Oleh : DATUK DR. RUHANIE AHMAD
Politik membawa pelbagai maksud dan tafsiran kepada kelompok berbeza. Kesemuanya berkait rapat dengan soal kuasa, kehidupan dan keselamatan umat manusia di sesebuah negara.
Segolongan pakar keselamatan mendefinisikan politik sebagai usaha menguruskan
kelompok besar manusia di sesebuah negara, kehidupan dan kesejahteraannya.
Ini seiring dengan maksud serta matlamat perjuangan politik oleh majoriti Peribumi Malaysia di ambang merdeka dan ketika zaman awal kemerdekaan negara.
Mereka mentakrifkan politik sebagai perjuangan mendapatkan kuasa untuk kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Namun Malaysia ketika ini sedang menyaksikan pelbagai babak dan karenah perjuangan politik Peribumi.
Golongan peribumi arus perdana menumpukan kepada perjuangan politik untuk
memperkasakan agama, bangsa dan tanah air, di Malaysia yang majmuk.
Satu lagi kelompok Peribumi terlalu ghairah menggerakkan kuasa politik mereka untuk meruntuhkan perjuangan Peribumi arus perdana atas dorongan nawaitu peribadi.
Kuasa politik akar umbi diibaratkan daun keladi untuk menudung bangkai gajah yang bergelimpangan mencemari alam. Akibatnya, perjuangan mereka untuk Peribumi selaku 69.9 peratus warganegara Malaysia luntur dan layu.
Ia jadi kelam, kusam dan berbalam, digerhanai kelompok 22.6 peratus dan jadi
longlai digegarkan suara golongan 6.9 peratus.
Kuasa politik Peribumi yang unggul dan gagah sejak merdeka runtuh akibat rasuah dan salahguna kuasa yang dikatakan membarah dalam jiwa segelintir pemimpin tertingginya.Mereka gagal mengambil iktibar daripada kemelut politik negara yang membuktikan kuasa politik Peribumi sudah punah kerana rasuah.
Mereka kurang bijak untuk menginsafi bahawa kuasa politik nasional yang meminggirkan kepentingan Peribumi selaku kumpulan 69.9 peratus di Malaysia juga sudah tumbang menyembah tanah.
Hakikatnya sekarang, kuasa politik Peribumi yang sudah ranap dalam PRU-14 sukar
untuk dibaiki dan susah untuk dipulihkan jika Peribumi terus berbalah, berpecah dan memuja perasuah.
Namun perjuangan Peribumi boleh diperkasakan semula jika kita bersatu dan
berganding bahu secara ikhlas dan jujur untuk membina satu kekuatan baru. Syaratnya, jangan melatah, jangan gelabah dan jangan jadi seolah-olah lembu dicucuk hidung yang akur untuk diheret oleh para pengembala yang sudah tewas dan berlumuran lumpur di sekujur jasadnya.
Menjelang PRU-15 ini, ayuh kita bangkit dengan semangat, roh dan jiwa Peribumi
untuk menebus maruah kita yang sudah diinjak-injak pelbagai pihak, termasuk
mereka yang didalangi dan dikuasai makhluk ghaib dari pelosok jagat.
Kita humbankan segala sengketa. Kita musnahkan seluruh hasad dengki yang
bertakhta di sanubari. Kita laungkan ikrar perjuangan Peribumi yang baru, senada dan seirama, untuk membela diri kita sendiri, selaku wargenegara yang 69.9 peratus jumlahnya, di bumi Malaysia tercinta ini.
Kita mesti insaf, keselamatan politik Peribumi adalah mengenai kestabilan
organisasi negara kita, sistem pemerintahan kita dan ideologi yang mengabsahkan
wujudnya tanah air kita.
Lantas, Peribumi ketika ini, mesti berjuang untuk Peribumi. Kita mesti jaga kita,
mesti pertahankan keselamatan politik kita dan mesti bela masa depan kita
bersama.
- Penulis adalah Penganalisis Keselamatan dan Pertahanan

