuh dengan pohon-pohon kayu besar dan semak-semak. Bunyi suara burung hantu sayup-sayup kedengaran, beberapa ekor kucing hitam kelihatan berkeliaran berlari ke sana ke mari melangkah kubur-kubur yang ada di situ.

Di saat itu saya bersembunyi di sebalik semak-semak yang berhampiran dengan kubur itu. Saya lihat Pak Awang mula menggali sebuah kubur. Dia nampaknya bersungguh-sungguh benar.

Setengah jam kemudian Pak Awang pun dapat menyelesaikan pekerjaannya. Dia kelihatan terlalu penat dan berpeluh-peluh. Kemudian Pak Awang duduk di tepi kubur yang sudah digalinya itu dan berkata kepada sahabatnya yang kudung kepala yang sedang tegak berdiri di hadapannya itu: “Selepas aku mengambil rambut dan kain kafan perempuan yang baru mati beranak ini, kau mesti bawa benda-benda itu pulang ke rumah kita. Aku tak boleh balik sekarang kerana masih banyak kerja di sini.” Demikian Pak Awang memberi tahu kepada sahabatnya itu.

Habis sahaja Pak Awang berkata-kata, dia pun segera terjun ke dalam lubang kubur itu kerana hendak mengambil rambut perempuan yang mati beranak itu. Lama Pak Awang di dalam lubang kubur itu. Agaknya terlalu lama manusia kudung itu menantikan Pak Awang tidak juga naik dari lubang kubur, dia tidak sabar tiba-tiba dia pun ikut terjun ke lubang itu. Pada ketika itulah saya terdengar suara Pak Awang memekik-mekik minta tolong.

Tetapi malangnya pada masa itu tiada seorang manusia pun yang datang menolongnya. Bunyi pekikan suara Pak Awang semakin kuat dan menyeramkan bulu roma saya. Mendengar itu saya tak sabar lagi, lalu saya pun berlari menuju ke lubang kubur itu dan mencapai cangkul yang ada terletak di tepi kubur, terus melihat ke dalam lubang tersebut.

Alangkah terperanjatnya saya bila saya ternampak Pak Awang sedang dicekik oleh tubuh yang tak berkepala itu. Melihat demikian saya pun mengangkat cangkul lalu menghayunnya ke badan hantu kudung itu. Apabila kena saja benda itu pun jatuh, tapi dia bangun semula dan melompat ke atas melawan saya.

Saya undur ke belakang kerana mengelakkan terkamannya itu, tetapi tak sempat, kerana dengan pantas benda itu mencekik leher saya dengan kedua belah tangannya.

Saya meronta-ronta dan memekik meminta tolong tetapi tiada seorang manusia pun yang datang menolong saya. Kami bergumpal-gumpal di atas tanah perkuburan itu.

Lama-kelamaan saya merasa letih dan lemah seluruh anggota. Pandangan saya mulai gelap di waktu itu. Akhirnya saya tidak sedarkan diri lagi dan apa yang terjadi pada diri saya selepas itu saya pun tidak tahu.

Apabila saya sedar semula, saya dapati hari sudah hampir fajar, ayam berkokok bertalu-talu sayup-sayup kedengaran. Saya menoleh ke kiri dan ke kanan dan saya melihat seorang yang separuh umur sedang duduk di sisi saya di tanah perkuburan itu. Orang itu merenung saya dengan keadaan letih.

Saya bangun perlahan-lahan lalu duduk mengadap orang yang belum saya kenali itu, dan saya pun merenung orang tu hingga ke kakinya; orang itu kelihatan tersenyum apabila dia melihatkan telatah saya pada ketika itu.

“Pak cik ini siapa dan dari mana pak cik datang?” tanya saya kepada orang itu.

“Aku berada di sini sejak malam tadi kerana menjaga isteriku yang baru saja meninggal dunia petang semalam, dan kerana aku tahu ada orang yang cuba hendak mengacau isteriku yang tak berdosa itu. Maka itulah sebabnya aku datang ke mari untuk membalas bela kepada pengkhianat-pengkhianat itu,” katanya  seraya menunjukkan tangannya ke dalam lubang kubur yang bekas digali oleh Pak Awang malam tadi itu.

