Bila aku membaca tulisan orang dahulu, maksudnya seperti zaman Abasiah, aku juga sering mengaitkan Rom dengan Amerika. Jadi apabila disebut Rom dalam hadis umpamanya, maka dalam konteks sekarang, ia boleh ditafsirkan sebagai Amerika dan Eropah. Maknanya Amerika dan Eropah adalah pewaris pada Rom.
Tetapi bila difikirkan balik, itu tidak tepat. Amerika dan Eropah bukan pewaris Rom. Walaupun pengasas Amerika suka berangan bahawa mereka adalah New Rome. Atau London zaman Victoria menganggap diri mereka the Third Rome.
Pada zaman Nabi, apabila disebut Rom, ia merujuk pada Rom Timur iaitu Byzantine dengan kota Constantinople. Pewaris Rom Timur adalah Rusia dengan mazhab Ortodoks dan bukannya Amerika atau Eropah Barat.
Rom Barat bermazhabkan Katholik. Washington dan London tidak bermazhabkan Katholik. Kita melihat Amerika dan Britain sebagai kuasa imperial dan kita kaitkan dengan keagungan Rom Barat.
Tetapi Amerika dan Britain adalah hasil dari Revolusi Industri yang susur galurnya datang dari Enlightenement dan Renaissance. Walaupun Renaissance datang dari Itali tetapi ia bukan dari Rom. Ia datang dari Florence, Venice dan kota itali lain. Buku-buku yang menggerakkan Renaissance pula, yang kini sebahagiannya tersimpan dalam Perpustakaan Vatican datang dari Baghdad dan kota Abasiah lain.
Apa yang hendak disebut di sini ialah aku tak mau lagi anggap Amerika sebagai pewaris Rom.
- Penulis adalah bekas Pengarang Mingguan Malaysia. Tulisan ini dipetik dari Facebook beliau.