ANALISIS

Hari ini seorang lagi pakar perubatan tampil memberi nasihat kepada ahli-ahli politik supaya menyelesaikan kemelut antara mereka dengan cara lain, bukan melalui pilihan raya. Kata Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar, pilihan raya umum juga tidak wajar diadakan pada tahun ini walaupun program vaksinasi Covid-19 dikatakan akan dilaksanakan Mac ini.

Dr. Zainal Ariffin yang juga Presiden Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia bukanlah pakar perubatan atau persatuan perubatan pertama membuat rayuan itu, malah sebelum ini pakar-pakar perubatan lain turut membuat seruan yang sama.

Bagaimanapun kita tidak pasti sama ada rayuan mereka akan didengari atau tidak, tetapi yang pasti dalam kalangan netizen majoritinya menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Tidak kiralah sama ada mereka memiliki ijazah, PhD atau pemarut kelapa semua senada menolak PRU berikutan ancaman pandemik itu yang tidak pasti bila akan berakhir.

Soalnya adakah ahli-ahli politik memahami atau menerima nasihat pakar-pakar perubatan tersebut? Setakat ini penulis tidak nampak desakan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini akan reda.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjadi sasaran kecaman netizen apabila beliau berkata, ‘’Jika boleh ke kedai, pasar raya, restoran beratur setiap hari kenapa tak boleh cuma 1 hari beratur mengundi dengan SOP ketat.’’

Ternyata segelintir pemimpin UMNO masih ghairah untuk mendesak pilihan raya umum diadakan pada tahun ini juga. Malang sekali desakan adalah ketika negara sedang ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19.

Sepatutnya sebagai parti dalam kerajaan, mereka bertenang sekejap atau melakukan gencatan politik untuk bersama-sama kerajaan memerangi wabak itu, tetapi apa berlaku seolah-olah ada gerakan untuk menarik balik sokongan kepada Kerajaan PN yang akan membuka laluan kepada pilihan raya.

Kalau betullah UMNO mahu pilihan raya selepas isu Covid-19 reda, maknanya mereka tidak perlu letak tempoh suku pertama tahun ini kerana pakar-pakar perubatan tidak bersetuju.

Usah bercakap soal SOP ketat, apa yang berlaku di Sabah sudah menjadi bukti bagaimana SOP dilanggar begitu sahaja oleh semua ahli-ahli politik tidak kira daripada parti mana pun.

Kalaulah pilihan raya peringkat negeri sudah jadi macam itu, adakah kita boleh percaya SOP ketat akan dipatuhi apabila PRU dilaksanakan? Jika siapa percaya, itu samalah seperti percaya ‘’harga barang akan turun apabila GST dilaksanakan’’ .

Selain itu membandingkan orang beratur di pusat mengundi dengan pasar raya, restoran atau kedai tidak begitu tepat atau kalau ikut ayat netizen ‘tidak begitu bijak’.

‘’Beratur untuk mengundi bukan barisan pendek bagai pergi ke kedah makan atau naik bas. Ada isu logistik dan kos. Sistem perlu dibina dan perlukan masa jika ingin mengundi online. Kemudian masa juga tidak sesuai, rakyat tengah sengsara,’’ kata seorang netizen membalas ciapan Ahmad Maslan.

Seorang lagi netizen pula berkata, ‘’YB ke kedai, pasar dan restoran sebab keperluan kita tapi PRU pula untuk keperluan awak. Ada beza la YB.’’

Ini hanya contoh reaksi netizen, banyak lagi komen-komen lain yang membidas kenyataan Ahmad Maslan.

Apapun pandangan dua kelompok ini harus diambil kira oleh ahli-ahli politik. Seperti mana kata Dr.Zainal Arifin, ahli politik perlu bersabar dan carilah cara lain (untuk selesai kemelut.

Penulis berharap dengan kebijaksanaan Ahmad Maslan, beliau akan memujuk pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak mendesak pilihan raya diadakan. Bersabarlah, inshaallah, kalau UMNO yakin akan menang cemerlang dalam PRU-15, impian itu pasti tercapai tidak kira bilapun PRU dilaksanakan. Betul tak?