Saya pun menjenguk ke dalam lubang kubur itu. Alangkah terkejutnya saya bila terpandang Pak Awang dan tubuh tak berkepala itu telah mati dalam lubang itu dan kulihat juga kepala seorang perempuan  hampir-hampir putus kena potong. Mata Pak Awang terbeliak, lidahnya terjelir panjang, sungguh gerun saya melihatnya.

Belum pun sempat saya hendak mengemukakan sesuatu pertanyaan mengenai kisah ajaib ini pada pak cik tadi, tiba-tiba pak cik itu pun menceritakan kepada saya kisah sebenarnya yang telah berlaku malam tadi.

Menurut ceritanya begini : Rupa-rupanya Pak Awang yang telah mati itu ialah seorang bomoh yang jahat dan suka mengambil kain kafan, rambut dan kepala orang yang baru mati. Pak Awang ada membela seorang adiknya yang dibunuhnya sendiri dan kepala adiknya itu telah dipotong kerana takut diketahui oleh orang lain.

Dengan kepintaran Pak Awang sebagai seorang bomoh yang cukup ilmu sihir yang dianutnya, maka Pak Awang beroleh kejayaan dalam segala permintaan dan hajatnya.

Akhirnya Pak Awang telah berjanji dengan hantu-hantu dan jin-jin yang dibelanya itu, iaitu Pak Awang dikehendaki mengambil darah, kain kafan, rambut dan kepala orang yang baru mati untuk makanan hantu-hantu yang dibelanya itu.

Dalam masa hayat Pak Awang masih ada, selalulah berlaku perkara-perkara yang mengerikan. Pak Awang tidak boleh terpandang kepada seorang yang lemah semangat.

“Dengan kehendak Allah SWT, maka digerakkan Tuhan hati pak cik datang ke mari untuk mengambil kesempatan bagi menuntut bela atas perbuatan Pak Awang yang hina lagi terkutuk itu.”

Demikianlah menurut cerita dari orang tua itu kepada saya.

“Pak cik ini siapa dan dari mana pak cik datang?”

Saya ulangi lagi pertanyaan yang sejak tadi belum dijawabnya.

“Namaku dikenali sebagai Pak Dolah, dan aku juga terkenal sebagai seorang bomoh di kampung ini,” jawabnya sambil bangun dan mengibas-ngibas tanah liat yang melekat di baju dan seluarnya.

Mendengar jawapan Pak Dolah itu, saya merasa seram kembali, tetapi sengaja saya buat manis muka, lalu bertanya kepadanya apa yang harus dilakukan sekarang.

“Marilah kau tolong aku menimbus kembali kubur ini…”: katanya sambil mencapai cangkul dan mulalah kami berdua menimbus kubur itu ; sehingga tengah hari barulah kami pulang ke rumah masing-masing. – H.M. Kassim, Singapura.

NOTA : Kisah misteri di atas tadi disiarkan oleh majalah Mastika, keluaran Disember 1963, dalam tulisan jawi. Pada bahagian atas artikel berkenaan Pengarang Mastika (tidak dinyatakan namanya di dalam majalah) membuat catatan bahawa artikel misteri itu disiarkan atas permintaan para pembaca yang meminati genre berkenaan. Permintaan itu lahir kerana dua sebab ; Pertama, sudah agak lama Mastika tidak menyiarkan cerpen misteri. Kedua, akur bahawa setiap hari berlaku banyak kejadian aneh di seluruh dunia. Kisah di atas tadi adalah fiksyen penulisnya, H.M. Kassim.

UtusanTV menyiarkan kembali cerpen Hantu Kudung ini sebagai nostalgia semata-mata, bagi mengimbas ingatan pembaca kepada sejarah penerbitan  Mastika. Sebenarnya kisah-kisah seram bukanlah asing kepada majalah ini. Ia telah dimulakan oleh wartawan terkenal Utusan, Othman Wok sejak tahun 1950an lagi, sebelum diikuti oleh penulis-penulis lain, sampailah sekarang.