Kuala Lumpur – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menerima tekanan politik daripada sekutunya UMNO, apabila dikhabarkan lebih ramai ahli Parlimen parti itu akan menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekaligus boleh meletakkan politik negara kembali bergolak.

Hari ini, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika membayangkan perkara itu berkata, Muhyiddin harus memikirkan apa tindakan yang wajar dibuat dan tidak boleh membiarkan kedudukan ketika ini kekal kerana kerajaan terumbang-ambing.

Sambil menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob semalam menarik balik sokongan kepada Kerajaan PN sebagai pencetus kepada perubahan, Tajuddin berkata, desakan parti itu untuk pilihan raya umum diadakan pada suku pertama tahun ini harus dilihat dari konteks keperluan membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

Tegas beliau, perkembangan semasa meletakkan Kerajaan Muhyiddin dalam keadaan ‘bahaya dan boleh runtuh pada bila-bila masa’.

Tajuddin juga menegaskan, UMNO tidak akan mengadakan rundingan berhubung dengan pengagihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan Parti Bersatu.
Beliau berkata, ini kerana UMNO telah membuat keputusan untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya itu nanti.

‘’Tak ada rundingan, apa nak runding lagi dah, kita dah tolak Bersatu.Kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang,’’ katanya di Pasir Salak seperti dilapor Astro Awani.

Sementara itu, di Setiu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PN dengan sokongan 110 ahli Parlimen masih sah sebagai kerajaan dan akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negara.

‘’Yang penting ialah kerajaan ini berfungsi dengan baik sejak bermula pada Mac hingga sekarang. Rakyat juga boleh melihat bagaimana kerajaan sedia ada ini berfungsi dengan baik. Jadi kami (kerajaan) akan terus berkhidmat melalui organisasi kerajaan di semua peringkat,’’ katanya.

Bagaimanapun pemerhati politik melihat tindakan UMNO itu sebagai tidak wajar memandangkan negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan beberapa negeri dilanda banjir.

‘’Tidak kiralah bilapun mereka tuntut pilihan raya diadakan tetapi sekarang bukan waktu sesuai untuk beri tekanan kepada Perdana Menteri yang sedang bertungkus lumus mengurus negara menangani pandemik Covid-19,’’ kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi.

Selain itu pemerhati politik tersebut juga berpendapat, apa yang dilakukan oleh UMNO boleh memberi kesan buruk kepada parti itu apatah lagi terdapat dakwaan bahawa parti tersebut kini berpecah.

‘’Saya percaya ramai dalam kalangan pemimpin UMNO tidak bersetuju dengan tekanan yang diberikan. Lagipun kalau kita lihat yang sering membuat kenyataan mendesak pilihan raya ini, hanya pemimpin tertentu sahaja, kita tidak tahu apa motif mereka tetapi apapun alasan sekarang bukan waktu sesuai,’’ katanya.